KUALA KUBU BHARU - Tindakan provokasi sekumpulan orang 'berbaju hitam' yang membaling kerusi dan botol air ke arah hadirin pada program Jamuan Rakyat dan Penerangan di Felda Sungai Tengi dekat di sini, malam tadi mencetuskan kekecohan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Felda Sungai Tengi, Selamat Rakio berkata, kekecohan tercetus apabila kumpulan terbabit cuba menghalang Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman daripada meneruskan ucapan sambil mendesak beliau segera balik.



"Kumpulan berbaju hitam itu merempuh kubu keselamatan yang bertugas untuk program itu.

"Mereka bertindak ganas dengan melontar beberapa kerusi dan botol kepada pengunjung sambil menjerit mahukan Mazlan Aliman berhenti berucap. Beberapa petugas juga telah dipukul," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor di sini, hari ini.


Tiga laporan polis dibuat termasuk daripada Yang Dipertua Pas Kawasan Hulu Selangor, Muhamad Idris Ahmad dan Ketua Dewan Pemuda Pas Kawasan Hulu Selangor, Mohd Nizam Mat Rahim.

Selamat berkata, situasi kecoh itu berlarutan lebih kurang 30 minit dan pihak penganjur terpaksa menghentikan program itu lebih awal bagi mengelak keadaan tidak diingini.

Beliau turut menyatakan kekesalannya terhadap pihak berkuasa kerana didakwa hanya memerhatikan situasi itu tanpa mengambil tindakan untuk menyuraikan keadaan sedangkan laporan polis pertama telah dibuat lebih awal kerana bimbang tercetus insiden buruk.

Katanya, ketika menunggu kehadiran Mazlan, sekumpulan sukarelawan sebuah pertubuhan yang berbaju hitam dengan logo 1Malaysia telah bertindak menyekat jalan masuk ke Sungai Tengi.


"Mereka menyekat setiap kenderaan, mengugut untuk menterbalikkan kereta dan juga meminta bonet belakang kereta dibuka untuk diperiksa," katanya.

Katanya, turut bersama dalam sekatan itu anggota polis dan Polis Bantuan Felda.


Beliau berkata, hasrat penganjur hanyalah untuk mengadakan jamuan bersama rakyat dan penerangan, namun insiden provokasi itu telah mencetuskan keadaan tidak diingini.