SPECIAL ADS

4 Disember 2012

Kerajaan Selangor Bagi Insentif RM200,000



5 Pejabat Daerah dan Tanah Selangor berjaya mencatat peratusan dan jumlah kutipan hasil cukai tanah tertinggi sepanjang tahun lalu.
Pejabat Daerah dan Tanah Petaling mencapai jumlah kutipan hasil cukai tanah keseluruhan paling banyak iaitu lebih RM 156 juta, sementara peratusan kutipan cukai tanah tertinggi didominasi Pejabat Daerah dan Tanah Klang, diikuti Gombak, Sepang dan Kuala Selangor.
Sehubungan itu, Kerajaan Negeri menyerahkan insentif berupa wang tunai sejumlah RM 200,000 kepada kelima-lima Pejabat Daerah dan Tanah yang berjaya mencapai sasaran ditetapkan.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, insentif diberikan berdasarkan tiga aspek, iaitu peratusan kutipan sasaran cukai tanah semasa melebihi 95 peratus, sasaran tunggakan cukai tanah melebihi 75 peratus serta jumlah kutipan hasil cukai tanah paling banyak.
“Dahulunya kita hanya berikan RM 100,000 kepada mana-mana pejabat daerah yang mencapai sasaran 95 peratus.
“Namun kali ini kita tambah insentif ekoran banyak pejabat daerah mencatat kutipan cukai dengan begitu cemerlang,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Inovasi 2012 di Dewan Jubli Perak, SUK hari ini.
Sambutan itu diadakan untuk meningkatkan budaya inovasi dalam perkhidmatan awam, mengiktiraf kecemerlangan warga kerja dan jabatan selain mewujudkan sistem ganjaran yang bersesuaian dengan kecemerlangan yang telah dicapai.
Tujuh anugerah dan pengiktirafan yang diberikan adalah :
1) Anugerah Peminjam Buku Aktif Perpustakaan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor 2011, yang dimenangi Pegawai Pejabat Tanah dan Galian Selangor Maimunah Abdul Sukor
2) Pengiktirafan Inovasi Laman Web – Majlis Perbandaran Klang dan Majlis Perbandaran Kajang
3) Pengiktirafan Sistem Penarafan Bintang Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) – Majlis Perbandaran Subang Jaya (empat bintang) dan Majlis Daerah Kuala Langat (tiga bintang).
4) Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Perkhidmatan Awam – Selangor diwakili Kumpulan PK Tech Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Kumpulan Una Voce Majlis Perbandaran Selayang.
5) Prestasi Kutipan Hasil Cukai Tanah Tahun 2011 Pejabat Daerah dan Tanah – Pejabat Daerah dan Tanah Petaling
6) Anugerah Inovasi Sektor Awam Negeri Selangor – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor
7) Pengurusan Pejabat dan Pentadbiran Cemerlang – Pejabat Daerah Kuala Langat.

Tiada ulasan: