SPECIAL ADS

20 Disember 2012

Anwar Cabar Najib Berdebat: Isu Ekonomi Negara



Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim cabar Datuk Seri Najib Razak berdebat isu ekonomi, supaya Perdana Menteri boleh buktikan rekod pengurusan ekonomi negara berada dalam keadaan baik semasa pentadbirannya.
“Saya sekali lagi mencabar beliau untuk berdebat dan berbahas mengenai pengurusan ekonomi negara.

“Saya lontarkan cabaran ini kerana yakin isu ini merupakan isu yang paling menarik minat rakyat dalam menghadapi PRU 13 (Pilihan Raya Umum ke 13) kerana rakyat nak tahu bagaimana tata kelola pengurusan ekonomi yang baik
“Najib harus terima cabaran ini untuk buktikan rekod pengurusan ekonomi beliau yang didakwa berada dalam keadaan baik, bukannya mengelak dari menjawab isu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, hari ini.
Laporan terbaru oleh Global Financial Integrity (GFI) meletakkan Malaysia sebagai negara kedua paling teruk dalam senarai pengeluaran wang haram di kalangan negara-negara membangun di seluruh dunia.
Laporan itu menyebut, Malaysia merupakan satu-satunya negara di kedudukan tercorot meningkat sekali ganda pengeluaran aliran wang haram dari 2009 hingga 2010.
Jumlah wang haram meningkat 111 peratus daripada US$30.4 bilion (RM94.27 bilion) pada 2009 kepada US$64.38 bilion pada 2010.
Dalam pada itu, Ketua Umum KEADILAN memaklumkan, sidang medianya memfokus kepada aliran wang haram yang dimulakan hari ini akan diteruskan sehingga menjelang PRU 13.
“Kita tidak mahu ketiadaan disiplin dalam tata kelola ekonomi akan menyebabkan negara ini ranap. Kita juga tidak mahu
penyelewengan dan rasuah ini berterusan dalam negara,” kata bekas Menteri Kewangan itu.

“Sidang media ini perlu untuk kita sentiasa memberi penerangan berhubung perkara yang berhubung kait dengan kegiatan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, akhirnya mengakibatkan percambahan ekonomi negara berada dalam keadaan membimbangkan,” tegas Anwar.
Bagi menyelesaikan perkara itu, kata Anwar, beliau akan menjemput Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar, Global Financial Integrity (GFI) dan Menteri Besar/Ketu Menteri dari negeri Pakatan Rakyat ke satu program meja bulat pada Januari tahun hadapan.
“Saya percaya negara memerlukan pendekatan membina untuk menyelesaikan masalah ini. Langkah segera perlu diambil dengan memuktamadkan pelan tindakan yang perlu dilaksanakan, bukannya dengan mengelak dari menjawab isu seperti mana gelagat Najib ketika ini,” kata Anwar.

Tiada ulasan: