SPECIAL ADS

26 Jun 2015

Khalid Ibrahim sedia dilantik semula MB Selangor



PETALING JAYA: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sedia kembali menjadi Menteri Besar Selangor bagi memastikan negeri itu ditadbir secara telus, bertanggungjawab dan bebas rasuah. 

Namun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas Pelabuhan Klang itu berkata, beliau hanya boleh kembali menerajui Selangor jika mendapat majoriti mudah dalam Dewan Negeri Selangor (DNS).


"Saya sedia kembali menjadi Menteri Besar jika mendapat sokongan bagi memastikan Selangor ditadbir dengan telus, bertanggungjawab dan bebas rasuah," katanya seperti dilaporkan Malaymail Online.

Desas-desus sudah mula tersebar Abdul Khalid akan kembali menjadi Menteri Besar bagi menggantikan Mohamed Azmin Ali.

Dakwaan itu timbul apabila kemelut politik yang melanda DAP dan Pas yang turut sama mengheret Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menjejaskan pentadbiran negeri.

Azmin dikatakan tidak lagi mendapat sokongan DAP malah beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (PKR) juga tidak menaruh kepercayaan terhadap pemimpinan Azmin sebagai Menteri Besar.

Ketidaktentuan politik di Selangor mendapat perhatian Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mengingatkan kerajaan negeri memastikan kestabilan supaya pembangunan dapat diteruskan untuk rakyat.

Sejak akhir-akhir ini, kelibat Abdul Khalid kerap kelihatan dalam program-program rasmi yang dihadiri Sultan Selangor sekaligus menguatkan lagi desas desus itu.

Abdul Khalid diturunkan dari jawatan Menteri Besar selepas dituduh dengan pelbagai tuduhan antaranya penyelesaian hutang dengan Bank Islam yang meragukan, memberi kelulusan kepada pembinaan Lebuhraya Kinrara-Damansara (KIDEX) dan menandatangani penjanjian air dengan Kerajaan Persekutuan.


Namun, dakwaan-dakwaan itu khususnya berkaitan penyelesaian hutang Bank Islam gagal dibuktikan sehingga kini malah Azmin sendiri meneruskan perjanjian air yang telah dimulakan oleh Abdul Khalid. FMT

Tiada ulasan: