Siapakah perdana menteri Malaysia sekarang? Jawabnya Datuk Seri Najib Razak. Siapakah menteri kewangan Malaysia sekarang? Jawabnya Najib juga. Siapakah penasihat syarikat 1MDB? Najib juga. Siapa pula jadi pengarah eksekutif dalam firma audit Deloitte yang jadi auditor kepada 1MDB? Jawabnya anak lelaki Najib.
Banyak sangat konflik kepentingan berlaku dalam skandal 1MDB ini. Patutlah baru 5 tahun beroperasi, 1MDB sebuah syarikat pelaburan milik 100% kerajaan mengumpul hutang sebanyak RM42 bilion. Bukan kumpul untung, tapi kumpul hutang. Siapa yang akan tanggung dan pikul beban hutang ini semua?
Bagaimana Najib jadi perdana menteri? Apakah rakyat Malaysia pilih dia macam rakyat Indonesia pilih Jokowi? Atau rakyat Amerika Syarikat pilih Obama? Tidak. Tak macam itu. Pengundi satu kawasan parlimen di Pekan Pahang yang pilih Najib.
Najib menang. Kerana Najib presiden Umno dan Umno jadi big brother dalam Barisan Nasional, maka Najib dipilih jadi perdana menteri. Najib tak ada kuasa besar macam presiden sebenarnya. Tapi dia berkuasa macam seorang presiden.
Ini yang jadi punca masalah. Tapi punca ini bukan bermula daripada Najib. Punca ini bermula daripada Tun Dr Mahathir Mohamad. Berapa peratus sokongan rakyat Malaysia kepada kerajaan BN pimpinan Najib dalam Pilihanraya Umum ke-13 lalu?
Hanya 47% jumlah undi popular. Walau kalah undi popular, tapi BN menang lebih kerusi. Jadi memerintahlah kerajaan BN pimpinan Najib sebuah kerajaan minoriti kerana dia hanya lebih kerusi. Tetapi Pakatan Rakyat walau dapat sokongan 52% rakyat, tapi dia kalah kerusi. Jadilah dia pembangkang. Inilah senario politik pilihanraya yang tempang dan usang di Malaysia, dulu dan kini. Jadi kerajaan BN pimpinan Najib bukan kerajaan majoriti. Siapakah yang menentang kerajaan Umno/BN pimpinan Najib Razak sekarang?
Semua orang menentang Najib sekarang. Dia perdana menteri yang sungguh tidak popular sekarang. Tak cukup dengan PR yang menentang Najib, kini Dr Mahathir, bekas perdana menteri muncul sebagai pengkritik utama. Tak cukup desak Najib letak jawatan, Dr Mahathir minta polis siasat Najib di bawah Kanun Keseksaan kerana didakwa melakukan kesalahan jenayah kerana menipu Parlimen dan menipu rakyat 1Malaysia.
Dalam Umno pun suara suara semakin lantang supaya Najib letak jawatan. Sekarang bukan zaman surat layang. Kini zaman video layang dan YouTube. Benda sulit-sulit di janda baik juga meletup pada hari Najib Razak bentangkan Rancangan Malaysia ke-11 untuk 5 tahun lagi menuju dua lopong dua lopong, 2020.
Bila ramai yang kini berani menentang Najib, maka Dr Mahathir tidak lagi bersendirian. Kalau Dr Mahathir ini orang biasa, bukan bekas perdana menteri selama 22 tahun dan bekas presiden Umno untuk banyak penggal, sudah lama kepala Dr Mahathir “kena penggal”. Dah lama dah dia kena tuduh di bawah Akta Hasutan, kalaupun tidak Pota. Ini satu lagi double standard dalam soal hukum hakam di Malaysia ini, dulu dan kini. Najib kini perdana menteri yang tidak popular tetapi kenapa dia masih kuat?
Soalan berikut perlu dijawab. Siapa yang kawal eksekutif, kalau bukan Najib. Siapa yang kawal Parlimen, kalau bukan Najib, sehingga Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia merajuk dan mula bercakap nak lakukan reformasi ke atas Parlimen. Siapa yang kawal mahkamah kalau bukan Najib. Yang diPertuan Agong lantik hakim-hakim. Itu benar. Itu perlembagaan. Tapi siapa yang pilih? Kalau bukan Najib, siapa? Banyak lagi Najib kawal. Media seperti TV dan akhbar dia juga kawal. Peguam Negara dia juga yang kawal.
Apa lagi? Ketua polis negara dan pengarah SPRM? Kalau bukan Najib yang kawal, siapa pula yang kawal? Inilah penyakit Malaysia, kuasa perdana menteri hampir mutlak. Benarlah kata orang, "power corrupts, absolute power corrupts absolutely". Siapa yang jadi punca sehingga kuasa perdana menteri Malaysia terlalu kuat? Macam kuasa seorang presiden atau raja mutlak?
Orang yang jadi punca bermulanya fenomena ini ialah pengkritik nombor satu Najib, iaitu Dr Mahathir. Mahathirlah yang telah memusnahkan tiang seri tiang seri institusi negara seperti Parlimen, mahkamah, polis, Kabinet atau eksekutif, Jabatan Peguam Negara, media dan sebagainya dijadikan perkakas miliknya membolehkan dia berkuasa lebih dua dekad seperti seorang presiden atau raja. Semua bentuk semak dan imbang dimusnahkan di zaman Dr Mahathir. Semua garis pemisah yang dipanggil doktrin pemisahan kuasa dimusnahkan. Berkuasalah Dr Mahathir ke atas eksekutif, ke atas mahkamah dan ke atas Parlimen serta media.
Siapa yang menentang dipenjarakan, termasuklah timbalan perdana menterinya sendiri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kini, Najib melanjutkan legasi buruk Dr Mahathir tersebut. Di hujung kuasa Dr Mahathir, penentangnya Anwar dipenjarakan. Apabila Dr Mahathir jatuh, Anwar dibebaskan. Deja vu, sekali lagi berlaku. Di hujung kuasa Najib, penentangnya yang lantang Anwar disumbat ke penjara.
Jika Najib tumbang mungkin ada peluang Anwar kembali bebas. Tetapi, dengan skandal sebesar 1MDB ini, tak akan tak ada orang akan ke penjara? Ini yang ditakutkan Dr Mahathir. Dia mahu Najib turun segera bukan kerana hendak selamatkan Malaysia. Malaysia sudah tidak selamat lagi sekarang angkara pemerintahan Umno/BN selama lebih setengah kurun yang korup dan rasuah, sejak Dr Mahathir, kemudian Tun Abdullah Badawi dan kemudian kepada Najib.
Dr Mahathir takut jika Najib tidak turun maka Umno/BN akan kalah dalam pilihanraya umum ke-14 akan datang. Bila Umno/BN kalah, tidak lagi menjadi kerajaan, maka akan ramailah pemimpin pemimpin Umno/BN, anak isteri mereka, kawan-kawan dan kroni mereka yang rasuah dan songlap, yang khianat pada negara dan terlibat dalam pelbagai skandal kewangan seperti 1MDB, Perwaja, BMF, MAS, menggunakan wang Petronas untuk syarikat anak pinak, runtuh Bank Bumiputra, PKFZ, sekadar menyebut senarai pendek, akan disiasat, dituduh di mahkamah, dibicarakan dan mana yang bersalah akan ke penjara.
Benarlah lawak jenaka setengah orang yang menyatakan 1MDB itu ertinya Satu Malaysia Dalam Bahaya. Tapi sebanarnya 1MDB lebih daripada itu. Ia sekarang sudah boleh dipanggil Satu Malaysia Dah Bobrok. Jadi apa yang rakyat Malaysia perlu lakukan sekarang? Hanya tukar orang dengan orang? Tukar Najib dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin? Jangan jadi pepatah, keluar mulut harimau, masuk pula ke mulut buaya…
Ini bukan isu orang, bukan isu peribadi, tapi Malaysia sekarang menghadapi isu dasar yang lebih besar. Isu sistem yang perlu dirombak, perlu diganti. Kita perlukan perubahan sistem urus tadbir Negara. Kita perlu baiki institusi negara seperti mahkamah, eksekutif dan Parlimen, yang jahanam sejak Dr Mahathir hingga ke Najib sekarang.
Kita perlu ubah dasar ekonomi, dasar sosial dan amalan politik supaya akhirnya muncul nilai budaya yang murni yang menjunjung sikap amanah, integriti, jujur dan sedia berkorban untuk kebaikan masyarakat dan negara bagi menggantikan amalan buruk sekarang yang pecah amanah, rasuah, tidak bermoral, menipu, tamak haloba dan mementingkan diri sendiri.
Rakyat Marhaen