SPECIAL ADS

20 Februari 2015

Australia belum beri lampu hijau telesidang Sirul

Pihak berkuasa imigresen Australia masih belum meluluskan sesi telesidang yang diumumkan PAS hari ini bagi membolehkan Sirul Azhar Umar, yang disabitkan membunuh model Mongolia Altantuya Shaariibuu pada 2006, bercakap dengan media tempatan secara langsung.
Media Australia memetik seorang jurucakap menteri imigresen negara itu sebagai berkata, temu bual dalam pusat tahanan, pada amnya tidak dibenarkan "atas sebab-sebab operasi".
Jurucakap itu bagaimanapun berkata, ia boleh dibenarkan pada masa akan datang selepas prosedur permohonan yang betul dipatuhi.
Terdahulu hari ini, Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar berkata PAS akan mengadakan satu sesi telesidang selama 15 minit pada pagi Isnin ini bersama bekas komando polis itu yang kini berada di Australia.
Melalui sesi tersebut, katanya, Sirul akan berkomunikasi secara terus dengan media tempatan, bagaimanapun butiran terperinci mengenainya masih belum dimuktamadkan.
Tindakan itu susulan kesediaan Sirul untuk dikatakan 'mendedahkan kesemuanya' berhubung peranannya dalam kes Altantuya itu, menurut satu temubual melalui telefon yang diberikannya kepada portal berita Malaysiakini baru-baru ini.
Sirul antara lain mengatakan, beliau hanya menjalankan arahan yang diterimanya di dalam kes itu dan 'orang-orang penting dengan motif tertentu masih bebas,' tetapi kenyataannya itu disifatkan sebagai mengarut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam.
Bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) itu kini berada di pusat tahanan Jabatan Imigresen dan Perlindungan Sempadan di Sydney, selepas ditangkap di Queensland pada 20 Januari berikutan amaran merah dikeluarkan Interpol.
Panel 5 hakim Mahkamah Persekutuan pada 13 Januari lalu menghukum Sirul dan rakan setugasnya bekas Ketua Inspektor Azilah Hadri ke tali gantung kerana membunuh Altantuya, membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan pada 2013. TMI

Tiada ulasan: