SPECIAL ADS

21 November 2012

Ringkasan Kertas Putih: Pelunasan Menyeluruh Hutang Talam



Kerajaan Negeri Selangor telah mengemukakan kertas putih yang melibatkan kutipan hutang Talam Corporation Berhad dan laporan status penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, langkah itu merupakan sejarah kerana kali pertama dalam Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat membentangkan dua kertas kerja secara terperinci untuk diteliti dan dan difahami rakyat Selangor.

“Kertas putih itu disertakan bersama laporan audit yang disediakan oleh KPMG yang telah membuat kesimpulan bahawa tindakan kerajaan negeri mengutip hutang Talam merupakan keputusan komersial yang bijak,” katanya kepada pada sidang media di sini, hari ini.

Katanya, kertas putih itu menjelaskan fakta bagaimana wujudnya hutang tersebut, kaedah pelunasan hutang kepada Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) dan sebab musabab kutipan itu perlu dilakukan.

Selain itu katanya, lokasi aset Talam turut didedahkan secara terperinci yang dijual untuk mendapatkan semula hutang-hutang ini, nilai aset dan mengapa terdapat perbezan nilai seperti yang didakwa Barisan Nasional (BN).

“Kita amat yakin kertas putih Talam ini mampu memberi seluruh gambaran tentang isu ini dan rakyat akan mendapati bahawa usaha Kerajaan Negeri dilakukan secara telus, jujur dan bertanggungjawab.

“Justeru, kita tidak akan melayan lagi dakwaan-dakwaan pada masa akan datang,” katanya.

Beliau menambah, laporan penuh KPMG dan dokumen berkaitan kutipan hutang telah diserahkan kepada Pejabat Dewan Negeri Selangor bagi membolehkan orang ramai menyemaknya tertakluk kepada prosedur di bawah Akta Kebebasan Maklumat (FOI).

Kertas putih ini boleh dimuat turun di laman web rasmi Kerajaan Negeri dan Media Selangorku bermula esok.

Dalam pada itu katanya, laporan status Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air pula menjelaskan komitmen Kerajaan Negeri sejak 2008 untuk mengambil alih daripada syarikat konsesi bagi memastikan pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mendapat perkhidmatan air yang cekap pada kadar tarif yang munasabah.

“Kita turut sertakan semua surat-menyurat di antara Kerajaan Negeri dan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air sejak 23 Januari 2009 berkenaan usaha pengambilalihan pengurusan air yang oleh Kerajaan Negeri selama ini,” katanya.

Mengulas lanjut tawaran pengambilalihan pengurusan air tersebut daripada beberepa syarikat konsesi air terlibat melibatkan RM9.2 bilion, namun tawaran itu masih tidak diterima oleh pihak terbabit.

Bagaimanapun katanya, Kerajaan Persekutuan jelas tidak berminat untuk menjaga kebajikan rakyat, sebaliknya lebih mengutamakan syarikat konsesi yang sudah terbukti adalah kroni Umno-Barisan Nasional (BN).

Skim Pelunasan Hutang Talam telah dibincang dan diluluskan dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 2 November 2009 dan pada sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor 16 November 2009.

Industri perkhidmatan air pula dijalankan secara tidak holistik yang mana rawatan dan agihan dikendalikan pihak yang berlainan melibatkan empat konsesi iaitu Puncak Niaga Sdn Bhd, Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd dan Konsortium ABASS Sdn Bhd yang mengendalikan rawatan manakala agihan pula dikendalikan Syarikat Bekalan Air Selangor.

Ringkasan Kertas Putih berhubung dengan perlunasan menyeluruh hutang Talam sebagaimana berikut:

Skim Pelunasan Hutang Talam dibincangkan dan diluluskan dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) pada 2 November 2009 dan dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) pada 16 November 2009.

Hutang-hutang Talam timbul hasil usahasama Talam dengan kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) bagi pembangunan tanah (1994-2002), manakala hutang kepada Pendidikan Industri YS Sdn. Bhd. (PIYSB/ Universiti Industri Selangor (UNISEL) hasil perjanjian penswastaan bagi pembinaan Universiti Industri Selangor pada 2001 & 2003.

Hutang kepada KHSB dan PNSB kerana Talam gagal memenuhi obligasi untuk membayar bahagian keuntungan mereka dalam usahasama tersebut. 

Dalam kes UNISEL pula, Talam telah tidak dapat meneruskan pembinaan Universiti setelah perjanjian ditamatkan.

Walaupun kerajaan negeri terdahulu berusaha melaksanakan skim pelunasan hutang-hutang Talam ini dari 2005-2008 tetapi ia gagal dilaksanakan dan tiada wang yang berjaya dikutip.

Kerajaan Negeri Selangor pada 2009 / 2010 memikul tanggungjawab untuk memulakan usaha baharu bagi mengutip hutang-hutang tersebut menerusi Perjanjian Pelunasan Menyeluruh (GSA) dengan Talam bertujuan menyelesaikan kutipan hutang-hutang Talam secara sekali gus.

Ini ekoran wujudnya satu keperluan yang mendesak untuk Kerajaan Negeri Selangor menyelesaikan isu hutang-hutang Talam kerana kegagalan rancangan pelarasan kewangan Talam boleh memberikan impak buruk kepada semua GLC yang berkenaan.

Ini kerana, Talam menghadapi masalah kewangan yang serius dan telah dikategori sebagai syarikat berstatus PN17 di antara 1 September 2006 dan 10 Jun 2010 kerana kegagalannyamembuat bayaran bagi pinjaman dan bon. 

Justeru, Talam perlu melaraskan kedudukan kewangannya dengan mengemukakan satu pelan pelarasan kepada Bursa Malaysia Berhad.

Sehubungan itu, GSA pilihan terbaik kerana cara tersebut telah membawa kepada penyelesaian penuh, muktamad dan kutipan semula pembayaran hutang-hutang Talam itu akan menjadi lebih terjamin.

Ini kerana, Di bawah GSA, Talam mengakujanji untuk melunaskan sejumlah RM392 juta (“Tuntutan Boleh Terima”) dengan cara memindahkan aset-aset mereka kepada MBI. Sila rujuk Lampiran bagi senarai aset berkenaan.

Talam juga mengakujanji dan memberi jaminan bahawa mereka akan melakukan apa sahaja yang perlu untuk memastikan pelunasan seluruh Tuntutan Boleh Terima yang tertunggak iaitu sebanyak RM392 juta.

Berdasarkan jaminan dan akujanji tersebut, Kerajaan Negeri berkeyakinan bahawa seluruh jumlah Hutang Talam sebanyak RM392 juta itu akhirnya akan dilunaskan.

Pengambil alihan hutang-hutang Talam kepada Kerajaan Negeri (akhirnya diletakkan di bawah MBI) tidak membabitkan wang awam. 
Hutang-hutang Talam ini dipindahkan kepada MBI bagi membolehkan MBI mengawal proses penyelesaian termasuk penjualan Aset Yang Dilunaskan.

Dalam proses pengambil alihan hutang-hutang ini kepada MBI, kerajaan negeri hanya membelanjakan RM420,000 yang mana sebahagian besarnya yuran perundangan dan faedah yang dikenakan oleh pihak bank.

Faedah GSA

Pelunasan hutang melalui GSA ini membolehkan pengutipan semua hutang Talam disatukan di peringkat Negeri yang mana MBI akan memastikan proses pengutipan hutang
Disediakan oleh Sekretariat Akhbar Pejabat Dato’ Menteri Besar Selangor
diselesaikan secara holistik berbanding cara sebelum ini yang mana tiap-tiap anak syarikat Negeri berurusan secara berasingan dengan pihak Talam.

Dengan menyelesaikan pelunasan hutang-hutang Talam, ia secara langsung dapat menaik taraf kedudukan kewangan GLC menerusi pengukuhan lembaran kewangan syarikat masing-masing.


Penilaian

1. Tanah Bukit Beruntung

Penilaian oleh Suleiman & Co pada 6 Ogos 2009 menetapkan nilai tanah tersebut pada RM375 juta manakala penilaian oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (Jabatan Penilaian) bertarikh 3 Mac 2010 menetapkan nilai tanah pada RM113 juta. Perbezaan ini kerana nilaian Jabatan Penilaian mengambil kira status kategori kegunaan tanah sebagai “pertanian” manakala nilaian Suleiman & Co telah mengambil kira kategori kegunaan tanah tersebut sebagai “pembangunan bercampur”.

Permohonan menukarkan “pertanian” kepada “pembangunan bercampur” telah dibuat oleh Talam pada 1994 dan bayaran premium telah dibuat sebanyak RM8 juta tetapi proses pertukaran belum diselesaikan kerana pada masa tersebut Talam belum menjelaskan caruman perparitan sebanyak RM4 juta.

MBI telah menyelesaikan RM4 juta pembayaran untuk caruman perparitan pada 2010 bagi membolehkan penjualan tanah kepada PNSB. Kerajaan Negeri Selangor berpandangan bahawa nilaian yang dibuat oleh Suleiman & Co. adalah lebih menepati nilai sebenar Tanah Bukit Beruntung.


2. Tanah Bestari Jaya

Tanah Bestari Jaya telah ditukarkan sebagai balasan bagi pembinaan kampus UNISEL pada 2001 pada nilai RM115,000 seekar.
Penilaian oleh Mitra Valuers pada 30 November 2009 pada kadar purata RM88,000 seekar kerana muka bumi yang tidak rata dengan sebahagiannya adalah tasik-tasik bekas lombong, yang memerlukan penimbusan tanah bagi pembangunan masa hadapan.
Mitra Valuers telah mengambil kira faktor-faktor keadaan tanah tersebut dan faktor-faktor lain yang mempengaruhi nilainya secara umum.

Oleh itu, nilai purata RM80,000 seekar telah dipertimbangkan dan diterima oleh MBI di dalam GSA. Ini telah memberikan kelebihan kepada MBI berbanding dengan harga RM115,000 seekar yang telah diguna pakai dalam transaksi terdahulu.

3. Tanah Danau Putra

Nilaian Jabatan Penilaian bertarikh 20 Julai 2012 telah menetapkan nilai tanah tersebut pada RM17.66 skp. Penilaian tersebut dibuat atas permintaan MBI selepas GSA termeterai.

Penilaian itu hanya dilakukan setelah penjualan 2 plot tanah setiap satunya kepada Golden Sprint Sdn Bhd (GSSB) dan Perikatan Progresif Sdn Bhd (PPSB), dengan harga RM15 skp, iaitu sama dengan balasan kasar yang dinyatakan di dalam GSA. Kedua-dua tanah tersebut yang dijual kepada GSSB dan PPSB berasaskan nilai mengikut GSA. Oleh itu, MBI telah berjaya mendapat nilai penuh kedua-dua tanah tersebut seperti yang dinilaikan di dalam GSA.

Laporan penilaian oleh Jabatan Penilaian dan Talam, sebahagian besar Tanah Danau Putra merupakan tasik-tasik bekas lombong dan diliputi air. Dalam menetapkan nilaian, kedua-dua penilai telah mengambil kira anggaran kos penimbusan tanah bagi kawasan-kawasan yang diliputi air.

Pampasan kepada GLC

Walaupun hutang-hutang Talam ini telah dipindahhak kepada Kerajaan, namun MBI telah bersetuju untuk menyediakan pampasan tambahan kepada GLC sebagai balasan pelunasan hutang Talam. Pampasan ini adalah:


· pampasan kepada UNISEL berjumlah RM248.7 juta, MBI akan mengambil alih sejumlah aset tetap yang sedia ada atau perbelanjaan modal masa hadapan dan pinjaman bank yang berkaitan dengan UNISEL. Ini akan meringankan UNISEL daripada bebanan perbelanjaan modal pada masa hadapan.

· Bagi KHSB, MBI telah bersetuju untuk menyediakan satu geran khas bernilai RM115 juta yang akan dibayar dalam bentuk aset dan wang tunai.

· Bagi PNSB pula, MBI telah bersetuju untuk menyediakan satu geran pembangunan bernilai RM28 juta.


Kesimpulan

Pelunasan hutang-hutang Talam menerusi GSA dilaksanakan bagi memastikan anak-anak Syarikat Kerajaan (GLC) Negeri Selangor mampu mengutip semula hutang-hutang Talam. 
Ini bukan satu “bailout” kerana tiada sebarang bayaran samada dalam bentuk tunai atau barangan pernah diberikan kepada Talam untuk mendapatkan tanah atau hartanahnya.

KPMG Transaction & Restructuring Sdn Bhd (“KPMG”) yang menjalankan pemeriksaan bebas terhadap usaha pungutan semula hutang-hutang Talam berpandangan bahawa keputusan Kerajaan Negeri untuk memulakan dan melengkapkan GSA merupakan keputusan komersil yang bijak.


Tiada ulasan: