Bila hutang peneroka Felda dilambakkan dengan hutang yang tidak munasabah, tidak masuk akal, melampau dan bertimbun-timbun antara RM100,000 - RM200,000 banyaknya, peneroka menuntut supaya sistem hutang bayaran kembali dapat dikaji semula kerana sistem hutang peneroka yang ada sekarang sudah tidak relevan lagi. Banyak isu-isu hutang dibangkitkan oleh peneroka, antaranya:
- Tidak mengikut perjanjian antara Felda dan Peneroka, dimana setiap suku tahun perlu dibentangkan penyata perbelanjaan dan pendapatan kepada peneroka. Malangnya Felda sebagai agensi yang bertanggungjawab tidak mematuhi terma perjanjian di perenggan 13 kepada perjanjian tersebut.
- Penyata hutang peneroka tidak dibentang selepas 10 tahun. Ini mengakibatkan peneroka tidak mengetahui jumlah hutang mereka sebenarnya. Bila didesak, Felda melalui anak syarikatnya Felda Technoplant Sdn. Bhd hanya membentangkan 'Penyata Interim' yang meragukan dengan jumlah yang tidak munasabah.
- Penyata hutang peneroka hilang dari rekod Felda dari tahun 2005 hingga 2008. Ini disuarakan oleh Jawatankuasa Suara Generasi kedua Felda apabila membuat penyemakan baru-baru ini. Apabila didesak, Felda menyarankan supaya hutang peneroka dipuratakan untuk memudahkan Jabatan Kewangan Felda membuat perkiraan.
- Beberapa item-item transaksi lain dalam penyata interim meragukan
Tuntutan bagi kajian semula hutang Peneroka Felda ini bukanlah dibuat atas alasan politik atau emosi tetapi berlandaskan bahawa sehingga setakat ini Felda gagal mengeluarkan Penyata Kira-Kira Pendapatan dan Tanggungan Peneroka-Peneroka.
Didalam Penyata yang dikeluarkan oleh Felda hanya diletakkan item tanggungan sahaja tetapi tidak diletakkan item pendapatan.
Bahkan Felda gagal menyatakan bahawa wang tanam semula yang dicarumkan oleh Peneroka sebanyak RM17,000.00 yang dikutip dari Peneroka selama 15 tahun itu dimasukkan kedalam Kunci Kira-Kira.
Apabila seseorang Peneroka Felda itu menyerahkan ladang masing-masing untuk ditanam semula oleh Felda maka Felda/Felda Technoplant telah mengeluarkan perbelanjaan untuk menebang pokok-pokok asal, menyediakan anak-anak sawit/getah untuk ditanam, menyediakan pagar jika diperlukan, menyediakan baja dan racun, mengupah untuk tanaman semula dan menjaga/mengurus ladang yang ditanam semula itu; disamping itu mengeluarkan elaun sara hidup mengikut peringkat-peringkatnya bermula dengan elaun yang agak kecil dan sehinggalah RM1500.00 setiap bulan apabila ladang sudah mulai mengeluarkan hasil.
Perlu diingat bahawa daripada keseluruhan perbelanjaan yang dikeluarkan oleh Felda/Felda Technoplant itu termasuk juga wang caruman peneroka yang disimpan oleh Felda sebanyak RM17,000.00.
Penyata Hutang yang dikeluarkan oleh Felda menimbulkan syak wasangka daripada Peneroka-Peneroka kerana dalam tempoh 8 tahun selepas ditanam semula, peneroka-peneroka dikenakan hutang sehingga RM95,000.00. Bererti daripada ladang seluas 10 ekar milik peneroka-peneroka tersebut tidak mendatangkan walaupun 1 sen pendapatan kepada peneroka-peneroka itu.
Peneroka-peneroka akur bahawa dalam tempoh tahun 1 hingga ke tahun 3 selepas tanam semula, tidak ada pendapatan yang diperolehi dari ladang-ladang itu (namun caruman peneroka sebanyak RM17,000.00 itu perlu diambil kira). Peneroka akur bahawa dalam tempoh itu segala perbelanjaan termasuk elaun pinjaman sara hidup ditanggung oleh Felda.
Tetapi apabila masuk tahun ke-4, ladang-ladang mereka sudah mengeluarkan hasil, dan paling minima pada tahun ke-4 itu, ladang-ladang mereka sudah boleh mendatangkan pendapatan tidak kurang dari RM2000.00 sebulan, dan ladang-ladang yang sudah matang setelah masuk tahun ke-5 dan seterusnya boleh mendatangkan hasil tidak kurang dari RM5000.00.
Maka jika hutang peneroka Felda didalam tempoh 8 tahun itu sudah meningkat kepada RM95,000.00, mari pula kita lihat berapakah pendapatan Peneroka Felda setelah 4 tahun ditanam semula, kenapa hutang mereka tidak ditolak dari pendapatan?
Tahun keempat, dianggarkan pendapatan peneroka hanya sekadar RM2000.00 sebulan, maka didalam tempoh satu tahun adalah RM24,000.00.
Tahun kelima, dianggarkan pendapatan peneroka hanya sekadar RM3000.00 sebulan, maka didalam tempoh satu tahun adalah RM36,000.00.
Tahun keenam, dianggarkan pendapatan peneroka hanya sekadar RM4000.00 sebulan, maka didalam tempoh satu tahun adalah RM48,000.00.
Tahun ketujuh, dianggarkan pendapatan peneroka hanya sekadar RM6,000.00 sebulan, maka didalam tempoh satu tahun adalah RM72,000.00.
Tahun kelapan, dianggarkan pendapatan peneroka hanya sekadar RM7,000.00 sebulan, maka didalam temph satu tahun adalah RM84,000.00.
(Peneroka-Peneroka yang tanam sendiri berpendapatan jauh lebih tinggi daripada yang dianggarkan itu).
Apabila dihitungkan semua pendapatan peneroka mulai tahun ke-4 hingga tahun ke-8 setelah tanam semula adalah RM264,000.00.
Kenapa pendapatan sebanyak RM264,000.00 ini tidak diletakkan didalam Kunci Kira-Kira (dan jangan lupa wang caruman peneroka sebanyak RM17,000.00) menjadikan jumlah kesemuanya adalah RM231,000.00.
Maka apabila ditolak pendapatan peneroka (termasuk wang caruman sebanyak RM17,000.00) sejumlah RM231,000.00 dengan hutang yang tertanggung oleh Peneroka, Felda masih terhutang dengan peneroka sebanyak RM136,000.00.
Diatas landasan dan fakta inilah, Peneroka-peneroka Felda di seluruh negara berharap supaya YAB Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak selaku Menteri Felda dapat membuat pengumuman penting pada hari sambutan Hari Peneroka Felda Peringkat Kebangsaan 2016 di Stadium Tun Razak, Jengka, Pahang yang akan diadakan pada 23 September 2016 berharap supaya sistem hutang yang dikenakan oleh Felda kepada Peneroka sekarang ini di kaji semula, kerana sistem yang ada sekarang sudah tidak relevan dan menyusahkan rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan