SPECIAL ADS

21 Februari 2015

1MDB dan Petrosaudi ‘kongkalikong’ untung mudah RM2.5 bilion untuk syarikat asing?

1mdb feat
KUALA LUMPUR, 21 FEB – ‘Ibu segala skandal’, 1Malaysia Development Berhad terus menimbulkan tanda tanya baru apabila satu lagi skandalnya didedahkan, kali ini melibatkan Petrosaudi International Limited (PSI).
Terbaru, Sarawak Report mendedahkan wujud usaha antara 1MDB dan Petrosaudi untuk mendapatkan keuntungan mudah daripada dana 1MDB tanpa modal satu sen pun, yang disifatkan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua sebagai sebuah penipuan yang licik.
Tony dalam kenyataannya hari ini bertanya kenapa 1MDB melabur US$1 bilion dalam sebuah usahasama yang membolehkan rakan seusahanya mengaut untung atas angin sebanyak US$ 700 juta (RM2.5 bilion) daripada dana yang disuntik oleh 1MDB.
Lebih menarik lagi, dana tersebut dikumpul daripada pinjaman yang dijamin oleh Kerajaan Malaysia.
Pada 18 September 2009, PSI menubuhkan anak syarikat diberi nama 1MDB Petrosaudi Limited dan seminggu kemudian menandatangani perjanjian bahawa anak syarikat tersebut berhutang US$700 juta dengan PSI.
Pada 29 September 2009, 1MDB membeli 40% saham 1MDB Petrosaudi Limited dengan suntikan US$1 bilion. Keesokan harinya, anak syarikat tersebut membayar keseluruhan ‘hutang’ US700 jutanya kepada PSI.
“Walaupun 1MDB Petrosaudi Limited ibarat sebuah bekas kosong, PSI telah membuat sebuah dokumen pinjaman yang menjadikan 1MDB Petrosaudi Limited sebuah syarikat dengan keterhutangan US700 juta.
“Dengan keadaan syarikat tersebut berhutang US$700 juta, 1MDB pula bersetuju melabur US$1 bilion (RM3.5 bilion).
“Sebaik sahaja perjanjian ditandatangani, malah mungkin sebelum dakwatnya kering, 1MDB Petrosaudi Limited membayar penuh hutang-hutangnya dengan dana yang diterima daripada 1MDB,” jelas Tony.
Menurut Setiausaha Publisiti DAP itu, perjanjian ini bermakna Petrosaudi International Limited dengan mudah mendapat tunai US$700 juta untuk kegunaan sendiri, tanpa perlu mengeluarkan modal.
Tony turut mendakwa transaksi yang begitu aneh ini menunjukkan wujud ‘kongkalikong’ antara PSI dan 1MDB untuk mengaut dana besar tersebut.
Usahasama 1MDB dan Petrosaudi merupakan pelaburan pertama yang dibuat oleh 1MDB, yang kini menanggung hutang berjumlah RM42 bilion setakat tahun 2014, yang dilaporkan masih belum mampu dilunaskan.
“Ia lubang pertama yang dikorek, dan disusuli lubang-lubang lain yang dikorek untuk menutup lubang-lubang terdahulu,” ujar Tony. – Roketkini.com

Australia mungkin beri lampu hijau temubual Sirul

Jabatan Imigresen Australia berkata ia tidak menolak kemungkinan Sirul Azhar Umar memberi temubual media jika proses permohonan yang sepatutnya dipenuhi.
                           
"Secara umumnya, jabatan ini tidak membolehkan temu bual dalam pusat tahanan atas sebab-sebab operasi," jurucakap menteri Imigresen, Peter Dutton, memberitahu akhbar AustraliaThe Age.

Bagaimanapun, jurucakap yang tidak dinamakan itu berkata sehingga ini jabatan tersebut tidak meluluskan sebarang temu bual television dengan Sirul Azhar Omar yang dihukum gantung di Kuala Lumpur yang kini sedang ditahan di pusat tahanan Villawood di Sydney.

Sirul Azhar Umar sebelum ini dilaporkan berkata dia sedang berunding dengan stesen televisyen Australia untuk temubual di mana beliau akan mendedahkan siapa yang didakwanya mengarahnya untuk menembak wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Manakala semalam, Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar berkata beliau akan mengadakan sidang media melalui telefon bersama Sirul yang kini berada di Australia.

MP Pokok Sena itu berkata sidang media akan berlangsung selama 15 minit bermula jam 11.30 pagi Isnin ini di ibu pejabat parti itu dengan menggunakan pembesar suara dan media dijemput menghadirinya.

Sirul, bekas pengawal peribadi Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Abdul Razak, memerlukan kelulusan peringkat tertinggi untuk merakam temu bual media dalam Villawood, di mana dia ditahan sejak ditangkap di Queensland pada 20 Januari.

Dalam komennya, Najib menyifatkan sebagai "mengarut"dakwaan Sirul yang dia bertindak atas arahan.  Sirul juga dilaporkan mendakwa “orang penting yang mempunyai motif” dalam kes itu masih bebas.

Bulan lalu Mahkamah Persekutuan mensabitkan Sirul dan seorang lagi bekas anggota pasukan elit polis, Azilah Hadri dengan kesalahan membunuh Altantuya dan menjatuhkan hukuman mati ke atas kedua-duanya. 
 

Generasi muda mahu ahli politik baru

Fahmi Zainol berharap Anak Muda Harapan Malaysia (AMHM) menjadi platform bagi wakil semua kaum membuat keputusan mengenai dasar kerajaan. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 21 Februari, 2015.
Sebuah pergerakan pelajar merancang menyediakan ahli politik untuk pilihan raya akan datang bertujuan melawan parti sedia ada, yang katanya tidak mampu melahirkan pemimpin masa depan yang relevan kepada rakyat Malaysia.
Fahmi Zainol, pemimpin gerakan yang bergelar Anak Muda Harapan Malaysia (AMHM) itu berkata, veteran politik Tengku Razaleigh Hamzah dan beberapa diplomat menyatakan persetujuan terhadap idea itu dan menawarkan pertolongan dalam membiayai program pendidikan politik itu.
Fahmi berkata pergerakan itu mahu menonjolkan ahli politik yang tidak bercakap mengikut garisan kaum dan  menjanjikan hak sama rata kepada rakyat Malaysia.
Dalam beberapa bulan kewujudan mereka, kumpulan itu mengadakan perbincangan dengan Tengku Razaleigh, atau Ku Li, dan seorang diplomat asing mengenai demokrasi, hak asasi manusia dan hubungan kaum.
Fahmi berkata AMHM mahu sebuah masa depan di mana wakil semua kaum akan bersama membuat keputusan mengenai dasar kerajaan, sambil menambah yang dasar tindakan afirmatif Bumiputera ketinggalan zaman dan perlu dilihat semula bagi memastikan sama ada ia masih diperlukan.
Kumpulan itu merasakan, selepas 57 tahun merdeka, pemimpin Malaysia perlu melihat di luar kaum dan agama dan menyasarkan tindakan afirmatif  terhadap mereka yang memerlukan, tanpa mengira warna kulit atau fahaman.
AMHM lahir dari peristiwa UM8 Oktober lalu, di mana lapan mahasiswa Universiti Malaya dihukum pentadbiran universiti kerana menganjurkan ceramah dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di kampus.
Fahmi, bekas presiden Persatuan Mahasiswa UM, diberikan hukuman paling berat - penggantungan dua semester dan denda RM600.
Fahmi, 24, memberitahu The Malaysian Insider walaupun beliau bimbang tentang masa depannya dan khuatir tidak dapat kembali ke universiti apabila penggal baru bermula minggu lalu, dia tetap sibuk menguruskan AMHM supaya berjalan lancar.
Katanya, satu surat terbuka yang dihantar kumpulan itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bulan lalu membuatkan mereka mula mendapat perhatian dan menerima sokongan orang ramai.
Surat itu menggesa Najib memansuhkan dasar yang berkisar sekitar orang Melayu dan sekolah vernakular bagi memastikan masa depan yang lebih baik untuk Malaysia.
Dan walaupun masih belum mendapat respons daripada perdana menteri, mereka senang dengan pertemuan dengan Ku Li, yang merupakan seorang putera raja Kelantan dan ahli Parlimen paling lama berkhidmat, dan diplomat asing itu.
"Tengku Razaleigh menawarkan kami sokongan dari segi nasihat ekonomi dan berjanji akan mencarikan penasihat bagi kami dalam bidang-bidang lain yang diperlukan.
"Beliau juga amat mengambil berat mengenai pengusiran saya dan ingin tahu secara terperinci apa yang berlaku," kata Fahmi.
Dalam pertemuan dengan diplomat itu pula, katanya, mereka membincangkan isu berkaitan demokrasi dan hak asasi manusia di Malaysia, dan hubungan kaum yang semakin merosot di negara ini.
Bangsa yang berpecah
Menurut Fahmi, diplomat itu juga menawarkan pembiayaan kepada kumpulan itu, tertakluk kepada terma yang dipersetujui kedua-dua pihak.
Beliau berkata penubuhan kumpulan itu tepat pada masanya, memandangkan selepas 57 tahun merdeka, negara kini berpecah dan masih berbalah mengikut garis perkauman.
Sudah tiba masanya Malaysia bergerak ke arah masyarakat yang lebih liberal yang menjanjikan hak dan kebebasan bersuara yang sama bagi setiap rakyat, katanya.
"Dalam surat kami kepada perdana menteri, kami melahirkan harapan untuk sebuah negara yang akan menghormati kebebasan bersuara setiap warganya kerana pada masa ini, kita ditindas pemimpin kita.
"Kami juga mahu menggalakkan masyarakat yang mempunyai hak yang sama, bukan yang membenarkan satu kaum menguasai yang lain, " katanya sambil menambah, walaupun Islam agama persekutuan, semua orang perlu menghormati kepercayaan masing-masing.
Kerana memiliki idea sebegitu, AMHM diserang kumpulan yang memperjuangkan hak Melayu, Jaringan Melayu Malaysia, yang menggesa polis menyiasat pergerakan anak muda itu kerana dituduh menghasut apabila menyeru keistimewaan Melayu dihapuskan.
Zawani Syafiqah memberitahu salah satu kebimbangan Anak Muda Harapan Malaysia (AMHM) ialah penduduk bukan Islam terutama Cina yang mula meninggalkan negara dalam jumlah yang besar kerana mencari masa depan lebih baik. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 21 Februari, 2015.
Zawani Syafiqah memberitahu salah satu kebimbangan Anak Muda Harapan Malaysia (AMHM) ialah penduduk bukan Islam terutama Cina yang mula meninggalkan negara dalam jumlah yang besar kerana mencari masa depan lebih baik. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 21 Februari, 2015.

Pelajar UM Zawani Syafiqah, seorang lagi anggota pengasas AMHM berkata, salah satu kebimbangan utamanya ialah hakikat yang orang bukan Islam, terutamanya kaum Cina, dan Melayu, mula meninggalkan negara ini dalam jumlah yang agak besar.

"Dan kami bukan bercakap tentang mereka yang di atas, yang bernasib baik dan berpendidikan tinggi, malah rakyat Malaysia yang orang biasa juga keluar mencari masa depan yang lebih baik, akibat amalan berpolitik yang tidak sihat di sini.
"Orang Melayu yang berpendidikan juga meninggalkan negara ini," katanya.
Zawani berkata ini sesuatu yang membimbangkan kerana Malaysia tidak boleh berdiri hanya di atas kekuatan satu kaum sambil menambah, kepelbagaian kumpulan etnik yang berbeza itulah yang mendorong kemajuan negara.
"Tetapi sekarang, di sekolah dan di universiti juga, anak muda kita lebih suka duduk bersama kaum mereka sendiri sahaja, ini tidak sihat," katanya.
Fahmi berkata, AMHM tidak cenderung kepada mana-mana parti politik, tetapi mahu menjadi sebuah gerakan belia yang akan membantu membangunkan generasi pemimpin masa depan yang menyokong perlunya dasar negara diputuskan bersama.
"Satu kaum tidak boleh membuat keputusan dasar bagi sebuah negara yang berbilang etnik, wakil dari semua latar belakang perlu terlibat dalam menggubal sesuatu dasar.
"Tetapi sekarang, pemimpin kita ada yang cuba menggunakan peristiwa 13 Mei untuk terus memecahbelahkan rakyat, kita juga ada menteri yang meminta barangan daripada kaum tertentu diboikot. Ini bukan cara untuk maju ke depan," katanya.
Didorong oleh keperluan
Zawani yakin lebih ramai belia akan menyertai pergerakan mereka terutama melalui media sosial.
Katanya, AMHM setakat ini merekrut 33 ahli dan menetapkan sasaran mencapai 50 ahli aktif pada akhir tahun ini yang komited menjalankan program.
Ditanya sama ada mereka akan mempunyai stamina dan sumber untuk jangka panjang selepas mereka menamatkan pengajian, kedua mereka berkata mereka didorong oleh keperluan.
Pada masa akan datang, kata mereka, pasti pergerakan memperjuangkan keadilan sosial yang diterajui aktivis veteran akan beransur luput apabila pemimpin mereka semakin berumur, memetik contoh sasterawan negara Datuk A.Samad Said yang berusia 80 tahun, penaung gerakan masyarakat sivil Negara-Ku .
Sama ada pengasas kumpulan itu akan cenderung menyertai mana-mana parti politik satu masa nanti, kedua-dua Fahmi dan Zawani mengakui kemungkinan itu.
Bagi Fahmi, yang paling menarik hatinya ialah DAP, memandangkan cara ia dikendalikan dengan profesional.
"Mereka mungkin mempunyai politik dalaman, tetapi sekurang-kurangnya mereka memastikan ia tidak terbuka kepada orang luar, tidak seperti parti politik lain.
"Saya mengagumi profesionalisme begitu," katanya.
Zawani, sementara itu, memilih Parti Sosialis Malaysia (PSM) sebagai parti dengan nilai yang cukup baik.
"Mereka mungkin tidak popular tetapi mereka tetap berpegang kepada objektif mereka.
"Orang seperti Dr Jeyakumar, beliau menunaikan apa yang dijanjikan. Saya mengagumi orang-orang seperti dia," katanya, merujuk kepada ahli Parlimen Sungai Siput daripada PSM Dr Jeyakumar Devaraj. TMI

20 Februari 2015

Kes Bunuh Altantuya Shaariibuu : Sirul Azhar Bongkar Kronologi Misteri Motif Bunuh, Guna Bom C4 di Malam Kejadian?

altantuya shaariibuu
Kes Bunuh Altantuya Shaariibuu : Sirul Azhar Bongkar Kronologi Misteri Motif Bunuh, Guna Bom C4 di Malam Kejadian? : “Saya menjadi kambing hitam yang harus dikorbankan”. Begitulah antara bait-bait perkataan yang terpacul daripada mulut anggota UTK Koperal Sirul Azhar pada tanggal 4 Februari 2009 dalam kandang tertuduh di Mahkamah Tinggi Shah Alam Selangor.
Macam-macam tuduhan dan dakwaan yang terkait disebalik kes pembunuhan Altantuya Shariibuu ini yang mana Berita Semasa boleh katakan di sini kes pembunuhan berprofil inggi ini cukup sarat elemen drama seperti rasuah, seks, penyelewengan, pembunuhan, penganiayaan.
Figura yang bernama Sirul Azhar Omar yang berhadapan hukuman gantung sampai mati ini, hari ini beliau berada di Australia suatu negara yang menentang keras hukuman mati.
Sehinggakan Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam Majlis Profesor Negara (MPN) Prof. Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood mengatakan usaha membawa pulang Sirul sangat sukar dan amat mustahil.

Wawancara Sirul Azhar di Australia : Butiran Pembongkaran Kes Bunuh Altantuya?

Berita terkini yang Berita Semasa terima pada ketika ini yang mana Sirul Azhar sedang “dipancing dan dipinang” oleh stesen media terkemuka Australia bagi membongkar apa sebenarnya yang berlaku disebalik kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu ini berdasarkan pengakuan Sirul sendiri yang mana besar kemungkinan beberapa perkara penting seperti di bawah ini akan didedahkan secara terperinci :
  1. Kenapa dia (Sirul) dan Azilah bunuh Altantuya Shaariibuu
    Sirul dan Azilah akan menjelaskan bagaimana mereka menerima arahan untuk bunuh Altantuya Shaariibuu
  2. Mengapa dan kenapa beliau mengatakan dirinya menjadi “kambing hitam” ketika berlangsung perbicaraan ke atas dirinya dan Azilah
  3. Sirul Azhar akan meluahkan ketidakpuashatiannya secara terprinci bagaimana orang penting yang mempunyai motif disebalik kes bunuh Altantuya Shaariibuu masih bebas
Isu ini menjadi perhatian dan menjadi buah mulut apabila kes disebalik kes bunuh Altantuya Shaariibuu ini dikaitkan dengan :
  1. komisen pembelian kapal selam
  2. rekod Imigresen Altantuya Shaariibuu hilang entah ke mana
  3. dakwaan mengatakan Altantuya mengandungkan anak “seseorang” pada ketika itu
  4. bagaimana kelulusan pengunaan bom C4 diperolehi sedangkan ia perlu diluluskan di peringkat tertinggi
  5. prosiding mahkamah mengatakan motif tidak penting sedangkan dua polis elit UTK ini sama sekali
Sehingga akhirnya meninggalkan beberapa persoalan di atas tanpa jawapan sehingga ke hari ini. Jigsaw puzzle dan misteri yang menarik untuk dirungkaikan. Boleh dikatakan semua kes bunuh di Malaysia ada motif, kes Mona Fendy pun ada motif, Cuma kes bunuh Altantuya Shaariibuu tidak pelru motif? Hebat…..
Hebat sangatkah Sirul Azhar dan Azilah Hadri sehingga mempunyai orang bawahan di Imigresen, Tentera yang mampu melicinkan perjalanan disebalik “tugasan khas” mereka berdua bunuh Altantuya Shaariibuu.
P/S : Berita Semasa sehingga ke hari ini tidak menyangka ada rakyat Malaysia yang sanggup bukan sahaja bunuh malahan meletupkannya dengan bom yang berada dalam simpanan Kementerian Pertahanan Malaysia sehingga berkecai.
PP/S : Apa yang Berita Semasa harapkan di Malaysia, mana yang benar kemenangan akan berpihak padanya tanpa mengira kaum, bangsa, agama, kuasa dan pangkat. Salah tetap salah. Jangan sampai ada yang terlepas dan “terkecuali”. beritasemasa.com.my

Australia belum beri lampu hijau telesidang Sirul

Pihak berkuasa imigresen Australia masih belum meluluskan sesi telesidang yang diumumkan PAS hari ini bagi membolehkan Sirul Azhar Umar, yang disabitkan membunuh model Mongolia Altantuya Shaariibuu pada 2006, bercakap dengan media tempatan secara langsung.
Media Australia memetik seorang jurucakap menteri imigresen negara itu sebagai berkata, temu bual dalam pusat tahanan, pada amnya tidak dibenarkan "atas sebab-sebab operasi".
Jurucakap itu bagaimanapun berkata, ia boleh dibenarkan pada masa akan datang selepas prosedur permohonan yang betul dipatuhi.
Terdahulu hari ini, Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar berkata PAS akan mengadakan satu sesi telesidang selama 15 minit pada pagi Isnin ini bersama bekas komando polis itu yang kini berada di Australia.
Melalui sesi tersebut, katanya, Sirul akan berkomunikasi secara terus dengan media tempatan, bagaimanapun butiran terperinci mengenainya masih belum dimuktamadkan.
Tindakan itu susulan kesediaan Sirul untuk dikatakan 'mendedahkan kesemuanya' berhubung peranannya dalam kes Altantuya itu, menurut satu temubual melalui telefon yang diberikannya kepada portal berita Malaysiakini baru-baru ini.
Sirul antara lain mengatakan, beliau hanya menjalankan arahan yang diterimanya di dalam kes itu dan 'orang-orang penting dengan motif tertentu masih bebas,' tetapi kenyataannya itu disifatkan sebagai mengarut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam.
Bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) itu kini berada di pusat tahanan Jabatan Imigresen dan Perlindungan Sempadan di Sydney, selepas ditangkap di Queensland pada 20 Januari berikutan amaran merah dikeluarkan Interpol.
Panel 5 hakim Mahkamah Persekutuan pada 13 Januari lalu menghukum Sirul dan rakan setugasnya bekas Ketua Inspektor Azilah Hadri ke tali gantung kerana membunuh Altantuya, membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan pada 2013. TMI

19 Februari 2015

Konsep Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Jadi Model Kepada Negara Luar



KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) - Konsep tanah perkuburan Islam dalam taman (Raudhatul Sakinah) yang diperkenalkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mendapat pujian daripada negara luar seperti Brunei, Indonesia dan Singapura.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata negara berkenaan berminat untuk menjadikan konsep itu sebagai model pembinaan kawasan perkuburan di negara masing-masing.


"Mereka (Brunei, Indonesia dan Singapura) menghantar delegasi untuk melihat Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah (projek pertama MAIWP) di sini dekat dengan Karak (Lebuhraya KL-Karak).

"Mereka bagi pujian kepada kita dan hasil daripada itu kita kembangkan projek kedua ini (membuka) Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Kepong," katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Kepong di Kampung Melayu Kepong di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Jamil Khir berkata kawasan tanah perkuburan Islam berkonsepkan Raudhathul Sakinah lebih tersusun termasuk dilengkapi dengan pelbagai kemudahan untuk kegunaan pihak pengurusan dan pelawat.

"Ada landskap tersendiri, ada plot perkuburan lelaki dan perempuan yang diasingkan...ada tempat letak kereta, tempat rehat, kemudahan jalan masuk dan kemudahan paip air dan lampu taman yang memudahkan pelawat ziarah kubur," katanya.


Jamil Khir berkata lot kubur pula diseragamkan saiz serta kepungan untuk menampakkan kekemasan bagi keseluruhan kawasan dan bagi lot kubur yang belum digunakan akan diletakkan batu tanda dengan nombor siri bagi setiap lot.

"Dan diseragamkan dengan sistem e-pusara dan papan tanda plot kubur bagi memudahkan pencarian sesebuah lot kubur pada masa hadapan," katanya.

Katanya e-pusara yang dikendalikan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) antaranya bagi memudahkan pengguna laman web e-pusara ini untuk mengenal pasti plot kubur di tanah perkuburan.

Jamil Khir berkata pelaksanaan konsep Raudhatul Sakinah di perkuburan mampu memperlihatkan keindahan Islam di samping menghakis rasa gerun terhadap tanah perkuburan.

Sehubungan itu, beliau mengajak negeri-negeri lain mengambil bahagian membangunkan kawasan perkuburan masing-masing dengan melaksanakan konsep tanah perkuburan Islam dalam taman sebagai satu daripada cara memberi keselesaan kepada rakyat.

Gambar-kosmo!

Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Kepong seluas 3.24 hektar itu menelan kos RM6 juta dan dijangka siap Jun ini.

Jumlah unit kubur di tanah perkuburan Islam itu adalah sebanyak 6,942 unit iaitu 859 (kanak-kanak) dan 6,083 (dewasa).

sumber 

Musa Hassan : Polis Perlu Siasat Semua Pendedahan Sirul

KUALA LUMPUR: Polis seharusnya menyiasat apa sahaja dakwaan bekas koperal Unit Tindakan Khas (UTK) Polis, Sirul Azhar yang mengatakan bertindak mengikut arahan di dalam kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, polis juga seharusnya mengambil kira semua pendedahan Sirul dan mengesahkan kebenaran setiap maklumat yang didakwa.

"Polis kena siasat untuk mengesahkan ia betul atau tidak, setiap perkara baru yang didedahkan perlu disiasat semula.

"Polis juga perlu mengesahkan dakwaan Sirul sama ada ia benar atau tohmahan semata-mata," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Musa mengulas jawapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyifatkan Sirul mengarut ketika di tanya wartawan mengenai dakwaan 'orang penting yang mempunyai motif' dalam kes itu yang masih bebas.

Dalam pada itu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dilaporkan berkata, Sirul berhak membuat pendedahan mengenai pembunuhan Altantuya.

Kata Musa lagi, kerajaan harus meminta Sirul untuk pulang ke negara ini untuk memberi peluang polis menyiasat segala dakwaannya.

Sirul sebelum ini dilaporkan kesal kerana dijatuhkan hukuman mati selepas melakukan apa yang diarahkan.

Dia berkata seandainya ditakdirkan mati, rohnya tidak akan aman kerana hanya melakukan apa yang diarah dan mendapat balasan demikian.

Musa merupakan Ketua Polis Negara Malaysia yang kelapan dan berkhidmat sejak 12 November 2006 sehingga 12 September 2010.

- astroawani