SPECIAL ADS

15 November 2012

Memupuk Budaya Politik Matang



Anjakan paradigma politik perlu digarap dan diketengahkan kearah memupuk budaya politik yang matang. Langkah ini sebenarnya bagi mewujudkan politik yang beretika dan bermaruah sebagaimana yang dituntut dalam Islam.  Pendekatan ini sebagai cermin kepada generasi baru supaya konsep politik kini yang dipenuhi dengan maki hamun, ugut mengugut, ketidaktertiban, sikap yang melampau dan lain-lain lagi dapat diubah kepada pendekatan yang lebih tertib dan positif.

Sebagaimana sedia maklum, Negara kita mempunyai suasana politik yang berbeza parti, ideologi  serta berbagai persepsi. Walau apapun itu sebenarnya bukan menjadi halangan bagi kita untuk sedia melakukan perubahan dalam sejarah politik tanah air. Konsep corak politik lama perlu dilemparkan jauh-jauh supaya kita dapat membentuk suatu generasi yang matang dan adil bagi semua kaum.

Komuniti kita pada masa sekarang ini  tidak perlu lagi membuat andaian politik. Hal ini disebabkan para pemimpin politik yang berbeza aliran pemikiran serta perjuangan berani turun ke gelanggang debat bagi menyampaikan hujah masing-masing dan seterusnya memberikan kemenangan moral yang tinggi kepada para penyokong. 

Menang atau kalah bukan soalnya. Apa yang lebih penting ialah rakyat disajikan dengan budaya politik matang yang memberikan kebebasan kepada semua pihak dalam mengutarakan pandangan masing-masing. Saya juga yakin bahawa sekiranya budaya debat ini berterusan, usaha kita dalam mewujudkan sebuah masyarakat yang celik politik lagi berpandangan terbuka pastinya dapat direalisasikan.

Jangan lagi kita dibelenggu dengan cara pemikiran dan mengamalkan konsep politik lama. Kini masanya telah tiba untuk kita mengorak langkah. Negara yang maju harus memiliki rakyat yang fikirannya maju agar ia seiring dengan pembangunan fizikal yang giat berkembang. 

Dengan demikian, wajar politik fitnah, politik sempit seperti caci mencaci, buruk memburuk dan menggunakan pelbagai tafsiran negatif harus kita tinggalkan terutama dalam politik lucah dan samseng yang melampau. Yang dikhuatiri dikalangan generasi muda akan terikut-ikut rentak sampai bila-bila. Acuan politik demikian akan merosakan masa depan Negara amnya.

Dalam sudut perubahan, wajar era politik baru  ini dicorak dalam kancah politik Negara, dengan mengamalkan politik positif dan matang.



Baru-baru ini terdapat wacana dan debat politik  telah dianjurkan dan dilakukan oleh sesetengah para pemimpin politik yang ingin memupuk budaya politik matang dan wajar diteruskan walaupun ada segelintir hadirin masih terperangkap dengan kepompong lama dan sukar terima hujah berlandaskan fakta dan angka. 



Pensyarah Sains Politik, Pusat Pengajian   Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Shamsul Adabi Mamat berkata, debat politik matang bukan sahaja dinilai dengan hebatnya hujah dan fakta yang disampaikan pendebat, malah reaksi  penonton terhadap pentas perdebatan juga memainkan peranan.




Justeru katanya, perlu bagi penonton beretika dan bijak mengawal emosi supaya tidak menjadi terlalu emosional ketika mendengar pandangan dan hujah yang dikemukakan. “Berlainan dengan konsep debat di luar negara yang  bersifat natural, penonton mempunyai etika mendengar hujah dikemukakan oleh pendebat dengan tenang. Dengan cara itu, pendebat tidak terganggu untuk menyatakan hujah, pandangan dan fakta yang bernas,” katanya.

Manakala di Malaysia, Shamsul berkata, pendebat lebih kepada bertikam lidah walaupun debat itu beri ruang kepada kedua-dua aliran politik yang berbeza kemukakan pandangan masing-masing.  “Ini kerana sikap penonton memberikan sokongan dengan nada emosi seperti menjerit dan menyanggah secara terbuka kerana mereka terlalu fanatik," katanya.



Sementara itu, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) juga  melahirkan rasa kesal dan kecewa dengan beberapa insiden keganasan politik yang berlaku semenjak kebelakangan ini. Berdasarkan dari pengamatan pihak ABIM,  gejala keganasan politik ini tampak semakin menggejala terutama sekali dalam suasana teka-teki tarikh  Pilihanraya Umum Ke-13 yang semakin rancak diperkatakan. 
Insiden-insiden bermotif politik semakin kerap berlaku kebelakangan ini seperti mengganggu ceramah dan penerangan politik, mengakibatkan kecederaan fizikal dan kemusnahan harta benda, serta memecah masuk premis dan rumah tokoh politik, telah menyorot perhatian dan mencetuskan kebimbangan para pengamat politik serta rakyat secara umumnya.




Ini jelas menunjukkan ketidakmatangan budaya politik di peringkat akar umbi dan keluhuran demokrasi. Tambah mendukacitakan perkembangan ini terjadi ketika negara sedang menyaksikan keterbukaan wacana politik di kalangan para pemimpin serta parti-parti politik di negara ini. Insiden-insiden keganasan politik yang berlaku kebelakangan ini seharusnya menyedarkan para pemimpin politik bahawa para pendukung politik di peringkat akar perlu dididik serta dilatih, untuk mengamalkan budaya politik terbuka serta matang.



Dalam erti kata lain, gagasan serta idealisme politik yang sering dicanangkan oleh para pemimpin politik tidak ubah sebagai retorik kosong semata-mata sementelahan amalan politik akar umbi terus-terusan dizahirkan menerusi kebobrokan akhlak, gejala fitnah memfitnah yang mengaibkan seteru politik, keganasan, caci maki dan ugutan.     


Justeru ABIM menyeru pimpinan politik supaya mendidik serta mengawal perilaku serta akhlak tindak tanduk politik para penyokong masing-masing agar menjunjung tinggi prinsip Kedaulatan Undang-undang sepertimana yang digariskan dalam Rukun Negara.  




Selain integriti kepimpinan politik, amalan demokrasi yang positif turut menekankan peri pentingnya budaya kepengikutan yang bersandarkan nilai-nilai moral dan keagamaan yang menghormati tidak sahaja kawan tetapi juga lawan.


ABIM berharap agar insiden-insiden ini tidak berulang di masa hadapan taktala Negara sedang meniti detik-detik getir menjelang Pilihanraya Umum Ke-13. Kita tidak mahu insiden-insiden keganasan politik yang sering berlaku di luar Negara menggejala lantas mencemarkan kestabilan, keamanan dan keharmonian negara kita.




Justeru ABIM menggesa agar pihak berwajib memelihara hak-hak bersuara serta berhimpun seperti yang termaktub di dalam perlembagaan persekutuan serta mengambil tindakan keras terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan keganasan politik secara adil dan tanpa memilih bulu.


Sesungguhnya rakyat sudah jelik dengan amalan politik “matlamat menghalalkan cara” yang semakin berleluasa dan menyeru semua pihak memainkan peranan untuk membawa rakyat kembali  berpegang kepada prinsip “Negara Barakah” yang menjunjung tinggi prinsip, nilai akhlaq serta etika dan moral.


Pendidikan politik bukan sahaja bermula di dalam parti atau institut pengajian tinggi sahaja, tetapi boleh dimulakan melalui media massa, kata Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa, (UIAM), Dr Maszlee Malik.

Menurutnya, dalam usaha mendidik masyarakat serta ahli politik berpolitik dengan matang, ia boleh dimulakan dengan menyiarkan sesi persidangan atau bacaan kes bagi menyedarkan pemimpin bahawa mereka sentiasa diperhatikan.

"Pendidikan berpolitik bukan hanya dalam parti sahaja, tetapi bermula dalam massa.

"Adakan siaran langsung parlimen, RTM parlimen. Tunjukkan secara langsung bahawa rakyat sedang melihat mereka dan diadili oleh rakyat,

"Bukan sahaja sesi parlimen, tapi diluar, sesi seperti suruhanjaya tertentu, inkuiri dan sebagainya, di tayangkan. contohnya seperti NFC. Kita inginkan inkuiri terbuka supaya rakyat dapat maklumat dengan telus," katanya.





Turut menjadi panel jemputan forum Antarapos baru-baru ini adalah Ahli Dewan Undangan Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad dan bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa Pustaka, Senator Datuk Dr Firdaus Abdullah.

Dalam pada itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad turut menyokong kenyataan Maszlee dengan berkata ia lebih baik disiarkan kepada umum agar perbahasan itu dapat dinilai.



"Saya setuju, biarkan perbezaan pendapat serta tindakan negatif dan politik kalut. Biar rakyat tengok dan nilai. Sekarang YB kita ni dia rasa boleh duduk (berdiam diri) sekadar untuk bergaduh di kampung sedangkan ini dewan yang mulia." katanya.

Menurut Dr. MAZA, sebelum membicarakan tentang politik yang matang, terlebih dahulu adalah penting untuk mematangkan individu-individu yang terlibat di dalam kancah politik itu sendiri. Apabila kita membicarakan tentang isu politik, ianya akan menjurus kepada pemerintahan dan kuasa. Jadi adalah penting penguasa atau pemerintah untuk memahami tugas dan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin. Kuasa yang diperolehi bukanlah suatu kelebihan sebaliknya merupakan suatu tanggungan yang akan dipersoalkan di akhirat. Contoh yang diberikan adalah apabila Abu Dzar, seorang sahabat yang soleh meminta jawatan kepada Rasulullah. Tetapi Rasulullah menegur Abu Dzar dengan mengatakan bahawa beliau tidak mampu kerana jawatan itu merupakan sesuatu yang sangat berat.



Tapi, timbul persoalan di hati saya, bagaimana untuk memahamkan pemimpin yang tidak mahu mengikut lunas Islam dalam pentadbirannya sekiranya pemimpin yang mengaku Islam itu tidak yakin dan percaya dengan keupayaan Islam yang mampu mentadbir segala cabang kehidupan? Sedangkan keadilan hukum hudud yang boleh dikaji logiknya dari saintifik dan rasional sahaja ditolak, inikan pula untuk mempercayai tentang dosa pahala, syurga neraka yang sifatnya ghaib dan tidak boleh ditanggapi dengan akal dan logik?

Untuk melahirkan suasana politik yang matang di negara ini, segalanya perlu dimulakan dengan ilmu, baik diperingkan pemimpin, mahupun rakyat marhaen di peringkat akar umbi. Jika para pemimpin perlu mengetahui mahir dalam strategi pentadbiran, rakyat jelata pula perlu tahu berkenaan cara dan ciri-ciri pemimpin yang perlu dipilih, serta hak-hak mereka dalam sebuah negara.


Dicadangkan supaya diwujudkan satu badan khas bagi mengkaji sistem sistem pilihan raya yang diamalkan di kebanyakan Negara dan memperakukan untuk pertimbangan satu sistem yang lebih sesuai, terkini dan menepati kadar dan kehendak penyertaan rakyat dalam konteks pembentukan kerajaan dan demokrasi pilihan raya. Paling utama sistem pilihan raya sekarang (FPTP) hampir tidak relevan lagi selepas 54 tahun merdeka.



supaya wujud satu badan bebas untuk mengawal-selia (regulate) capaian dan penggunaan media. Perlu digubal satu peraturan kempen menerusi media untuk membenarkan semua parti calon bertanding diberikan hak dalam media kerajaan dan swasta.


Perlu digubal peraturan kempen standard dengan memberi kuasa kepada SPR menyediakan, mengawal dan mengurus Pentas Kempen Sepadu di setiap daerah mengundi. SPR bolehlah mengatur jadual dan kebenaran berkempen (permit) secara bergilir kepada semua pihak yang bertanding bagi memberi peluang kapada semua pemilih mengikuti dan mengamati hujah dan maklumat. Pada masa sama, pemasangan bahan kempen harus dikawal dan tumpuan berkempen terbuka hanya di Pentas Kempen Sepadu.


Disarankan supaya pihak kerajaan memberi kebenaran dan mengistitusikan pentauliahan kapada Badan Pemerhati Pilihan Raya Antarabangsa dan Tempatan untuk menjadi pemerhati rasmi dalam bentuk jangka panjang (LTO) dan jangka pendek (5TO). Amalan ini penting bagi memastikan 'ketelusan' proses dan penjalanan demokrasi.


Kearah memastikan perjalanan pilihan raya yang tulen, bersih, bebas dan adil boleh dipertingkat dan diperkukuhkan melalui proses pemerhatian "over-sight
observation" oleh pihak ketiga yang berwibawa, terutamanya dari kalangan warga/institusi antarabangsa yang mempunyai kepakaran, kemahiran dan sumberdaya yang kukuh.



Diharap kepada beberapa cadangan dan saranan diatas mendapat perhatian dari Kerajaan  yang memerintah untuk melaksanakan suatu garis panduan, peraturan dan undang-undang pilihanraya yang adil. Sekiranya cadangan dan saranan ini dibuang ketepi dan tidak diberi tindakbalas, dikhuatiri akan wujud gejala atau unsur-unsur yang boleh merosakkan anak bangsa Malaysia yang akan mewarisi Negara dikemudian hari.





Berbalik dengan bahang Pilihan Raya Umum ke-13 semakin hampir inilah masanya untuk pemimpin politik menguatkan azam untuk berkempen secara matang. Gunakan kempen pilihan raya untuk menjelaskan dasar-dasar kepada rakyat dan bagaimana rakyat boleh mengambil bahagian dalam menjayakan agenda pembangunan Negara. Juga manfaatkan kempen sedia ada itu untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat Inilah yang didahagakan oleh rakyat jelata Rakyat jelata sudah bosan dengan politik kepartian yang keterlaluan.  Bersediakah pemimpin-pemimpin politik negara kita untuk berubah Ataupun terus menjadi bahan gurauan masyarakat antarabangsa.  Pilihan terletak ditangan mereka.



Tiada ulasan: