SPECIAL ADS

21 Februari 2015

Generasi muda mahu ahli politik baru

Fahmi Zainol berharap Anak Muda Harapan Malaysia (AMHM) menjadi platform bagi wakil semua kaum membuat keputusan mengenai dasar kerajaan. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 21 Februari, 2015.
Sebuah pergerakan pelajar merancang menyediakan ahli politik untuk pilihan raya akan datang bertujuan melawan parti sedia ada, yang katanya tidak mampu melahirkan pemimpin masa depan yang relevan kepada rakyat Malaysia.
Fahmi Zainol, pemimpin gerakan yang bergelar Anak Muda Harapan Malaysia (AMHM) itu berkata, veteran politik Tengku Razaleigh Hamzah dan beberapa diplomat menyatakan persetujuan terhadap idea itu dan menawarkan pertolongan dalam membiayai program pendidikan politik itu.
Fahmi berkata pergerakan itu mahu menonjolkan ahli politik yang tidak bercakap mengikut garisan kaum dan  menjanjikan hak sama rata kepada rakyat Malaysia.
Dalam beberapa bulan kewujudan mereka, kumpulan itu mengadakan perbincangan dengan Tengku Razaleigh, atau Ku Li, dan seorang diplomat asing mengenai demokrasi, hak asasi manusia dan hubungan kaum.
Fahmi berkata AMHM mahu sebuah masa depan di mana wakil semua kaum akan bersama membuat keputusan mengenai dasar kerajaan, sambil menambah yang dasar tindakan afirmatif Bumiputera ketinggalan zaman dan perlu dilihat semula bagi memastikan sama ada ia masih diperlukan.
Kumpulan itu merasakan, selepas 57 tahun merdeka, pemimpin Malaysia perlu melihat di luar kaum dan agama dan menyasarkan tindakan afirmatif  terhadap mereka yang memerlukan, tanpa mengira warna kulit atau fahaman.
AMHM lahir dari peristiwa UM8 Oktober lalu, di mana lapan mahasiswa Universiti Malaya dihukum pentadbiran universiti kerana menganjurkan ceramah dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di kampus.
Fahmi, bekas presiden Persatuan Mahasiswa UM, diberikan hukuman paling berat - penggantungan dua semester dan denda RM600.
Fahmi, 24, memberitahu The Malaysian Insider walaupun beliau bimbang tentang masa depannya dan khuatir tidak dapat kembali ke universiti apabila penggal baru bermula minggu lalu, dia tetap sibuk menguruskan AMHM supaya berjalan lancar.
Katanya, satu surat terbuka yang dihantar kumpulan itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bulan lalu membuatkan mereka mula mendapat perhatian dan menerima sokongan orang ramai.
Surat itu menggesa Najib memansuhkan dasar yang berkisar sekitar orang Melayu dan sekolah vernakular bagi memastikan masa depan yang lebih baik untuk Malaysia.
Dan walaupun masih belum mendapat respons daripada perdana menteri, mereka senang dengan pertemuan dengan Ku Li, yang merupakan seorang putera raja Kelantan dan ahli Parlimen paling lama berkhidmat, dan diplomat asing itu.
"Tengku Razaleigh menawarkan kami sokongan dari segi nasihat ekonomi dan berjanji akan mencarikan penasihat bagi kami dalam bidang-bidang lain yang diperlukan.
"Beliau juga amat mengambil berat mengenai pengusiran saya dan ingin tahu secara terperinci apa yang berlaku," kata Fahmi.
Dalam pertemuan dengan diplomat itu pula, katanya, mereka membincangkan isu berkaitan demokrasi dan hak asasi manusia di Malaysia, dan hubungan kaum yang semakin merosot di negara ini.
Bangsa yang berpecah
Menurut Fahmi, diplomat itu juga menawarkan pembiayaan kepada kumpulan itu, tertakluk kepada terma yang dipersetujui kedua-dua pihak.
Beliau berkata penubuhan kumpulan itu tepat pada masanya, memandangkan selepas 57 tahun merdeka, negara kini berpecah dan masih berbalah mengikut garis perkauman.
Sudah tiba masanya Malaysia bergerak ke arah masyarakat yang lebih liberal yang menjanjikan hak dan kebebasan bersuara yang sama bagi setiap rakyat, katanya.
"Dalam surat kami kepada perdana menteri, kami melahirkan harapan untuk sebuah negara yang akan menghormati kebebasan bersuara setiap warganya kerana pada masa ini, kita ditindas pemimpin kita.
"Kami juga mahu menggalakkan masyarakat yang mempunyai hak yang sama, bukan yang membenarkan satu kaum menguasai yang lain, " katanya sambil menambah, walaupun Islam agama persekutuan, semua orang perlu menghormati kepercayaan masing-masing.
Kerana memiliki idea sebegitu, AMHM diserang kumpulan yang memperjuangkan hak Melayu, Jaringan Melayu Malaysia, yang menggesa polis menyiasat pergerakan anak muda itu kerana dituduh menghasut apabila menyeru keistimewaan Melayu dihapuskan.
Zawani Syafiqah memberitahu salah satu kebimbangan Anak Muda Harapan Malaysia (AMHM) ialah penduduk bukan Islam terutama Cina yang mula meninggalkan negara dalam jumlah yang besar kerana mencari masa depan lebih baik. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 21 Februari, 2015.
Zawani Syafiqah memberitahu salah satu kebimbangan Anak Muda Harapan Malaysia (AMHM) ialah penduduk bukan Islam terutama Cina yang mula meninggalkan negara dalam jumlah yang besar kerana mencari masa depan lebih baik. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 21 Februari, 2015.

Pelajar UM Zawani Syafiqah, seorang lagi anggota pengasas AMHM berkata, salah satu kebimbangan utamanya ialah hakikat yang orang bukan Islam, terutamanya kaum Cina, dan Melayu, mula meninggalkan negara ini dalam jumlah yang agak besar.

"Dan kami bukan bercakap tentang mereka yang di atas, yang bernasib baik dan berpendidikan tinggi, malah rakyat Malaysia yang orang biasa juga keluar mencari masa depan yang lebih baik, akibat amalan berpolitik yang tidak sihat di sini.
"Orang Melayu yang berpendidikan juga meninggalkan negara ini," katanya.
Zawani berkata ini sesuatu yang membimbangkan kerana Malaysia tidak boleh berdiri hanya di atas kekuatan satu kaum sambil menambah, kepelbagaian kumpulan etnik yang berbeza itulah yang mendorong kemajuan negara.
"Tetapi sekarang, di sekolah dan di universiti juga, anak muda kita lebih suka duduk bersama kaum mereka sendiri sahaja, ini tidak sihat," katanya.
Fahmi berkata, AMHM tidak cenderung kepada mana-mana parti politik, tetapi mahu menjadi sebuah gerakan belia yang akan membantu membangunkan generasi pemimpin masa depan yang menyokong perlunya dasar negara diputuskan bersama.
"Satu kaum tidak boleh membuat keputusan dasar bagi sebuah negara yang berbilang etnik, wakil dari semua latar belakang perlu terlibat dalam menggubal sesuatu dasar.
"Tetapi sekarang, pemimpin kita ada yang cuba menggunakan peristiwa 13 Mei untuk terus memecahbelahkan rakyat, kita juga ada menteri yang meminta barangan daripada kaum tertentu diboikot. Ini bukan cara untuk maju ke depan," katanya.
Didorong oleh keperluan
Zawani yakin lebih ramai belia akan menyertai pergerakan mereka terutama melalui media sosial.
Katanya, AMHM setakat ini merekrut 33 ahli dan menetapkan sasaran mencapai 50 ahli aktif pada akhir tahun ini yang komited menjalankan program.
Ditanya sama ada mereka akan mempunyai stamina dan sumber untuk jangka panjang selepas mereka menamatkan pengajian, kedua mereka berkata mereka didorong oleh keperluan.
Pada masa akan datang, kata mereka, pasti pergerakan memperjuangkan keadilan sosial yang diterajui aktivis veteran akan beransur luput apabila pemimpin mereka semakin berumur, memetik contoh sasterawan negara Datuk A.Samad Said yang berusia 80 tahun, penaung gerakan masyarakat sivil Negara-Ku .
Sama ada pengasas kumpulan itu akan cenderung menyertai mana-mana parti politik satu masa nanti, kedua-dua Fahmi dan Zawani mengakui kemungkinan itu.
Bagi Fahmi, yang paling menarik hatinya ialah DAP, memandangkan cara ia dikendalikan dengan profesional.
"Mereka mungkin mempunyai politik dalaman, tetapi sekurang-kurangnya mereka memastikan ia tidak terbuka kepada orang luar, tidak seperti parti politik lain.
"Saya mengagumi profesionalisme begitu," katanya.
Zawani, sementara itu, memilih Parti Sosialis Malaysia (PSM) sebagai parti dengan nilai yang cukup baik.
"Mereka mungkin tidak popular tetapi mereka tetap berpegang kepada objektif mereka.
"Orang seperti Dr Jeyakumar, beliau menunaikan apa yang dijanjikan. Saya mengagumi orang-orang seperti dia," katanya, merujuk kepada ahli Parlimen Sungai Siput daripada PSM Dr Jeyakumar Devaraj. TMI

Tiada ulasan: