SPECIAL ADS

8 Mei 2015

Tun M : Gesa Tabung Haji batalkan urus niaga dengan 1MDB serta merta

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan kekesalannya dengan situasi pembelian tanah apabila Tabung Haji menggunakan wang pencarumnya bagi memulihkan atau menjamin hutang 1MDB. – Gambar fail The Malaysian Insider, 8 Mei, 2015.
Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa Tabung Haji membatalkan urus niaga pembelian tanah Tun Razak Exchange (TRX) daripada syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) secara serta merta.
Menulis di blognya www.chedet.cc bekas perdana menteri itu menyatakan kekesalannya dengan situasi tersebut apabila Tabung Haji menggunakan wang pencarumnya bagi memulihkan atau menjamin hutang 1MDB.
Dr Mahathir yang begitu lantang mengkritik pentadbiran Perdana Menteri Datuk Najib Razak sejak akhir-akhir ini berkata wang pencarum yang digunakan Tabung Haji dalam urus niaga tersebut bukan merupakan milik mereka.
"Wang tabung haji adalah dari pencarum dan Tabung Haji hanya diamanahkan untuk mengurus dengan baik, dengan cara yang dihalalkan oleh Islam. Wang ini bukan milik Tabung Haji.Amatlah menyedihkan apabila wang ini diguna untuk bailout (pemulihan) hutang 1MDB.
"Inikah cara Tabung Haji mengguna duit orang ramai yang diamanahkan kepadanya. Pencarum berharap duit yang disimpan dengan Tabung Haji diurus untuk kebaikan mereka tetapi wang ini diguna untuk menyelamatkan 1MDB yang sudah hilangkan berbillion Ringgit.
"Rancangan ini perlu dibatal sekarang juga," katanya.
Beliau berkata tidak ada negara  yang berjaya seperti Malaysia dalam menguruskan simpanan bakal haji.
"Wang yang ditabung sejak ditubuh Tabung Haji sudah meningkat sehingga ribuan juta ringgit. Wang ini boleh dilabur supaya keuntungan dapat membantu pengurusan tabung haji dan subsidi kepada bakal haji," katanya.
Menurut Dr Mahathir, tanah yang dibeli 1MDB pada asalnya untuk menubuh pusat dagangan bumiputera, bagaimanapun ia diketepikan oleh entiti itu sendiri.
"Sekarang Tabung Haji membeli satu setengah ekar dengan harga 188.5 million Ringgit, hampir sama dengan harga 1MDB beli 70 ekar. Untung besarlah 1MDB. Sebenarnya tanah ini, asalnya untuk mengadakan pusat dagangan bumiputera. Tetapi 1MDB telah mengenepikan projek ini." TMI

Tiada ulasan: