SPECIAL ADS

19 Februari 2015

Konsep Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Jadi Model Kepada Negara Luar



KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) - Konsep tanah perkuburan Islam dalam taman (Raudhatul Sakinah) yang diperkenalkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mendapat pujian daripada negara luar seperti Brunei, Indonesia dan Singapura.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata negara berkenaan berminat untuk menjadikan konsep itu sebagai model pembinaan kawasan perkuburan di negara masing-masing.


"Mereka (Brunei, Indonesia dan Singapura) menghantar delegasi untuk melihat Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah (projek pertama MAIWP) di sini dekat dengan Karak (Lebuhraya KL-Karak).

"Mereka bagi pujian kepada kita dan hasil daripada itu kita kembangkan projek kedua ini (membuka) Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Kepong," katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Kepong di Kampung Melayu Kepong di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Jamil Khir berkata kawasan tanah perkuburan Islam berkonsepkan Raudhathul Sakinah lebih tersusun termasuk dilengkapi dengan pelbagai kemudahan untuk kegunaan pihak pengurusan dan pelawat.

"Ada landskap tersendiri, ada plot perkuburan lelaki dan perempuan yang diasingkan...ada tempat letak kereta, tempat rehat, kemudahan jalan masuk dan kemudahan paip air dan lampu taman yang memudahkan pelawat ziarah kubur," katanya.


Jamil Khir berkata lot kubur pula diseragamkan saiz serta kepungan untuk menampakkan kekemasan bagi keseluruhan kawasan dan bagi lot kubur yang belum digunakan akan diletakkan batu tanda dengan nombor siri bagi setiap lot.

"Dan diseragamkan dengan sistem e-pusara dan papan tanda plot kubur bagi memudahkan pencarian sesebuah lot kubur pada masa hadapan," katanya.

Katanya e-pusara yang dikendalikan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) antaranya bagi memudahkan pengguna laman web e-pusara ini untuk mengenal pasti plot kubur di tanah perkuburan.

Jamil Khir berkata pelaksanaan konsep Raudhatul Sakinah di perkuburan mampu memperlihatkan keindahan Islam di samping menghakis rasa gerun terhadap tanah perkuburan.

Sehubungan itu, beliau mengajak negeri-negeri lain mengambil bahagian membangunkan kawasan perkuburan masing-masing dengan melaksanakan konsep tanah perkuburan Islam dalam taman sebagai satu daripada cara memberi keselesaan kepada rakyat.

Gambar-kosmo!

Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Kepong seluas 3.24 hektar itu menelan kos RM6 juta dan dijangka siap Jun ini.

Jumlah unit kubur di tanah perkuburan Islam itu adalah sebanyak 6,942 unit iaitu 859 (kanak-kanak) dan 6,083 (dewasa).

sumber 

Tiada ulasan: