SPECIAL ADS

21 Disember 2012

Saguhati Kepada Pengadu Talian Khidmat Pelanggan



Kerajaan Selangor akan memberikan saguhati kepada individu-individu yang melaporkan tiga permasalahan utama kepada pusat talian khidmat pelanggan yang bakal dilancarkan mulai tahun hadapan.
Pusat talian khidmat pelanggan yang bakal dilancarkan pada 15 Januari 2013 itu akan mengumpul aduan tentang tentang masalah kutipan sampah, bekalan air terawat dan keadaan jalanraya di kawasan mereka.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, insentif akan diberikan kepada setiap pengadu sebagai usaha Kerajaan Negeri menghargai setiap aduan sebagai maklumbalas bagi meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat.
Katanya, setiap permasalahan akan direkodkan dan dari masa ke semasa individu terbabit akan dihubungi untuk mengetahui jika ada permasalahan baru di kawasan mereka untuk diadukan pada masa akan datang.
“Ini adalah cara masyarakat di setiap komuniti untuk melibatkan diri bersama-sama Kerajaan Negeri membantu menyelesaikan setiap permasalahan yang berlaku,” katanya.
Abdul Khalid ditemui pemberita selepas menyampaikan Anugerah Jawatankuasa Penduduk (JKP) dan Penggerak Belia Tempatan (PeBT) anjuran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di Hotel Palace of The Golden Horses, Sri Kembangan malam tadi.
Dalam pada itu, pusat khidmat pelanggan ini akan membantu semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini dalam menangani masalah berkenaan.
“Kita ada pasukan khas yang akan menjalankan pusat talian khidmat pelanggan ini dan bukannya dilakukan oleh kerajaan tempatan.
“Bila perkara ini mula dijalankan, dan permasalahan mula diajukan kepada kita, kita akan minta bantuan daripada pihak PBT yang terlibat untuk membantu menyelesaikan masalah seperti sampah dan jalan rosak,” katanya lagi.

Tiada ulasan: