SPECIAL ADS

29 Jun 2015

TMJ : Pemimpin yang pengecut merupakan manusia paling bahaya


Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengingatkan bahawa pemimpin yang pengecut merupakan manusia paling bahaya sekali, sambil menekankan tentang pentingnya integriti dalam kepimpinan.

Tunku Ismail berkata nenda baginda - Almarhum Sultan Iskandar - selalu berpesan bahawa sifat kepimpinan yang paling agung adalah integriti, yang menurut baginda, semakin sukar dijumpai.

"Baginda juga berpesan bahawa seorang pemimpin yang pengecut merupakan manusia yang paling bahaya sekali, dan salah satu ujian dalam kepimpinan adalah untuk mengenal pasti sesuatu masalah sebelum ianya menjadi darurat.

"Baginda juga mendidik saya bahawa pemimpin yang hebat memperoleh kekuatan untuk mencapai visinya daripada semangat yang kental dan bukannya daripada jawatan atau kedudukannya," tegas baginda dalam Facebook Johor Southern Tigers.

Tunku Ismail bertitah bahawa baginda bersyukur kerana telah dibesarkan dan dididik oleh dua pemimpin yang unggul, iaitu Almarhum Sultan Iskandar dan ayahanda baginda Sultan Ibrahim.

Tunku Ismail bertitah, nasihat baginda kepada semua pemimpin dalam setiap sektor kerajaan, NGO dan organisasi di Johor adalah supaya memberikan inspirasi dan memimpin segenap lapisan rakyat.

"Jangan cuba memanipulasi dan menguruskan orang. Inventori barangan boleh diuruskan, tetapi rakyat harus dipimpin melalui tauladan dan dengan berintegriti.

"Ingatlah bahawa kunci kepimpinan yang cemerlang pada hari ini adalah dengan mempunyai pengaruh, bukannya dengan menunjukkan kuasa.

"Tiada maknanya jika anda mempunyai kuasa tetapi tidak mampu mempengaruhi rakyat secara positif. Sekiranya anda mempunyai kuasa tetapi tidak mampu mempengaruhi rakyat secara positif, itu petanda yang anda tidak layak menjadi seorang pemimpin," titah baginda.

Tunku Ismail juga bertitah nampaknya apa yang baginda katakan sering membuatkan ramai orang melenting.

"Oleh itu, saya hanya bercakap dalam konteks Negeri Johor yang dekat di hati saya," titah baginda lagi. MK

Tiada ulasan: