KUALA LUMPUR 28 FEB: Penyiasat persendirian, P Balasubramaniam (PI Bala) mendedahkan, ‘VVIP’ yang terlibat menjadi dalang di sebalik pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibu adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurut Bala, Razak, sekutu rapat dan orang kepercayaan Najib yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri mengarahkan supaya beliau melindungi rumah dan anaknya 24 jam selama 10 hari.
Beliau mendedahkan perbualan Razak bersama seorang individu ketika pertemuan mereka.
“Semasa (saya) bertemu Razak, dia menerima panggilan dari seseorang bernama ‘Tan’ yang mengugut akan mencederakan anak Razak jika beliau tidak membayar wang ‘wanita’ itu,” kata Bala, merujuk Altantuya.

Menurut Bala lagi, Razak memberitahunya, Altantuya menuntut bayaran sebagai perantara dalam urusan pembelian kapal selam di Perancis sebanyak USD500 juta dan tiga tiket kapal terbang pulang ke Mongolia.
Kata Bala, kali terakhir dia melihat Altantuya pada 18 Oktober 2006 iaitu di hadapan rumah Razak.
“Sebelum itu Razak cakap, kalau Altantuya ada depan rumahnya, (saya perlu) mesej beliau (dahulu). Saya hantar SMS kepada Razak memberitahunya (tentang kehadiran Altantuya). Kemudian Razak kata ‘lengahkan dia, tunggu sampai orang saya sampai’,” kata Bala.

“Azilah tanya saya dalam Bahasa Melayu: ‘inikah perempuan itu’, menyebabkan Altantuya tak faham apa yang kami cakap. Saya kata ‘ya’. Azilah pula berkata, mereka (tiga individu berkenaan) akan bawa Altantuya pergi. Saya beritahu Altantuya bahawa dia ditahan dan perlu mengikut mereka naik kereta tersebut. Altantuya masuk dan duduk di belakang bersama Korporal Rohaniza, manakala Azilah dan Sirul berada di depan,” kata Bala.
Azilah dan Sirul – kedua-dua mereka adalah anggota polis yang ditugaskan menjaga keselamatan Najib. Mereka bersama-sama disabitkan kesalahan membunuh Altantuya di kawasan hutan di Shah Alam, hampir tujuh tahun lalu.
Sah Najib terlibat
Menurut Bala lagi, beliau hanya mengetahui kematian Altantuya selepas dipanggil ke Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) pada November 2006.

Mengesahkan lagi keterlibatan Najib, Bala memberitahu, adik Najib, Datuk Nazim Razak pernah berjumpanya, mengugut dan mengarahkan beliau menukar akuan bersumpah pertama.
“Saya dipanggil ke hotel untuk bertemu Nazim. Nazim tanya saya, kamu sayang keluarga kamukan? Saya jadi takut dengan soalan-soalan ugutan seperti itu dan memutuskan untuk membuat akuan bersumpah kedua,” jelas Bala yang meninggalkan Malaysia sejak 2009 disebabkan ugutan itu.
Forum anjuran Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) tersebut dipengerusikan Presiden Kumpulan Anak Muda Independan (Kami), Khalid Ismath.

Hadir sama di kalangan pemimpin politik Pakatan Rakyat antaranya, Ahli Dewan Undangan Negeri Pandamaran, Ronnie Liu.
Kehadiran Bala disambut meriah penyokong pelbagai kaum yang melimpah hingga ke luar dewan.
Ekoran sambutan itu, penganjur memasang skrin di perkarangan dewan, supaya hadirin dapat sama mengikuti pendedahan yang dinanti-nantikan itu.
Turut sama mengambil peluang, para peniaga yang membuka gerai jualan seperti baju dan makanan.
Oleh Aisha Geoffrey
Tiada ulasan:
Catat Ulasan