Sesungguhnya bersimpati dengan apa yang diluahkan oleh seorang pengguna laman sosial facebook yang bernama Zurina Amnan mengenai Penyata Hutang yang disediakan Techno Plant berjumlah RM146,502.32 dan tidak termasuk pinjaman baiki rumah sebanyak RM40 ribu.
Inilah antara isu besar kepada peneroka-peneroka yang membangkitkan sekian lama. Rata-rata mereka masih menyimpan begitu banyak resit penyata Tanam Semula Peneroka yang menyatakan kedudukan hutang mereka. Setakat ini mengikut rekod, rata-rata peneroka menanggung hutang tanam semula disekitar jumlah RM100,000 ke RM200,000 dan ini adalah jumlah yang tidak 'masuk akal' hutang yang begitu tinggi.
Sebenarnya banyak aduan mengenai hutang peneroka yang telah dikemukakan kepada Felda tetapi tiada tindakan langsung untuk menyelesaikannya.
Bila meneliti Kos Tanam Semula peneroka, terkandung dalam Perjanjian Tanam Semula dan Pengurusan Kebun antara Felda dengan Peneroka. Antaranya pinjaman sara hidup atau pendahuluan pendapatan, penyelenggaraan kebun, kos baja yang mahal dan ini adalah membebankan peneroka tanpa dikeluarkan penyata-penyata perbelanjaan dan pendapatan yang sepatutnya dibentang dan diberi kepada peneroka pada setiap suku tahun dari tarikh bermulanya tanam semula. Mengikut laporan, setelah sampai 10 tahun mereka baharu peneroka diberi penyata interim dengan jumlah-jumlah yang tidak munasabah dan meragukan.
Baru-baru ini terdapat laporan dari Jawatankuasa Suara Generasi Kedua Felda, mengatakan penyata hutang peneroka pada tahun 2005 hingga tahun 2008 telah hilang setelah mereka berjumpa dengan Ketua Pegawai Operasi Felda Teknoplant. Dimana profesionalisma dan ketelusan yang selama ini diagung-agungkan oleh Felda?
Selain daripada itu, Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) telah menubuhkan Jawatankuasa Menangani hutang peneroka dan telah mengemukakan aduan serta memorandum kepada SUHAKAM dan YAB Perdana Menteri tetapi tiada tindakan pun yang dilakukan oleh Kerajaan hingga setakat ini.
Kepedihan dan derita peneroka lebih terasa apabila hutang mereka bertimbun-timbun, manakala kebun mereka pula tidak diselenggara dengan sempurna. Sampai bila mereka hendak selesaikan hutang jika hutang semakin bertambah dengan dikenakan caj perkhidmatan 6.25% setahun dan caj-caj yang lain?
Terdapat 95 ribu peneroka yang menyerahkan urusan tanam semula samada melalui Felda dan Felda Teknoplan. Kerajaan disarankan menubuhkan suatu jawatankuasa khas yang membabitkan berbagai pihak agar mekanisma tertentu dapat di lakukan bagi mengurangkan hutang peneroka. Buat semakan semula secara detail dan mansuhkan kos2 yang tidak wajar.
Peneroka-peneroka diseluruh Malaysia berharap agar Kerajaan campur tangan dan mengumumkan pemotongan dengan kadar tertentu atas hutang peneroka. Atas faktor usia peneroka yang telah lanjut, kemudiannya di bebankan dengan hutang yang tinggi, ia bebanan yang menjadi derita peneroka hingga ke akhir hayat.
Diminta YAB Perdana Menteri agar prihatin dan menghargai jasa dan pengorbanan para peneroka, beliau boleh umumkan 'bahawa hutang peneroka dikaji semula dan memansuhkan sistem-sistem pengurusan ladang yang selama ini begitu membebankan peneroka kepada suatu sistem yang melegakan semua peneroka Felda amnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan