SPECIAL ADS

9 Mei 2015

Siti Nurhaliza kecewa pembelian tanah Tabung Haji-1MDB

Penyanyi terkenal tanah air, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin dalam akaun Twitter milik beliau melahirkan kekecewaan dengan apa yang terjadi terhadap kes Tabung Haji. – Gambar fail The Malaysian Insider, 9 Mei, 2015.
Penyanyi terkenal tanah air, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, hari ini turut bersama beberapa ahli politik dan badan bukan kerajaan (NGO) mengecam perjanjian pembelian tanah milik syarikat sarat menanggung hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh Lembaga Tabung Haji (TH).
"Sangat memalukan dengan apa yang terjadi dengan kes Tabung Haji… Ya Allah lindungi kami," tulisnya dalam akaun Twitter milik beliau.
Terdahulu, TH dilaporkan membayar sejumlah RM188.5 juta untuk membeli 2 plot tanah seluas 0.63 hektar dalam projek Tun Razak Exchange (TRX) milik 1MDB.

Badan pengelola dana simpanan bakal jemaah haji itu berkata, pembelian tanah berkenaan bertujuan untuk membina sebuah pangsapuri mewah. 
Ini bukan kali pertama Siti Nurhaliza memuat naik status dalam akaun Twitter beliau bagi mengulas isu semasa.
Bulan lalu, beliau menyatakan sokongan terhadap bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selepas beliau diserang susulan kritikannya terhadap 1MDB dan kerajaan pemerintah.
Sementara itu, perjanjian pembelian tanah TH melahirkan kebimbangan di kalangan pendeposit, yang beberapa di antaranya bertindak mengeluarkan simpanan mereka di cawangannya di Shah Alam pada Khamis.
Ahli politik pembangkang mendakwa TH membayar dengan harga lebih mahal berbanding nilai yang dibayar 1MDB pada harga RM64 satu kaki persegi ketika membeli tanah itu daripada kerajaan.
Perkara itu sekali gus membawa kepada anggapan orang ramai yang perjanjian itu satu "bailout" untuk 1MDB.
Pemimpin Umno termasuk Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga mengkritik perjanjian itu kerana 1MDB mempunyai beban hutang sebanyak RM42 bilion.
Jawatankuasa pengurusan risiko TH juga sebelum ini menyatakan pembelian itu merupakan satu pelaburan berisiko tinggi. TMI

Tiada ulasan: