SPECIAL ADS

17 Jun 2015

FGV Bayar Mahal Kepada Sondakh ???

A Kadir Jasin
MUTAKHIR, 15 Jun – Pelabur tidak teruja dengan pembelian Eagle High Plantations (EHP) oleh FGV. Walaupun FGV mendakwa penilaian berdasarkan “enterprise value” (nilai perniagaan) itu berpatutan, tetapi pelabur tidak yakin. Sahamnya jatuh di Bursa Malaysia kepada RM1.68 jam 12.29 tengah hari tadi berbanding RM1.86 apabila digantung 11 Jun.

POSTING ASAL
PADA pandangan mata kasar, pembelian 37 peratus saham ladang PT Eagle High Plantation (EHP) di Indonesia oleh Felda Global Ventures Bhd (FGV) amatlah memberangsangkan.

EHP adalah anak syarikat konglomerat Rajawali iaitu salah sebuah syarikat terbesar di Indonesia. Rajawali dimiliki oleh Peter Sondakh yang disenaraikan oleh majalah Forbes sebagai orang kesembilan terkaya di Indonesia. Beliau bergelaran Tan Sri (kehormat).

Tan Sri Peter Sondakh "Penasihat" Mohd Najib
Urus niaga itu selaras dengan dasar kerajaan menggalakkan pelaburan Malaysia di luar negara dan dengan kedudukan FGV sebagai syarikat multinasional dalam bidang perladangan.

Lagipun bagi pelabur sektor perladangan, harapan memperluaskan ladang di dalam negara sudah tidak ada atau terhad kerana kita tidak lagi membenarkan pembukaan besar-besaran hutan belantara.

Dalam urus niaga itu, FGV membayar AS$680 juta (kira-kira RM2.5 bilion) dalam bentuk tunai dan saham. Pembelian itu turut merangkumi 95 peratus ladang tebu milik Rajawali.

Bagaimanapun, timbul beberapa persoalan yang perlu dianalisis dan difahami mengenai urus niaga itu.

1. Yang menggusarkan ialah harga yang dibayar oleh FGV sangat tinggi berbanding nilai pasaran saham EHP. FGV membayar hampir sekali ganda nilai saham EHP di Bursa Saham Indonesia (ISX). FGV membayar 800 rupiah sesaham sedang harga EHP di pasaran hanya sekitar 400 rupiah.

2. FGV nampak sangat murah hati walaupun ia sendiri berada dalam keadaan kesulitan akibat kelemahan harga minyak sawit, banjir besar Disember-Januari lalu yang menjejaskan pengeluaran ladang-ladangnya serta harga sahamnya yang merudum di Bursa Malaysia.

3. Contohnya, keuntungan tahun 2014 jatuh daripada RM1.56 bilion kepada RM826.4 juta kerana kemarau. Bagi suku pertama tahun ini (Januari-Mac) keuntungannya jatuh 98 peratus kepada hanya RM3.6 juta manakala harga sahamnya di Bursa Malaysia merudum daripada harga IPO RM4.55 pada tahun 2012 kepada kurang daripada RM2 sekarang.

4. Jadi adakah ini masa yang sesuai bagi FGV membuat pembelian dan pada harga yang jauh melebihi harga pasaran?

5. Ini menyebabkan penganalisis membuat andaian bahawa urus niaga itu lebih berupa operasi membantu Rajawali dan Peter Sondakh.

6. Adalah pengetahuan umum di kalangan pemerhati dan penganalisis pasaran yang Rajawali mungkin mengalami tekanan setelah percubaannya mengapungkan syarikat perlombongan emas miliknya tahun lalu gagal akibat kurang sambutan pelabur.
t
FGV dan Rajawali Satu Strategi
7. Lojiknya FGV membeli saham-saham EHP dengan harga diskaun kerana sektor perladangan kini dalam suasana lembap. Lagipun, bukan semua tanah milik EHP sudah mengeluarkan hasil. Daripada pegangan seluas 419,006 hektar, baru 147,298 hektar ditanam. Bakinya masih hutan belantara.

8. Memandangkan harga sahamnya sendiri amat rendah maka FGV terpaksa menyerahkan lebih banyak saham kepada penjual EHP. Saham FGV ditutup pada kadar RM1.85 pada 11 Jun.

9. Ada ramalan mengatakan FGV mungkin diambil balik (taken private) oleh Felda dan ditarik keluar daripada Bursa Malaysia kerana penarafan pasaran yang hambar.

10. Sudah menjadi pengetahuan umum di kalangan penggiat korporat dan pemerhati politik bahawa Sondakh sangat akrab dengan Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak, dan isterinya, Rosmah Mansor. Sejak 2010 Sondakh dikatakan menjadi "penasihat" Mohd Najib mengenai Indonesia.

11. Keakraban ini dikatakan menjadi pemangkin kepada pelaburan mewah Sondakh dalam projek pembinaan hotel St Regis dan pusat konvensyen antarabangsa Langkawi. Sumber-sumber perbankan mendakwa Sondakh mendapat pembiayaan mudah daripada institusi kewangan milik kerajaan Malaysia.

Peter Sondakh, Mohd Najib dan Rosmah
12. Macam banyak saham syarikat komoditi, saham EHP juga jatuh di Bursa Indonesia (ISX) sebelum ‘ditolak-naik’ kepada sekitar 400 rupiah. FGV membeli saham-saham tersebut dengan harga 800 Rupiah, sekali gus memberikan keuntungan atas kertas 100 peratus kepada penjual EHP.

13. Pembelian oleh FGV juga bercanggah dengan arahan Kementerian Kewangan bertarikh 26 Disember lalu kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan-badan berkanun agar memberhentikan sementara pembelian aset di luar negara bagi mengurangkan pengaliran keluar modal dan membantu menjana ekonomi domestik. Atau Mohd Najib, yang juga Mentor Felda, membuat pengecualian bagi membolehkan urus niaga itu.

Mungkin Sondakh Jelma Dalam 1MDB?
Dua bidang tanah di Tun Razak Exchange (TRX) Jalan Tun Razak sudah dijual terus atau secara usaha sama kepada dua pelabur asing – Lend Lease, Australia dan Mulia Group, Indonesia.

Apakah ada kemungkinan Rajawali atau Sondakh sendiri akan menjadi pembeli seterusnya? Sondakh suka kepada urus niaga berkembar. Misalnya, selepas menjual syarikat telekomunikasinya, Excelcomindo Pratama, kepada Telekom Malaysia pada pertengahan tahun 2000, beliau membeli aset perhotelan Khazanah Nasional Berhad di Kuala Lumpur dan Langkawi.

Penjualan tanah yang diperoleh dengan harga murah dari kerajaan kepada pelabur tempatan dan asing dengan harga tinggi memperkukuhkan pendapat bahawa 1MDB adalah skim cepat kaya.

Kita tidak memerlukan syarikat pelaburan strategik milik kerajaan kalau sekadar untuk beli tanah dan jual tanah macam orang kampung beli tanah dan pecah jadi lot untuk dijual.

Seorang pemaju hartanah Bumiputera yang pernah membeli tanah kerajaan untuk dimajukan berkata, apa yang dibuat oleh 1MDB sekarang tidak lebih daripada membeli tanah kerajaan dengan harga yang murah kemudian menilainya semula dan menjual sebagai lot pada harga yang berganda-ganda tinggi.

Katanya, siapa pun boleh melakukan kegiatan seperti itu tanpa memerlukan modal besar dan kepakaran. Tambahnya lagi, apa yang sedang dilakukan oleh 1MDB tidak lebih daripada perniagaan atas angin atau perniagaan Ali-Baba.
Maklumat mutakhir pasaran berkata, 1MDB sedang berunding dengan beberapa buah syarikat swasta, GLC dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) sama ada untuk membeli atau membangunkan bersama tanah bandar Malaysia di jalan Sungai Besi itu.

Antara syarikat yang disebut sebagai berkemungkinan memajukan tapak Bandar Malaysia ialah Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan Malton Berhad yang dimiliki oleh billionaire Desmond Lim Siew Choon.

Laporan media pada tahun 2010 berkata, kerajaan bersetuju konsortium membabitkan 1MDB, LTAT dan Malton Berhad membangunkan Pangkalan TUDM Sungai Besi menjadi Bandar Malaysia.

Sementara itu, sumber-sumber perakaunan pula berkata apa yang sedang dilakukan oleh 1MDB sekarang adalah bagi menjustifikasikan aset, hutang dan tanggungannya supaya selaras dengan kehendak Suruhanjaya Syarikat dan mematuhi piawaian perakaunan negara sambil cuba memberi gambaran bahawa tidak berlaku kesalahan tadbir urus atau pelanggaran undang-undang.

Tiada ulasan: