Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba pada pukul 9.30 pagi untuk merasmikan sambutan berkenaan yang kali kedua diadakan di wilayah sama.

Yang hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim dan Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad.

Dalam majlis sambutan bertemakan 'Mensyukuri Nikmat: Kebersamaan dan Kebersatuan ' itu, Perdana Menteri telah merasmikan Stadium Felda Tun Abdul Razak bernilai RM92 juta yang menggunakan rumput tiruan diiktiraf dunia hasil cetusan idea beliau semasa sambutan Hari Peneroka Felda Kebangsaan 2011 di Bandar Tun Razak di sini.

Beliau turut melancarkan modul Gerakan Kesejahteraan Keluarga (GKK) Felda yang dibangunkan semula bagi merealisasikan pembangunan keluarga berasaskan konsep kebersamaan dan kebersatuan komuniti Felda.

Perdana Menteri juga menyampaikan Anugerah Keceriaan Kampung Felda selain Anugerah Khidmat Bakti kepada bekas peneroka yang telah berkhidmat cemerlang serta memberi sumbangan terhadap kemajuan tanah rancangan tersebut.

Kemenangan untuk kategori utama yang membolehkan tanah rancangan tersebut membawa pulang wang tunai berjumlah RM1 juta dengan hadiah disampaikan sendiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Felda Ulu Penggeli berjaya meraih anugerah itu kerana berjaya menguruskan kebersihan, keceriaan dan keindahan kawasan kampung Felda di samping aspek kualiti komuniti.
Anugerah lain yang akan disampaikan adalah Anugerah Masjid Terbaik dan Tokoh Imam yang disenarai pendek daripada 263 masjid di tanah rancangan berkenaan atau masjid di bawah pentadbiran Felda.. Tiga masjid yang dianugerahkan sebagai masjid contoh sempena Sambutan Hari Peneroka 2016 diberikan kepada Masjid Nurul Hidayah, Gua Musang manakala tempat kedua dan ketiga ialah Masjid Felda Ulu Tebrau, Johor Bahru dan Masjid Felda Serting Hilir, Jempol, Negeri Sembilan.

Selain itu, khidmat imam masjid juga tidak dilupakan dengan pengiktirafan melalui Anugerah Tokoh Imam Felda kepada Yusof Saad dari Felda Mempaga diikuti Md Sharafi Zakaria, dari Trolak dan Mohd Rasiab Tahar dari Gua Musang.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menyampaikan Anugerah Khas iaitu Anugerah Komuniti Cemerlang dimenangi oleh Felda Sahabat 4/5, Anugerah Landskap Rancangan dimenangi Felda Heng Selatan, Anugerah Inovasi Rancangan kepada Felda Ghafar Machap dan Felda Kemahang 2 yang meraih Anugerah Ekonomi Rancangan.

Menurut Najib, walaupun Felda telah mengecapi pelbagai kejayaan sejak penubuhannya itu, namun sebagai pewaris kepada legasi ayahandanya Tun Razak, beliau masih belum berpuas hati dan sentiasa berusaha untuk melakukan lebih banyak penambahbaikan.

Antara ucapan yang mencuit hati orang ramai, Perdana Menteri berkata, “Saya nak lepaskan Felda cukup susah, patut saya tidak pegang Felda, tetapi kerana Felda telah sebati dengan saya dan keluarga, maka saya tetap bersama-sama untuk beri sokongan dan bantuan supaya Felda akan terus berjaya, dapat lebih banyak keselesaan,” katanya

Untuk itu, Najib berkata sebagai langkah tranformasi, kerajaan melakukan penambahbaikan terhadap tadbir urus Felda dan hal itu akan dibincangkan dengan lebih teliti dalam ‘Makmal Pemantapan Felda’ yang diselaraskan oleh PEMANDU PMO dianggotai oleh badan & Agensi Kerajaan dan NGO-SGK2F (Suara Generasi Ke 2 Felda), dimana telah membentangkan beberapa resolusi dan rumusannya akan diumumkan tidak lama lagi. 
“Saya dengar di hujung telinga, ada sok-sek orang buat memorandum, ada yang dah jumpa saya kata (Felda) dah ambil buah tetapi bayar lambat, buat rumah tetapi mahal, kutip buah masih bersepah, penyata tak lengkap dan lambat keluar, saya dengar semua ini.
Sementara, Felda dalam satu kenyataan yang diedarkan kepada petugas media pada majlis berkenaan berkata, sejak tahun 2000 sehingga kini, entiti itu memperuntukkan lebih RM4.46 bilion kepada warga peneroka sama ada dalam bentuk geran atau pinjaman.

Daripada jumlah itu, katanya, lebih RM370 juta diperuntukkan bagi pembiayaan pendidikan dan lebih RM48 juta untuk pembiayaan keusahawanan.

''Felda selama ini memberi kebajikan dari segi sara hidup, pendapatan hasil, membiayai infrastruktur, program pendidikan, latihan kemahiran, pembesaran rumah, program keusahawanan, pembelian komputer dan saham,'' kata kenyataan itu.