SPECIAL ADS

7 Mei 2015

Tun M : Mirzan dan Mokhzani pinjam wang untuk bisnes

mokhzani-mirzan
PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan dua anak lelakinya, Mirzan dan Mokhzani bukan jutawan.
Beliau berkata, dua anaknya itu berhutang jutaan ringgit apabila membuat pinjaman bank bagi membiayai perniagaan yang mereka jalankan.
Katanya, Mirzan menjalankan perniagaan di luar negara manakala Mokhzani memulakan perniagaan selepas beliau tidak lagi menjadi Perdana Menteri.
“Anak lelaki saya bukan jutawan tetapi mereka membuat pinjaman jutaan ringgit untuk membiayai perniagaan mereka.
“Mirzan menjalankan perniagaan di luar negara tetapi telah dipaksa menjual perniagaan perkapalan kepada Petronas ketika kegawatan ekonomi.
“Petronas mengaut keuntungan apabila menjual sebahagian kapal itu selepas ekonomi pulih. Petronas tidak tertakluk kepada sebarang soalan tetapi akaun Petronas boleh diperiksa sama ada saya bercakap benar atau tidak,” tulisnya di blog chedet.cc.
Dr Mahathir berkata, Mokhzani pula hanya terlibat dalam perniagaan fabrikasi logam selepas beliau tidak lagi menjadi Perdana Menteri dan anaknya itu mengambil masa tiga tahun untuk mendapat keuntungan.
“Dia tidak mencuri duit. Apa yang dia dapat adalah hasil usahanya sendiri. Tiada sesiapa pun hilang duit kerana perniagaannya.
Dr Mahathir juga berkata, beliau tidak menggunakan kedudukan sebagai Perdana Menteri untuk memudahkan anak-anaknya mendapat pinjaman bank.
“Jika anda mempunyai bukti, sila tunjukkan,” katanya.
Bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu juga menafikan beliau terlibat dalam skandal Bank Bumiputra dan Bumiputra Malaysia Finance (BMF) yang pernah menggemparkan negara sekitar 80-an.
“Kedua-dua bank ini bukan di bawah saya. Saya juga tidak terlibat dengan pengurusan bank ini. Sila buktikan saya terlibat dalam skandal BB dan BMF,” katanya.
Sebelum itu, Senator Tunku Abdul Aziz dalam sebuah akhbar dilaporkan berkata skandal BMF kemungkinan penglibatan orang atasan seperti yang diakui bekas Pengerusi BMF, Lorrain Esme Osman.
“Dia mungkin agak orang atasan itu adalah saya. Ramai lagi orang atasan kepada Lorrain. Saya tidak mahu namakan mereka dan tidak suka campur tangan kerana saya tiada bukti kukuh,” katanya.
Beliau berkata, Tunku Aziz sebagai seorang yang mengambil berat soal rasuah, mengapa dia tidak bertanyakan bagaimana Jho Low dan Riza Aziz memiliki kekayaan dan bagaimana pula pegawai awam yang hidup melebihi kemampuan.
“Akhbar Amerika Syarikat melaporkan Malaysia antara 10 negara paling korup di dunia. Adakah perlu dia mencari punca mengapa?”, soal Dr Mahathir. FMT

Tiada ulasan: