SPECIAL ADS

21 November 2012

Belanjawan Selangor Membawa Kejutan


Belanjawan Selangor 2012 sebanyak RM1.4 bilion yang dibentangkan hari ini dijangka membawa kejutan menarik bagi golongan wanita dan belia di Selangor.
Difahamkan sejumlah besar akan diperuntukkan bagi menampung kos penjagaan anak oleh isteri yang bekerja.
Dasar ini dilihat selari dengan belanjawan alternatif Pakatan Rakyat 2012 yang dibentangkan 3 Oktober lalu.

Di dalam belanjawan alternatif tersebut, setiap keluarga yang berpendapatan RM1,000 sebulan akan diberi elaun penjagaan anak berjumlah RM1,000 setahun bagi setiap anak berusia 12 tahun ke bawah.
Kerajaan negeri juga dijangka memberi peruntukan untuk penambahbaikan proses demokrasi melalui pilihan raya di Selangor.
Setiausaha Politik Menteri Besar Faekah Husin yang dihubungi TV Selangor menjelaskan halatuju Bajet 2012 akan mengambil iktibar daripada Laporan Ketua Audit Negara 2010, dalam usaha mengurangkan ketirisan dan melaksanakan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor.
“Iktibar dari laporan audit 2010 menunjukkan bahawa kerajaan persekutuan, agensi, jabatan, kementerian langsung tidak menjadikan laporan audit 2009 sebagai iktibar bagaimana untuk mengurangkan ketirisan yang berlaku di setiap jabatan dan agensi dan juga kementerian.
“Kita lihat ketirisan yang berlaku pada 30 peratus daripada peruntukan yang diberi, ini bermakna jika peruntukan di Selangor adalah RM1.6 bilion tahun lepas ini bermakna kita berjaya selamatkan RM400 juta,” katanya.
Realitinya, Kerajaan Selangor telah berjaya dengan konsisten membentangkan belanjawan berimbang untuk tahun kelima berturut-turut yang membuktikan kemampuan kita mentadbir secara telus, hemah berbelanja dan mengamalkan urus tadbir kewangan yang baik.
Ia juga sejajar dengan iltizam kerajaan negeri untuk memastikan setiap perbelanjaan menepati nilainya atau value for money.
Belanjawan 2013 dengan tema Selangor Peneraju Ekonomi Malaysia  yang saya bentangkan hari ini, Kerajaan Selangor memperuntukkan sejumlah RM1,630 juta yang dianggarkan diterima daripada Hasil Cukai sebanyak RM584,444,172.26 (35.86 peratus), Hasil Bukan Cukai sebanyak RM859,803,567.74 (52.75 peratus) dan Terimaan Bukan Hasil sebanyak RM185,752,260 atau 11.40 peratus.
Sejumlah RM996,980,690.00 atau 61 peratus diperuntukkan untuk Perbelanjaan Mengurus manakala 39 peratus atau RM633,019,310 untuk Perbelanjaan Pembangunan.
Perbelanjaan Mengumus menurun 0.3 peratus disebabkan penurunan bayaran balik pinjaman kepada kerajaan Persekutuan yang dibayar secara konsisten dan berkala yang membuktikan kerajaan negeri komited menguruskan hutang kepada kerajaan Persekutuan.

Begitu juga dengan peningkatan terkawal 5 peratus Perbelanjaan Pembangunnan yang menunjukkan pengurusan kewangan yang baik dan teratur oleh kerajaan negeri.
Saya telah mengumumkan cadangan untuk menggunakan sejumlah RM500 juta dari rizab negeri untuk faedah rakyat Negeri Selangor kerana sikap tidak adil kerajaan Persekutuan dalam agihan dana.
Sejumlah M300 juta akan diperuntukkan untuk pembinaan jambatan ketiga di bandar Klang yang dijanjikan oleh Barisan Nasional tetapi tidak ditepati, RM100 juta bagi memulakan pelaksanaan penggunaan Storm Water di hiliran sungai sebagai sumber air terawat,  RM50 juta bagi membaiki dan menaiktaraf sikstem saliran bagi menampung sementara kegagalan kerajan Persekutuan memperuntukkan RM1 billion kepada Jabatan Pengairan dan Saliran.
Wang rizab juga akan digunakan membantu rakyat yang terbeban dengan harga rumah yang melambung ketika ini. RM50 juta akan digunakan untuk membina Rumah Mampu Milik Pasang Siap yang dikendalikan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor.
Sehingga 31 Oktober 2012, Negeri Selangor mempunyai rizab berjumlah RM2,570 juta hasil perbelanjaan berhemah.
Kita juga membangga dengan konsep value for money telah membantu kita menjimatkan perbelanjaan sebanyak RM102.2 juta menerusi tender terbuka melibatkan 63 projek yang telah diluluskan sepanjang tahun lalu.
Begitu juga mengambil alih Pelupusan Sisa Pepejal yang membantu kita menjimatkan lebih RM80 juta setahun dan penjimatan ini digunakan bagi membantu rakyat  selaras dengan Hasil Negeri Untuk Rakyat.
Segala perancangan ini bertepatan dengan tema belanjawan Selangor Peneraju Ekonomi Malaysia yang membawa mesej negeri ini pemacu pembangunan negara dan menjadi kayu ukur untuk dicontohi.
Belanjawan 2013 ini adalah contoh Pakatan Rakyat mengemudi amalan politik baharu, menekankan soal nilai, keadilan, kepedulian rakyat dan pembangunan untuk semua yang mengatasi kepentingan individu, kaum, agama mahu pun ideologi politik selaras dengan hasrat merakyatkan ekonomi negeri.


Ringkasan Kertas Putih: Pelunasan Menyeluruh Hutang Talam



Kerajaan Negeri Selangor telah mengemukakan kertas putih yang melibatkan kutipan hutang Talam Corporation Berhad dan laporan status penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, langkah itu merupakan sejarah kerana kali pertama dalam Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat membentangkan dua kertas kerja secara terperinci untuk diteliti dan dan difahami rakyat Selangor.

“Kertas putih itu disertakan bersama laporan audit yang disediakan oleh KPMG yang telah membuat kesimpulan bahawa tindakan kerajaan negeri mengutip hutang Talam merupakan keputusan komersial yang bijak,” katanya kepada pada sidang media di sini, hari ini.

Katanya, kertas putih itu menjelaskan fakta bagaimana wujudnya hutang tersebut, kaedah pelunasan hutang kepada Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) dan sebab musabab kutipan itu perlu dilakukan.

Selain itu katanya, lokasi aset Talam turut didedahkan secara terperinci yang dijual untuk mendapatkan semula hutang-hutang ini, nilai aset dan mengapa terdapat perbezan nilai seperti yang didakwa Barisan Nasional (BN).

“Kita amat yakin kertas putih Talam ini mampu memberi seluruh gambaran tentang isu ini dan rakyat akan mendapati bahawa usaha Kerajaan Negeri dilakukan secara telus, jujur dan bertanggungjawab.

“Justeru, kita tidak akan melayan lagi dakwaan-dakwaan pada masa akan datang,” katanya.

Beliau menambah, laporan penuh KPMG dan dokumen berkaitan kutipan hutang telah diserahkan kepada Pejabat Dewan Negeri Selangor bagi membolehkan orang ramai menyemaknya tertakluk kepada prosedur di bawah Akta Kebebasan Maklumat (FOI).

Kertas putih ini boleh dimuat turun di laman web rasmi Kerajaan Negeri dan Media Selangorku bermula esok.

Dalam pada itu katanya, laporan status Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air pula menjelaskan komitmen Kerajaan Negeri sejak 2008 untuk mengambil alih daripada syarikat konsesi bagi memastikan pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mendapat perkhidmatan air yang cekap pada kadar tarif yang munasabah.

“Kita turut sertakan semua surat-menyurat di antara Kerajaan Negeri dan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air sejak 23 Januari 2009 berkenaan usaha pengambilalihan pengurusan air yang oleh Kerajaan Negeri selama ini,” katanya.

Mengulas lanjut tawaran pengambilalihan pengurusan air tersebut daripada beberepa syarikat konsesi air terlibat melibatkan RM9.2 bilion, namun tawaran itu masih tidak diterima oleh pihak terbabit.

Bagaimanapun katanya, Kerajaan Persekutuan jelas tidak berminat untuk menjaga kebajikan rakyat, sebaliknya lebih mengutamakan syarikat konsesi yang sudah terbukti adalah kroni Umno-Barisan Nasional (BN).

Skim Pelunasan Hutang Talam telah dibincang dan diluluskan dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 2 November 2009 dan pada sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor 16 November 2009.

Industri perkhidmatan air pula dijalankan secara tidak holistik yang mana rawatan dan agihan dikendalikan pihak yang berlainan melibatkan empat konsesi iaitu Puncak Niaga Sdn Bhd, Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd dan Konsortium ABASS Sdn Bhd yang mengendalikan rawatan manakala agihan pula dikendalikan Syarikat Bekalan Air Selangor.

Ringkasan Kertas Putih berhubung dengan perlunasan menyeluruh hutang Talam sebagaimana berikut:

Skim Pelunasan Hutang Talam dibincangkan dan diluluskan dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) pada 2 November 2009 dan dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) pada 16 November 2009.

Hutang-hutang Talam timbul hasil usahasama Talam dengan kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) bagi pembangunan tanah (1994-2002), manakala hutang kepada Pendidikan Industri YS Sdn. Bhd. (PIYSB/ Universiti Industri Selangor (UNISEL) hasil perjanjian penswastaan bagi pembinaan Universiti Industri Selangor pada 2001 & 2003.

Hutang kepada KHSB dan PNSB kerana Talam gagal memenuhi obligasi untuk membayar bahagian keuntungan mereka dalam usahasama tersebut. 

Dalam kes UNISEL pula, Talam telah tidak dapat meneruskan pembinaan Universiti setelah perjanjian ditamatkan.

Walaupun kerajaan negeri terdahulu berusaha melaksanakan skim pelunasan hutang-hutang Talam ini dari 2005-2008 tetapi ia gagal dilaksanakan dan tiada wang yang berjaya dikutip.

Kerajaan Negeri Selangor pada 2009 / 2010 memikul tanggungjawab untuk memulakan usaha baharu bagi mengutip hutang-hutang tersebut menerusi Perjanjian Pelunasan Menyeluruh (GSA) dengan Talam bertujuan menyelesaikan kutipan hutang-hutang Talam secara sekali gus.

Ini ekoran wujudnya satu keperluan yang mendesak untuk Kerajaan Negeri Selangor menyelesaikan isu hutang-hutang Talam kerana kegagalan rancangan pelarasan kewangan Talam boleh memberikan impak buruk kepada semua GLC yang berkenaan.

Ini kerana, Talam menghadapi masalah kewangan yang serius dan telah dikategori sebagai syarikat berstatus PN17 di antara 1 September 2006 dan 10 Jun 2010 kerana kegagalannyamembuat bayaran bagi pinjaman dan bon. 

Justeru, Talam perlu melaraskan kedudukan kewangannya dengan mengemukakan satu pelan pelarasan kepada Bursa Malaysia Berhad.

Sehubungan itu, GSA pilihan terbaik kerana cara tersebut telah membawa kepada penyelesaian penuh, muktamad dan kutipan semula pembayaran hutang-hutang Talam itu akan menjadi lebih terjamin.

Ini kerana, Di bawah GSA, Talam mengakujanji untuk melunaskan sejumlah RM392 juta (“Tuntutan Boleh Terima”) dengan cara memindahkan aset-aset mereka kepada MBI. Sila rujuk Lampiran bagi senarai aset berkenaan.

Talam juga mengakujanji dan memberi jaminan bahawa mereka akan melakukan apa sahaja yang perlu untuk memastikan pelunasan seluruh Tuntutan Boleh Terima yang tertunggak iaitu sebanyak RM392 juta.

Berdasarkan jaminan dan akujanji tersebut, Kerajaan Negeri berkeyakinan bahawa seluruh jumlah Hutang Talam sebanyak RM392 juta itu akhirnya akan dilunaskan.

Pengambil alihan hutang-hutang Talam kepada Kerajaan Negeri (akhirnya diletakkan di bawah MBI) tidak membabitkan wang awam. 
Hutang-hutang Talam ini dipindahkan kepada MBI bagi membolehkan MBI mengawal proses penyelesaian termasuk penjualan Aset Yang Dilunaskan.

Dalam proses pengambil alihan hutang-hutang ini kepada MBI, kerajaan negeri hanya membelanjakan RM420,000 yang mana sebahagian besarnya yuran perundangan dan faedah yang dikenakan oleh pihak bank.

Faedah GSA

Pelunasan hutang melalui GSA ini membolehkan pengutipan semua hutang Talam disatukan di peringkat Negeri yang mana MBI akan memastikan proses pengutipan hutang
Disediakan oleh Sekretariat Akhbar Pejabat Dato’ Menteri Besar Selangor
diselesaikan secara holistik berbanding cara sebelum ini yang mana tiap-tiap anak syarikat Negeri berurusan secara berasingan dengan pihak Talam.

Dengan menyelesaikan pelunasan hutang-hutang Talam, ia secara langsung dapat menaik taraf kedudukan kewangan GLC menerusi pengukuhan lembaran kewangan syarikat masing-masing.


Penilaian

1. Tanah Bukit Beruntung

Penilaian oleh Suleiman & Co pada 6 Ogos 2009 menetapkan nilai tanah tersebut pada RM375 juta manakala penilaian oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (Jabatan Penilaian) bertarikh 3 Mac 2010 menetapkan nilai tanah pada RM113 juta. Perbezaan ini kerana nilaian Jabatan Penilaian mengambil kira status kategori kegunaan tanah sebagai “pertanian” manakala nilaian Suleiman & Co telah mengambil kira kategori kegunaan tanah tersebut sebagai “pembangunan bercampur”.

Permohonan menukarkan “pertanian” kepada “pembangunan bercampur” telah dibuat oleh Talam pada 1994 dan bayaran premium telah dibuat sebanyak RM8 juta tetapi proses pertukaran belum diselesaikan kerana pada masa tersebut Talam belum menjelaskan caruman perparitan sebanyak RM4 juta.

MBI telah menyelesaikan RM4 juta pembayaran untuk caruman perparitan pada 2010 bagi membolehkan penjualan tanah kepada PNSB. Kerajaan Negeri Selangor berpandangan bahawa nilaian yang dibuat oleh Suleiman & Co. adalah lebih menepati nilai sebenar Tanah Bukit Beruntung.


2. Tanah Bestari Jaya

Tanah Bestari Jaya telah ditukarkan sebagai balasan bagi pembinaan kampus UNISEL pada 2001 pada nilai RM115,000 seekar.
Penilaian oleh Mitra Valuers pada 30 November 2009 pada kadar purata RM88,000 seekar kerana muka bumi yang tidak rata dengan sebahagiannya adalah tasik-tasik bekas lombong, yang memerlukan penimbusan tanah bagi pembangunan masa hadapan.
Mitra Valuers telah mengambil kira faktor-faktor keadaan tanah tersebut dan faktor-faktor lain yang mempengaruhi nilainya secara umum.

Oleh itu, nilai purata RM80,000 seekar telah dipertimbangkan dan diterima oleh MBI di dalam GSA. Ini telah memberikan kelebihan kepada MBI berbanding dengan harga RM115,000 seekar yang telah diguna pakai dalam transaksi terdahulu.

3. Tanah Danau Putra

Nilaian Jabatan Penilaian bertarikh 20 Julai 2012 telah menetapkan nilai tanah tersebut pada RM17.66 skp. Penilaian tersebut dibuat atas permintaan MBI selepas GSA termeterai.

Penilaian itu hanya dilakukan setelah penjualan 2 plot tanah setiap satunya kepada Golden Sprint Sdn Bhd (GSSB) dan Perikatan Progresif Sdn Bhd (PPSB), dengan harga RM15 skp, iaitu sama dengan balasan kasar yang dinyatakan di dalam GSA. Kedua-dua tanah tersebut yang dijual kepada GSSB dan PPSB berasaskan nilai mengikut GSA. Oleh itu, MBI telah berjaya mendapat nilai penuh kedua-dua tanah tersebut seperti yang dinilaikan di dalam GSA.

Laporan penilaian oleh Jabatan Penilaian dan Talam, sebahagian besar Tanah Danau Putra merupakan tasik-tasik bekas lombong dan diliputi air. Dalam menetapkan nilaian, kedua-dua penilai telah mengambil kira anggaran kos penimbusan tanah bagi kawasan-kawasan yang diliputi air.

Pampasan kepada GLC

Walaupun hutang-hutang Talam ini telah dipindahhak kepada Kerajaan, namun MBI telah bersetuju untuk menyediakan pampasan tambahan kepada GLC sebagai balasan pelunasan hutang Talam. Pampasan ini adalah:


· pampasan kepada UNISEL berjumlah RM248.7 juta, MBI akan mengambil alih sejumlah aset tetap yang sedia ada atau perbelanjaan modal masa hadapan dan pinjaman bank yang berkaitan dengan UNISEL. Ini akan meringankan UNISEL daripada bebanan perbelanjaan modal pada masa hadapan.

· Bagi KHSB, MBI telah bersetuju untuk menyediakan satu geran khas bernilai RM115 juta yang akan dibayar dalam bentuk aset dan wang tunai.

· Bagi PNSB pula, MBI telah bersetuju untuk menyediakan satu geran pembangunan bernilai RM28 juta.


Kesimpulan

Pelunasan hutang-hutang Talam menerusi GSA dilaksanakan bagi memastikan anak-anak Syarikat Kerajaan (GLC) Negeri Selangor mampu mengutip semula hutang-hutang Talam. 
Ini bukan satu “bailout” kerana tiada sebarang bayaran samada dalam bentuk tunai atau barangan pernah diberikan kepada Talam untuk mendapatkan tanah atau hartanahnya.

KPMG Transaction & Restructuring Sdn Bhd (“KPMG”) yang menjalankan pemeriksaan bebas terhadap usaha pungutan semula hutang-hutang Talam berpandangan bahawa keputusan Kerajaan Negeri untuk memulakan dan melengkapkan GSA merupakan keputusan komersil yang bijak.


19 November 2012

Hadi Awang Sedia Menjadi PM?



Malaysiakini membuat melaporkan "Syor jadi PM, syok juga sepintas lalu - kata Hadi".

"Syok (seronok) juga sepintas lalu. Tetapi saya kata di sini, saya minta Tuhan jadikan cita-cita menangkan Islam, lepas tu nak mati, matilah,"katanya dalam ucapan penangguhan Muktamar PAS ke-58 di Kota Bharu semalam.

Apakah yang dikatakan sebenarnya oleh Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika memberikan ucapan penangguhan yang disifatkan oleh pelbagai pihak sebagai terbaik.

Tetapi dalam sidang media selepas memberikan Ucapan Dasar Muktamar PAS ini, Abdul Hadi dengan jelas menolak cadangan itu.

Beliau lebih rela kembali menjadi nelayan selepas Islam menang.

Apakah hujah sebenar YG Abdul Hadi? Apa yang tersurat dan tersirat?

Berikut adalah transkrip ucapan penangguhan beliau yang berkaitan dengan isu ini.

"Kita kena hadapi pilihan raya dengan yakin, ikhlas dan ilmu dan bijak.

Saya alu-alukan nak lantik saya jadi perdana menteri. Syok juga sepintas lalu. Tetapi saya kata di sini, saya minta Tuhan jadikan cita-cita saya ini biar menangkan Islam, kemudian kalau nak mati, matilah.

Saya tak mahu macam cerita saya dengan Ustaz Azizan. Ustaz Azizan tahu saya minat memancing. Saya pergi Kedah, dia ajak saya memancing di laut Yan.

Sebelum pergi, dia berpaling ke anak buah dia, dia kata, tumbuk rempah siap-siap. Nak masak ikan tenggiri, ikan jenahak. Saya pun pergilah, dia pun pergi juga ke laut. Bila balik, boleh ikan belukang sebesar kelinking je. Ustaz Azizah ingat tak peristiwa itu? Saya tak mahu jadi macam tu lah. Belum apa-apa dah tumbuk rempah.

Kita kena belajar dengan Nabi SAW. Bila Nabi nak berhijrah ke Madinah, Nabi berjumpa dengan pemimpin-pemimpin kabilah yang bersedia menawarkan negeri dan penduduk mereka untuk menegakkan Islam. Allah menjanjikan kemenangan.

Nabi jumpa satu-satu kabilah ini. Masa jumpa kabilah Bani Amir, Nabi tawar Islam, Allah janjikan kemenangan, boleh tegakkan negara bila berjaya. Tiba-tiba pemimpin mereka bertanya, "Kalau menang siapa jadi raja, jadi ketua, jadi menteri" lalu Nabi jawab, "Kemenangan itu bagi Allah, Allah beri  kepada siapa yang Dia kehendaki" Itu jawapan Nabi.

Jadi kita PAS ni kena ajar begitulah. Itulah caranya."
Dalam lidah akhbar The Star dimuka hadapan yang dimiliki oleh MCA jelas mahu melaga-lagakan Presiden PAS dengan para pemimpin Pakatan Rakyat yang lain apabila melaporkan beliau bersedia menjadi perdana menteri, tetapi apakah sebenarnya yang beliau kata dan maksud.



Sementara media dalam talian The Malaysian Insider juga membuat laporan sealiran dengan akhbar MCA itu. "Hadi ‘alu-alukan’ cadangan perwakilan dilantik jadi PM", menjadi tajuk media itu.

Kedua-dua laporan ini membayangkan seolah-olah Presiden PAS itu mahu menjadi perdana menteri.

Ekoran kedua-dua laporan itu, timbul fitnah kepada Presiden bahawa beliau dikatakan 'setuju dan bersedia' untuk menjadi perdana menteri.


DAP pula mengulangi pendirian pihaknya bahawa calon Perdana Menteri jika membentuk Kerajaan Pusat kelak adalah seperti yang telah disepakati oleh Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, pihaknya telah bersepakat dalam memilih Anwar sebagai Perdana Menteri  dan tiada perubahan dalam keputusan itu setakat ini.
Mengulas perkembangan semasa yang tercetus pada Muktamar Tahunan Pas ke-58 dan Himpunan Kebangkitan Rakyat Jumaat lalu, Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang memberitahu, PR telah mempunyai kesepakatan dalam pemilihan calon pihaknya dan isu siapa menjadi Perdana Menteri tidak perlu dibangkitkan lagi.


Isu siapa menjadi Perdana Menteri sekiranya Pakatan Rakyat memenangi Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) nanti tidak perlu dijadikan polemik di kalangan pemimpin dan penyokong PR, kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Menjawab polemik isu jawatan Perdana Menteri yang ditimbulkan sejak tamatnya Muktamar Tahunan PAS ke-58, Mustafa mengingatkan semua pihak bahawa perkara tersebut hanya satu perbahasan di dalam muktamar.

“Maka tiada keperluan sebenarnya untuk media memainkan perkara ini kerana ia bukan sebahagian daripada usul muktamar,” kata beliau kepada Harakahdaily.

Tegasnya, cadangan supaya Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menjadi Perdana Menteri hanyalah luahan sayang para pewakilan PAS kepada Abdul Hadi, yang dianggap bapa yang dihormati dan disanjungi ketika perbahasan di muktamar PAS.
Dalam polemik siapa yang seharusnya menjadi Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat (PR) membentuk Kerajaan Pusat berterusan, bancian 'online' menunjukkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi pilihan ramai. 

Seramai 54 peratus daripada 1,139 pengunjung yang menyertai bancian 'online' kendalian Sinar Harian Online mengatakan bahawa Anwar, Ketua Pembangkang dan Ketua Umum PKR, layak menjadi Perdana Menteri. 

Ia disusuli dengan 34 peratus yang memihak kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan 12 peratus pula memilih Mursyidul Am parti itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. 


Berdasarkan perkembangan terkini, kedua-dua Anwar dan Hadi membuat kenyataan media bahawa Pas dan PKR sedia mengadakan perbincangan mengenai isu tersebut. 

"Memang betullah. Boleh bincanglah," kata Hadi pada sidang media selepas menyampaikan ucapan penangguhan Muktamar Tahunan Pas ke-58 petang semalam. 

Hadi ditanya pandangan beliau berhubung kenyataan Anwar pagi semalam, yang berkata, isu jawatan Perdana Menteri bukan "satu masalah." 

"Tiada masalah, tak ada apa, kita boleh bincang dengan baik," katanya selepas merasmikan Konvensyen Halatuju Pendidikan Negara di Universiti Selangor. 


18 November 2012

Wang Hantaran Kahwin Tinggi?



Dalam era moden masa kini, ramai lelaki bujang lambat kahwin kerana situasi wang hantaran perkahwinan melambung tinggi.  Hakikatnya ramai dikalangan mereka-mereka ini yang kebanyakkannya  terdiri dalam lengkongan  dalam umur 30 tahun , 33 tahun , 35 tahun dan ada yang berumur melebihi lebih 40 tahun menjadi lambat kahwin kerana kekangan kewangan.

Sesetengah keluarga Melayu suka  meletakkan jumlah wang hantaran yang tinggi terhadap anak gadis mereka. sesetengah pendapat dikaitkan dengan taraf pendidikan anak gadis  ataupun jawatan yang disandang.  Makin tinggi tahap pendidikan atau jawatan mereka , maka tinggi jugalah wang hantaran perkahwinan.



Pada situasi lain, mereka meletakkan jumlah wang hantaran kahwin yang tinggi terhadap anak gadis mereka diukur kepada tahap kedudukan ekonomi keluarga mereka. Kalau mereka kaya atau jutawan, lain pula jumlahnya. Kata pepatah, apabila hendak meminang kepada seseorang anak gadis mereka perlu mengukur dibaju sendiri. 

Isu diluar bandar pula, mereka meletakkan taraf berapa jumlah relong, ekar atau hektar tanah. Bila mereka memiliki banyak tanah, wang hantaran pun berdasarkan jumlah luas tanah yang mereka miliki. Kononnya kedudukan dan ekonomi mereka stabil dan mengistilah keluarga mereka dalam kelompok orang kaya atau orang senang.

Pendapat lain mengatakan kos kehidupan sekarang makin tinggi, dimana harga barang-barang sekarang begitu mahal  terutama dalam penyediaan peralatan perkahwinan. Begitu juga dalam membuat persediaan majlis kenduri, semua harga barang naik mendadak seperti barangan runcit, harga daging, lauk pauk dan lain-lain lagi.



Gembar gembor yang diluahkan oleh orang ramai menimbulkan keresahan dikalangan lelaki bujang mahupun golongan gadis. Kadangkala mereka tidak mahu isu-isu yang dibangkitkan menjadi kayu pengukur kepada wang hantaran   kahwin.

Sesetengah mereka pula tidak mahu dikongkong kepada syarat-syarat atau penanda aras kepada isu-isu tersebut. Yang hendak berkahwin adalah mereka dan mereka juga tidak mahu keluarga terlalu menitikberatkan tentang taraf atau tahap sesuatu kedudukan. 



Disini terdapat beberapa komen mengenai isu wang hantaran kahwin  yang tinggi ditimbulkan oleh mereka. Antaranya:


  • Lelaki Bujang. memanglah zaman sekarang semua orang tahu kos sara hidup makin tinggi, yang lebih penting adalah kehidupan selepas perkahwinan. Diharap semua pihak memahami.

  • Ibubapa. Hantaran yang tinggi hanya menggalakkan anak-anak kawin lambat. Ianya juga menyebabkan berlakunya penarikan diri dari pihak teruna dan lain-lain lagi masalah yang menyebabkan penangguhan dan akhirnya anak gadis juga yang menjadi mangsa.

  • Ibubapa.  Bila dah berkenan dengan bakal menantu, saya tak kisah pun berapakah hantarannya. Yang paling penting beliau pandai membaca alqur’an dan boleh mengimamkan solat.
  • Lelaki Bujang. Tidak bersetuju dengan fenomena ini,ini amat membahayakan bakal pasangan untuk mendirikan rumahtangga. Sebaliknya ibu bapa perlulah membuka jalan yang mudah apabila anak-anak mereka berdepan dengan situasi ini. Mungkin kerana memikirkan kos perbelanjaan yang mahal tetapi banyak lagi cara yg boleh di jadikan medium utk menyelesaikan masalah ini.

  • Gadis. Hantaran tinggi pun buat apa. hanya menyusahkan sahaja. lebih-lebih lagi ianya menyebabkan bakal menantu terpaksa membuat pinjaman melalui pinjaman peribadi di bank. Pentingnya beliau kerja stabil dan seiring dengan menantu.


  • Lelaki Bujang. Mentaliti orang kita macam tu, susah nak buang, mereka payah meninggalkan amalan ini. Saya menyokong kalau wang hantaran itu di gunakan untuk kos perbelanjaan tetapi harap jangan di salah guna pula kerana mengejar kedudukan dan nama dalam sosial masyarakat.


  • Lelaki Bujang. Boleh jatuh haram jika hantaran yang tinggi menjadi syarat untuk berkawin, sedangkan yang wajib itu hanya pasangan yang hendak berkahwin.  Wali dan lain-lain syarat wajib sah nikah.

  • Ibubapa. Pada pandangan saya  yang ada anak gadis dan teruna mengharapkan semua anak-anaknya hidup senang.  Mengikut kebiasaaan hantaran kahwin setakat ni R56K ke RM20K mengikut tahap kehidupan.   Adalah  yang penting  dirunding antara dua pihak supaya tidak membebankan anak masing-masing mengikut kemampuan.
  • Ustaz. Kahwinilah seorang wanita itu, kerana empat perkara iaitu keturunannya, kecantikkannya, kekayaannya dan agamanya. Maka diantara yang empat itu pilihlah dalam hal keagamaannya. Nescaya akan beruntunglah kedua-kedua tanganmu, sebaik-baik wanita adalah yang ringan maharnya. Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud, “Wanita yang paling banyak mendapat kurnia ialah wanita yang murah mas kahwinnya, yang senang nikahnya dan baik budi pekertinya. Dan wanita yang jahat ialah wanita yang mahal mas kahwinnya, payah nikahnya dan yang buruk budi pekertinya".  
  • Ibubapa. Serahkan saja kepada pihak lelaki mengikut kemampuannya. Kalau ikutkan hati mati, hendak diikutkan badan binasa. Gunakan budibicara pihak lelaki. Maklumlah yang hendak menanggung adalah anak-anak kita. Cuma disesuaikan dengan kedudukan ekonomi masing-masing.
  • Lelaki Bujang. Budaya melayu ini dah terkeluar dari landasan Islam.  Sudah pasti pasangan itu tidak akan bahagia kerana membebankan terpaksa bayar hutang. Budaya ini menghalang ramai umat nabi nak sempurnakan agama.  Pada sesetengah orang tua pun tidak pandai  nak sedar diri.  Ego terlampau!!!



Meneliti kepada pendapat dan pandangan diatas, jelas rundingcara antara dua pihak adalah aspek terpenting dalam menangani perkara ini.  Rundingcara bukanlah suatu perkara yang baru muncul malah ianya wujud bersama-sama dengan kewujudan masyarakat manusia. Dewasa ini rundingcara yang berlaku mungkin berbeza dari segi cara dan metodenya dan bukan pula secara ikhtisas.




Di kalangan masyarakat Islam di Malaysia istilah rundingcara perkahwinan mula diperkenalkan bersama dengan perlaksanaan undang-undang keluarga Islam di awal tahun lapan puluhan. Tetapi pada hakikatnya, rundingcara perkahwinan telah pun diamalkan di kalangan masyarakat Melayu di Malaysia. Tetapi amalan tersebut mungkin tidak menetapkan istilah seperti yang digunakan pada hari ini. Begitu juga dari segi metode dan tekniknya tidaklah sebagaimana yang diamalkan buat masa kini.


Di kalangan masyarakat Islam di kampung-kampung yang masih utuh semangat muafakat dan tali persaudaraan yang masih intim, setiap persoalan yang berhubung dengan kekeluargaan tetap dibawa berunding. Oleh sebab itulah timbul pepatah Melayu, “Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing” dan
“Muafakat itu membawa berkat”. Umpamanya bermula dari urusan yang paling kecil iaitu ketika maharnya dan seterusnya tentang pengurusan kenduri kendara perkahwinan.


Suatu lagi faktor yang menjauhkan golongan muda dari golongan tua ialah apabila golongan muda dari desa bekerja dan bermastautin di bandar maka hubungan dengan ibu bapa atau datuk nenek mula jauh. Mereka susah untuk mendapat nasihat dan tunjuk ajar dari golongan tua. Dalam hal yang seumpama ini mereka tidak ada tempat untuk mengadu. Faktor corak hidup di bandar merupakan suatu gejala yang boleh mempercepatkan lagi keperluan masyarakat kepada rundingcara perkahwinan. 

Pada hakikatnya,  Islam telah menganjurkan prinsip-prinsip tertentu untuk membentuk, mengekal dan memperbaiki sesebuah rumah tangga. Tetapi dari segi tekniknya atau pendekatannya hendaklah disesuaikan dengan keadaan semasa. Rundingan di dalam bidang kekeluargaan amat diperlukan pada tiga peringkat berdasarkan peristiwa-peristiwa yang telah berlaku pada zaman Rasulullah SAW dan para sahabat.

15 November 2012

Memupuk Budaya Politik Matang



Anjakan paradigma politik perlu digarap dan diketengahkan kearah memupuk budaya politik yang matang. Langkah ini sebenarnya bagi mewujudkan politik yang beretika dan bermaruah sebagaimana yang dituntut dalam Islam.  Pendekatan ini sebagai cermin kepada generasi baru supaya konsep politik kini yang dipenuhi dengan maki hamun, ugut mengugut, ketidaktertiban, sikap yang melampau dan lain-lain lagi dapat diubah kepada pendekatan yang lebih tertib dan positif.

Sebagaimana sedia maklum, Negara kita mempunyai suasana politik yang berbeza parti, ideologi  serta berbagai persepsi. Walau apapun itu sebenarnya bukan menjadi halangan bagi kita untuk sedia melakukan perubahan dalam sejarah politik tanah air. Konsep corak politik lama perlu dilemparkan jauh-jauh supaya kita dapat membentuk suatu generasi yang matang dan adil bagi semua kaum.

Komuniti kita pada masa sekarang ini  tidak perlu lagi membuat andaian politik. Hal ini disebabkan para pemimpin politik yang berbeza aliran pemikiran serta perjuangan berani turun ke gelanggang debat bagi menyampaikan hujah masing-masing dan seterusnya memberikan kemenangan moral yang tinggi kepada para penyokong. 

Menang atau kalah bukan soalnya. Apa yang lebih penting ialah rakyat disajikan dengan budaya politik matang yang memberikan kebebasan kepada semua pihak dalam mengutarakan pandangan masing-masing. Saya juga yakin bahawa sekiranya budaya debat ini berterusan, usaha kita dalam mewujudkan sebuah masyarakat yang celik politik lagi berpandangan terbuka pastinya dapat direalisasikan.

Jangan lagi kita dibelenggu dengan cara pemikiran dan mengamalkan konsep politik lama. Kini masanya telah tiba untuk kita mengorak langkah. Negara yang maju harus memiliki rakyat yang fikirannya maju agar ia seiring dengan pembangunan fizikal yang giat berkembang. 

Dengan demikian, wajar politik fitnah, politik sempit seperti caci mencaci, buruk memburuk dan menggunakan pelbagai tafsiran negatif harus kita tinggalkan terutama dalam politik lucah dan samseng yang melampau. Yang dikhuatiri dikalangan generasi muda akan terikut-ikut rentak sampai bila-bila. Acuan politik demikian akan merosakan masa depan Negara amnya.

Dalam sudut perubahan, wajar era politik baru  ini dicorak dalam kancah politik Negara, dengan mengamalkan politik positif dan matang.



Baru-baru ini terdapat wacana dan debat politik  telah dianjurkan dan dilakukan oleh sesetengah para pemimpin politik yang ingin memupuk budaya politik matang dan wajar diteruskan walaupun ada segelintir hadirin masih terperangkap dengan kepompong lama dan sukar terima hujah berlandaskan fakta dan angka. 



Pensyarah Sains Politik, Pusat Pengajian   Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Shamsul Adabi Mamat berkata, debat politik matang bukan sahaja dinilai dengan hebatnya hujah dan fakta yang disampaikan pendebat, malah reaksi  penonton terhadap pentas perdebatan juga memainkan peranan.




Justeru katanya, perlu bagi penonton beretika dan bijak mengawal emosi supaya tidak menjadi terlalu emosional ketika mendengar pandangan dan hujah yang dikemukakan. “Berlainan dengan konsep debat di luar negara yang  bersifat natural, penonton mempunyai etika mendengar hujah dikemukakan oleh pendebat dengan tenang. Dengan cara itu, pendebat tidak terganggu untuk menyatakan hujah, pandangan dan fakta yang bernas,” katanya.

Manakala di Malaysia, Shamsul berkata, pendebat lebih kepada bertikam lidah walaupun debat itu beri ruang kepada kedua-dua aliran politik yang berbeza kemukakan pandangan masing-masing.  “Ini kerana sikap penonton memberikan sokongan dengan nada emosi seperti menjerit dan menyanggah secara terbuka kerana mereka terlalu fanatik," katanya.



Sementara itu, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) juga  melahirkan rasa kesal dan kecewa dengan beberapa insiden keganasan politik yang berlaku semenjak kebelakangan ini. Berdasarkan dari pengamatan pihak ABIM,  gejala keganasan politik ini tampak semakin menggejala terutama sekali dalam suasana teka-teki tarikh  Pilihanraya Umum Ke-13 yang semakin rancak diperkatakan. 
Insiden-insiden bermotif politik semakin kerap berlaku kebelakangan ini seperti mengganggu ceramah dan penerangan politik, mengakibatkan kecederaan fizikal dan kemusnahan harta benda, serta memecah masuk premis dan rumah tokoh politik, telah menyorot perhatian dan mencetuskan kebimbangan para pengamat politik serta rakyat secara umumnya.




Ini jelas menunjukkan ketidakmatangan budaya politik di peringkat akar umbi dan keluhuran demokrasi. Tambah mendukacitakan perkembangan ini terjadi ketika negara sedang menyaksikan keterbukaan wacana politik di kalangan para pemimpin serta parti-parti politik di negara ini. Insiden-insiden keganasan politik yang berlaku kebelakangan ini seharusnya menyedarkan para pemimpin politik bahawa para pendukung politik di peringkat akar perlu dididik serta dilatih, untuk mengamalkan budaya politik terbuka serta matang.



Dalam erti kata lain, gagasan serta idealisme politik yang sering dicanangkan oleh para pemimpin politik tidak ubah sebagai retorik kosong semata-mata sementelahan amalan politik akar umbi terus-terusan dizahirkan menerusi kebobrokan akhlak, gejala fitnah memfitnah yang mengaibkan seteru politik, keganasan, caci maki dan ugutan.     


Justeru ABIM menyeru pimpinan politik supaya mendidik serta mengawal perilaku serta akhlak tindak tanduk politik para penyokong masing-masing agar menjunjung tinggi prinsip Kedaulatan Undang-undang sepertimana yang digariskan dalam Rukun Negara.  




Selain integriti kepimpinan politik, amalan demokrasi yang positif turut menekankan peri pentingnya budaya kepengikutan yang bersandarkan nilai-nilai moral dan keagamaan yang menghormati tidak sahaja kawan tetapi juga lawan.


ABIM berharap agar insiden-insiden ini tidak berulang di masa hadapan taktala Negara sedang meniti detik-detik getir menjelang Pilihanraya Umum Ke-13. Kita tidak mahu insiden-insiden keganasan politik yang sering berlaku di luar Negara menggejala lantas mencemarkan kestabilan, keamanan dan keharmonian negara kita.




Justeru ABIM menggesa agar pihak berwajib memelihara hak-hak bersuara serta berhimpun seperti yang termaktub di dalam perlembagaan persekutuan serta mengambil tindakan keras terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan keganasan politik secara adil dan tanpa memilih bulu.


Sesungguhnya rakyat sudah jelik dengan amalan politik “matlamat menghalalkan cara” yang semakin berleluasa dan menyeru semua pihak memainkan peranan untuk membawa rakyat kembali  berpegang kepada prinsip “Negara Barakah” yang menjunjung tinggi prinsip, nilai akhlaq serta etika dan moral.


Pendidikan politik bukan sahaja bermula di dalam parti atau institut pengajian tinggi sahaja, tetapi boleh dimulakan melalui media massa, kata Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa, (UIAM), Dr Maszlee Malik.

Menurutnya, dalam usaha mendidik masyarakat serta ahli politik berpolitik dengan matang, ia boleh dimulakan dengan menyiarkan sesi persidangan atau bacaan kes bagi menyedarkan pemimpin bahawa mereka sentiasa diperhatikan.

"Pendidikan berpolitik bukan hanya dalam parti sahaja, tetapi bermula dalam massa.

"Adakan siaran langsung parlimen, RTM parlimen. Tunjukkan secara langsung bahawa rakyat sedang melihat mereka dan diadili oleh rakyat,

"Bukan sahaja sesi parlimen, tapi diluar, sesi seperti suruhanjaya tertentu, inkuiri dan sebagainya, di tayangkan. contohnya seperti NFC. Kita inginkan inkuiri terbuka supaya rakyat dapat maklumat dengan telus," katanya.





Turut menjadi panel jemputan forum Antarapos baru-baru ini adalah Ahli Dewan Undangan Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad dan bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa Pustaka, Senator Datuk Dr Firdaus Abdullah.

Dalam pada itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad turut menyokong kenyataan Maszlee dengan berkata ia lebih baik disiarkan kepada umum agar perbahasan itu dapat dinilai.



"Saya setuju, biarkan perbezaan pendapat serta tindakan negatif dan politik kalut. Biar rakyat tengok dan nilai. Sekarang YB kita ni dia rasa boleh duduk (berdiam diri) sekadar untuk bergaduh di kampung sedangkan ini dewan yang mulia." katanya.

Menurut Dr. MAZA, sebelum membicarakan tentang politik yang matang, terlebih dahulu adalah penting untuk mematangkan individu-individu yang terlibat di dalam kancah politik itu sendiri. Apabila kita membicarakan tentang isu politik, ianya akan menjurus kepada pemerintahan dan kuasa. Jadi adalah penting penguasa atau pemerintah untuk memahami tugas dan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin. Kuasa yang diperolehi bukanlah suatu kelebihan sebaliknya merupakan suatu tanggungan yang akan dipersoalkan di akhirat. Contoh yang diberikan adalah apabila Abu Dzar, seorang sahabat yang soleh meminta jawatan kepada Rasulullah. Tetapi Rasulullah menegur Abu Dzar dengan mengatakan bahawa beliau tidak mampu kerana jawatan itu merupakan sesuatu yang sangat berat.



Tapi, timbul persoalan di hati saya, bagaimana untuk memahamkan pemimpin yang tidak mahu mengikut lunas Islam dalam pentadbirannya sekiranya pemimpin yang mengaku Islam itu tidak yakin dan percaya dengan keupayaan Islam yang mampu mentadbir segala cabang kehidupan? Sedangkan keadilan hukum hudud yang boleh dikaji logiknya dari saintifik dan rasional sahaja ditolak, inikan pula untuk mempercayai tentang dosa pahala, syurga neraka yang sifatnya ghaib dan tidak boleh ditanggapi dengan akal dan logik?

Untuk melahirkan suasana politik yang matang di negara ini, segalanya perlu dimulakan dengan ilmu, baik diperingkan pemimpin, mahupun rakyat marhaen di peringkat akar umbi. Jika para pemimpin perlu mengetahui mahir dalam strategi pentadbiran, rakyat jelata pula perlu tahu berkenaan cara dan ciri-ciri pemimpin yang perlu dipilih, serta hak-hak mereka dalam sebuah negara.


Dicadangkan supaya diwujudkan satu badan khas bagi mengkaji sistem sistem pilihan raya yang diamalkan di kebanyakan Negara dan memperakukan untuk pertimbangan satu sistem yang lebih sesuai, terkini dan menepati kadar dan kehendak penyertaan rakyat dalam konteks pembentukan kerajaan dan demokrasi pilihan raya. Paling utama sistem pilihan raya sekarang (FPTP) hampir tidak relevan lagi selepas 54 tahun merdeka.



supaya wujud satu badan bebas untuk mengawal-selia (regulate) capaian dan penggunaan media. Perlu digubal satu peraturan kempen menerusi media untuk membenarkan semua parti calon bertanding diberikan hak dalam media kerajaan dan swasta.


Perlu digubal peraturan kempen standard dengan memberi kuasa kepada SPR menyediakan, mengawal dan mengurus Pentas Kempen Sepadu di setiap daerah mengundi. SPR bolehlah mengatur jadual dan kebenaran berkempen (permit) secara bergilir kepada semua pihak yang bertanding bagi memberi peluang kapada semua pemilih mengikuti dan mengamati hujah dan maklumat. Pada masa sama, pemasangan bahan kempen harus dikawal dan tumpuan berkempen terbuka hanya di Pentas Kempen Sepadu.


Disarankan supaya pihak kerajaan memberi kebenaran dan mengistitusikan pentauliahan kapada Badan Pemerhati Pilihan Raya Antarabangsa dan Tempatan untuk menjadi pemerhati rasmi dalam bentuk jangka panjang (LTO) dan jangka pendek (5TO). Amalan ini penting bagi memastikan 'ketelusan' proses dan penjalanan demokrasi.


Kearah memastikan perjalanan pilihan raya yang tulen, bersih, bebas dan adil boleh dipertingkat dan diperkukuhkan melalui proses pemerhatian "over-sight
observation" oleh pihak ketiga yang berwibawa, terutamanya dari kalangan warga/institusi antarabangsa yang mempunyai kepakaran, kemahiran dan sumberdaya yang kukuh.



Diharap kepada beberapa cadangan dan saranan diatas mendapat perhatian dari Kerajaan  yang memerintah untuk melaksanakan suatu garis panduan, peraturan dan undang-undang pilihanraya yang adil. Sekiranya cadangan dan saranan ini dibuang ketepi dan tidak diberi tindakbalas, dikhuatiri akan wujud gejala atau unsur-unsur yang boleh merosakkan anak bangsa Malaysia yang akan mewarisi Negara dikemudian hari.





Berbalik dengan bahang Pilihan Raya Umum ke-13 semakin hampir inilah masanya untuk pemimpin politik menguatkan azam untuk berkempen secara matang. Gunakan kempen pilihan raya untuk menjelaskan dasar-dasar kepada rakyat dan bagaimana rakyat boleh mengambil bahagian dalam menjayakan agenda pembangunan Negara. Juga manfaatkan kempen sedia ada itu untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat Inilah yang didahagakan oleh rakyat jelata Rakyat jelata sudah bosan dengan politik kepartian yang keterlaluan.  Bersediakah pemimpin-pemimpin politik negara kita untuk berubah Ataupun terus menjadi bahan gurauan masyarakat antarabangsa.  Pilihan terletak ditangan mereka.