Melalui akta tersebut Felda dikatakan bertindak sebagai tuan ladang yang sangat berkuasa, sementara para peneroka pula hanya ‘pekerja di ladang sendiri’ yang terpaksa meletakkan kesetiaan penuh kepada tuannya. Begitulah kefahaman yang tidak pernah terungkai dalam akta berkenaan.
Seorang peguam Wan Rohimi Wan Daud telah membuat pendedahkan bahawa kefahaman peneroka berkaitan Akta GSA adalah salah dan melencong sama sekali. Dalam perkara ini kefahaman peneroka Felda perlu diperbetulkan untuk kebaikan peneroka itu sendiri.
Terutama mengenai dakwaan bahawa Felda berkuasa mutlak melalui Akta GSA. Ini amat mengelirukan peneroka dan dianggap ‘tahyul yang mengadudombakan’ dan ‘mitos yang menyesatkan’ untuk menekan dan menindas peneroka bagi menghalang mereka melaksanakan sebarang aktiviti yang tidak digemari agensi tersebut.
Secara jelas bahawa sebidang tanah di tanah rancangan, dari aspek mengusahakan mahupun pemilikannya, sebenarnya berada dalam bidang kuasa Kerajaan Negeri. Dimana Felda hanyalah sebagai agensi pemaju dan pengurusan sahaja.
Jelas bahawa tujuan asas kepada penggubalan Akta GSA ialah untuk memberi panduan kepada Kerajaan Negeri bagi mengawalselia pemberian tanah kepada rakyat luar bandar.
Bahkan selepas seseorang peneroka melangsaikan hutang memajukan tanah dan kemudiannya mendapat geran, beliau bebas dan tidak terikat lagi dengan akta tersebut. Sementara tanah disesuatu rancangan di situ bebas sepenuhnya daripada Felda selaku pemaju tanah dan menjadi sebuah perkampungan biasa.
Kalau kita baca Handsard Parlimen - Ucapan pembentangan Akta GSA oleh Tun Razak pada 27 April 1960, 50 tahun dulu, kita akan lihat dengan jelas amanat Tun Razak untuk "beri tanah kepada rakyat yang tidak bertanah", membantu masyarakat luar bandar dan mengkayakan rakyat yang miskin. Nampaknya amanat Tun Razak telah dikuburkan oleh semua pembesar dan pemimpin Felda sekarang, termasuk oleh anak kesayangan Tun Razak sendiri.
Menurut hasrat Tun Razak, Akta GSA digubal di bawah Fasal 76 (4) Perlembagaan Persekutuan, adalah bertujuan untuk memberikan tanah kepada rakyat yang tidak bertanah serta menambah pemilikan tanah tidak mencukupi bagi penduduk luar bandar untuk membolehkan mereka mencari nafkah dengan sempurna.
Felda sendiri yang ditubuhkan pada 1 Julai 1956 adalah bertujuan membuka tanah hutan untuk dijadikan tanah pertanian dengan hasrat meningkatkan taraf sosio-ekonomi masyarakat di kawasan luar bandar.
Sebagai agensi pemaju dan pengurusan, Felda berfungsi menyusun semula masyarakat dan mengurangkan kadar kemiskinan masyarakat terutama di kawasan luar bandar. Melalui objektif utamanya, Felda mahu memajukan kawasan pertanian secara produktif dan sempurna dengan mengamalkan pengurusan pertanian yang berkesan serta membentuk sebuah kelompok masyarakat peneroka yang maju, produktif dan berdisiplin bagi meningkatkan taraf hidup.
Namun di sebalik semua itu, kerajaan negeri sebenarnya tetap mempunyai kuasa mutlak menentukan dasar terhadap tanah-tanah miliknya tetapi tidak menjadi amalan atau langsung tidak disedari selama ini. Antaranya menurut Seksyen 36 akta tersebut kerajaan negeri berhak menentukan pelantikan Pengurus Rancangan Felda.
Dalam hal ini, difahamkan pelantikan pengurus-pengurus rancangan tidak pernah dirujuk kepada kerajaan negeri. Akibatnya mereka dikatakan menjadi terlalu berkuasa dan bebas bertindak apa sahaja kepada peneroka, termasuk mengusir mereka apabila difikirkan bersalah. Walhal pada hakikatnya para peneroka adalah tuan tanah.
Di bawah Seksyen 36 juga, Felda hanya boleh membuat sebarang peraturan, polisi atau undang-undang kecil di setiap tanah rancangan selepas mendapat kebenaran dan kelulusan pihak berkuasa negeri.
Oleh kerana Felda dianggap berkuasa selama ini, banyak peraturan yang menyebabkan sentiasa dalam keadaan tertekan dan dalam masa yang sama Felda mengaut keuntungan besar tanpa mempedulikan kebajikan dan hak peneroka.
Antaranya mewajibkan peneroka menjual buah sawit ke kilang Felda. Dengan cara ini Felda memonopoli dan memanupulasi gred buah sehingga dibayar sesuka hati atau mengikut gred rendah berbanding kilang-kilang lain. Malangnya rungutan peneroka tidak pernah dipedulikan.
Peneroka yang berhasrat untuk mengusahakan sendiri tanam semula tidak mendapat layan yang seadilnya, dimana peneroka tidak boleh menuntut wang tabung tanam semula yang telah dicarum oleh mereka melalui potongan selama 20 tahun yang dianggarkan sebanyak RM17,000 seorang. .
Tiada ulasan:
Catat Ulasan