SPECIAL ADS

10 Mei 2015

Parti komponen BN tuntut jawapan isu tanah 1MDB-Tabung Haji

Rakyat berhak mendapatkan penjelasan bagaimana TH membeli tanah dengan harga RM188.5 juta daripada 1MDB yang dibebani hutang RM42 bilion, kata Pemimpin MIC, MCA dan Gerakan. – Gambar The Malaysian Insider, 10 Mei, 2015.
Kontroversi Lembaga Tabung Haji (TH) dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masih belum selesai walaupun dana jemaah haji itu memutuskan menjual semula tanah yang dibeli daripada syarikat pelaburan yang dibebani hutang itu, kata parti komponen Barisan Nasional (BN).
Pemimpin MIC, MCA dan Gerakan berkata, rakyat berhak mendapatkan penjelasan bagaimana TH, tabung simpanan bagi penganut Islam yang mahu mengerjakan Haji di Mekah, membeli tanah dengan harga RM188.5 juta daripada 1MDB, yang dibebani hutang RM42 bilion.
Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Wee Ka Siong berkata, pembelian tanah itu tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet dan beliau hanya mengetahuinya melalui media.
"Perjanjian jual beli tanah antara TH dan 1MDB menjadi kontroversi kerana ia melibatkan soal prinsip urus tadbir yang baik dan ketelusan," kata menteri di jabatan perdana menteri itu menerusi akaun Twitternya.
Katanya, lebih wajar bagi TH memikirkan projek pelaburan lain daripada terus melibatkan diri dengan kontroversi 1MDB.
"Kedua-dua lembaga TH dan 1MDB perlu menjawab semua soalan yang dibangkitkan rakyat, terutamanya pendeposit, demi ketelusan dan pentadbiran yang baik," katanya.
Naib Presiden MIC Datuk S Sothinathan memberitahu The Malaysian Insider, terdapat banyak kekeliruan mengenai perjanjian itu, dan mahu pihak yang terlibat tampil menjelaskan perkara sebenar.
"Kita tidak boleh membuat kesimpulan sama ada ia salah atau tidak, tetapi banyak isu yang timbul dan menyebabkan kekeliruan, jadi perlu diperjelaskan demi kepentingan rakyat," katanya.
Katanya, jika terbukti wujud salah laku, dalang yang bertanggungjawab perlu dikenakan tindakan.
"Terlalu banyak persoalan yang tidak berjawab melibatkan wang rakyat. Ini melibatkan wang negara, jadi satu penjelasan perlu dibuat dengan segera.
"Setiap saat yang tertangguh memudaratkan negara dan kepimpinannya," kata Sothinathan.
Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang berkata, keputusan TH menjual tanah hanya jalan penyelesaian bersifat sementara bagi menutup kebimbangan rakyat terhadap perkara ini.
"Perkara utama isu ini ialah 1MDB dan kurangnya ketelusan mengenai perjanjian dan pengurusan.
"Demi memulihkan semula sokongan rakyat, 1MDB perlu mendedahkan semua isi kandungan perjanjiannya segera apabila transaksi dimeterai. Ini termasuk laporan audit tahunan mengenai prestasi kewangannya yang dibuat juruaudit bebas," katanya dalam satu kenyataan.
Tan berkata, 1MDB tidak perlu menunggu pihak pembangkang atau pemberi maklumat mendedahkan perjanjian itu kerana akan menjadi terlambat bagi syarikat pelaburan itu atau kerajaan menjelaskannya dan mengembalikan semula kepercayaan rakyat.
"Saya setuju, bukan prosedur standard bagi syarikat bukan berkaitan kerajaan mendedahkan urus niaga mereka kepada rakyat, atas beberapa sebab, terutamanya syarikat seperti 1MDB.
"Namun bagi kes 1MDB, cara itu dituntut jika kerajaan serius mahu mengembalikan semula keyakinan rakyat. Pemuda Gerakan berharap kerajaan akan mempertimbangkan kaedah jangka panjang bagi memulihkan semula kepercayaan rakyat terhadap 1MDB," katanya.
TH membeli sebidang tanah daripada 1MDB untuk membina bangunan kediaman, mencetuskan kemarahan pendeposit, malah ada yang mengeluarkan simpanan mereka di cawangan Shah Alam, Khamis lalu.
Pemimpin politik menganggap kesanggupan Tabung Haji membayar harga yang lebih tinggi berbanding harga asal yang dibeli 1MDB daripada kerajaan pada RM64 setiap kaki persegi, ialah satu 'bailout' atau tindakan menyelamat syarikat yang dibebani hutang itu.
Pemimpin Umno, termasuk Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, juga mempersoalkan perjanjian itu. 
Laporan jawatankuasa pengurusan risiko TH sebelum ini turut menyatakan pembelian itu berisiko tinggi.
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin turut mendesak jawapan mengenai perancangan 1MDB menggunakan duit hasil jualan tanah itu, dan membangkitkan konflik kepentingan mengenai kedudukan pegawai tertinggi Tabung Haji yang turut berada dalam 1MDB.
Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein turut senada, menyeru supaya juruaudit antarabangsa melakukan siasatan forensik terhadap akaun 1MDB.
Semalam, TH mengumumkan tanah yang dibelinya daripada 1MDB akan dijual ekoran bantahan rakyat terhadap jual beli itu.
Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim berkata, keputusan dibuat selepas mendapat nasihat Najib demi menjaga reputasi Tabung Haji dan menghormati sensitiviti pendeposit Haji. TMI

Tiada ulasan: