SPECIAL ADS

15 Disember 2012

Politik Wang Berbahaya Kepada Negara



SHAH ALAM – Politik wang atau janji memberi peruntukan kepada rakyat, boleh menyumbang ketidakstabilan ekonomi dan berbahaya kepada negara, jika digunakan sebagai cara memancing undi.

Ketua Eksekutif Institut Perhubungan Demokrasi dan Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan berkata, amalan menjanjikan habuan dalam bentuk kewangan menyebabkan rakyat bergantung harap terhadap bantuan tanpa berusaha memajukan diri.



Beliau berkata, ahli politik sama ada Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat (PR) disifatkan sama sahaja, iaitu berlumba memberi wang ganjaran kepada rakyat sekiranya mereka menang.

“Keadaan ini menyebabkan rakyat dimanjakan atau hanya mengharapkan bantuan daripada kerajaan tanpa berusaha memajukan diri.

“Sebagai contoh, PR menjanjikan RM100 kepada ibu tunggal manakala BN memberi RM500 kepada individu yang layak, boleh menyebabkan ketidakstabilan ekonomi negara,” katanya dalam ketika Untuk Rakyat anjuran Ideas di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf, semalam.

Hadir sama, Pakar Ekonomi, Dr Richard Cockett dan Wakil Residen Yayasan Friedrich Naumann, Rainer Heufers, masing-masing mengulas mengenai tajuk ‘Negara Kebajikan atau Masyarakat Berkebajikan?’ dan ‘Pengalaman Jerman Dengan Negara Kebajikan’.

Menurut Wan Saiful, kedua-dua panel tersebut membentangkan perkara berkaitan pengalaman selepas mengenai keadaan ekonomi dunia terutama Eropah.

Beliau berkata, terdapat usul tidak boleh diaplikasikan di negara ini setelah Eropah kini dilanda krisis ekonomi akibat sistem yang diamalkan.

“Pendapat saya kita boleh mendengar pengalaman dan pandangan ahli panel ini mengenai isu diutarakan, tetapi jangan meniru sebaliknya harus mencari jalan penyelesaian dalam konteks Malaysia,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut mengulas mengenai sesetengah peranan badan bukan kerajaan (NGO), ditubuhkan berdasar kepentingan ahli politik tertentu dan menjurus kepada agenda politik, bukan kebajikan.

“Sepatutnya, NGO perlu menonjolkan diri membantu rakyat supaya ada keseimbangan, dan jangan mengharapkan bantuan daripada kerajaan sahaja,” katanya.

Tiada ulasan: