PETALING JAYA: Perbuatan menyembunyi kesalahan dalam urusan kerajaan adalah salah dari segi undang-undang.
Menurut bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, semua mereka yang terbabit boleh dikenakan tindakan sebagaimana yang diperuntukan di bawah Seksyen 218, Kanun Keseksaan.
Kenyataan berkenaan merujuk kepada penjelasan bertulis Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat berhubung wang 1MDB yang dikatakan telah dibawa balik dari Cayman Islands dan dikatakan disimpan dalam bank BSI di Singapura.
Hakikatnya, beliau mendakwa tiada wang tunai 1MDB yang dibawa balik dan juga tiada wang tunai yang dimasukkan ke dalam bank di republik itu.
“Adalah jelas bahawa dalam kes wang tunai yang didakwa oleh Perdana Menteri dan pegawai-pegawai Kerajaan, Bank Negara dan 1MDB telah dibawa balik dari Caymans Islands dan disimpan di BSI bank di Singapura serta pindaan kepada jawapan pertama bahawa bukan wang tunai yang dibawa balik dan disimpan di Singapura, tetapi dokumen, kesemuanya tidak benar”, kata Dr Mahathir.
Dalam blognya, chedet. cc, beliau membangkitkan persoalan mengenai jawapan Najib di Dewan Rakyat yang dikatakan cuba menyembunyikan sesuatu.
Jelasnya, tindakan merahsiakan tentulah kerana ada sesuatu yang tidak kena atau pembohongan yang telah dilakukan.
“Perkara yang amat serius sedang berlaku. Wang syarikat milik Kerajaan yang dihutang dengan jaminan kerajaan sebanyak tujuh billion (tujuh ribu million) Ringgit sudah tidak dapat dikesan di mana ia berada dan percubaan dibuat untuk membohongi Parlimen dan Negara berkenaan dengannya” katanya.
“Ada unsur jenayah berkenaan kes ini yang memerlukan siasatan oleh polis dan jika wang ini tidak juga dapat dikesan maka proses undang-undang hendaklah diambil terhadap semua pihak yang terlibat” kata Dr Mahathir. FMT
Tiada ulasan:
Catat Ulasan