SPECIAL ADS

7 Disember 2013

“Agama dan Bangsa”, talian hayat Umno menang PRU14

07 Nov : Dua pesanan utama Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak (gambar) kepada pemimpin akar umbinya untuk dibawa pulang dan diterangkan kepada anggota parti mencerminkan harapan parti itu agar dapat merampas kembali sokongan pengundi Melayu Muslim bandar sekaligus mengekang kemaraan pesaing utama mereka, PAS.
Pesanan pertama adalah Umno akan mengambil alih kedudukan “juara Islam” daripada PAS.
Pesanan-pesanan itu diberikan di dalam ucapan penangguhan Najib di penghujung Perhimpunan Agung Umno 2013 semalam.
Pesanan kedua adalah Umno akan menjadi tempat mencari rezeki bagi usahawan Melayu dan Bumiputera melalui Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera.
Pesanan kedua mudah untuk diterjemahkan. Sebagaimana yang sering dikatakan oleh Najib, Umno perlu meningkatkan sokongannya di kalangan komuniti Melayu Muslim.
Manakala Barisan Nasional (BN) yang mana Umno merupakan parti tunjangnya mendapat kuasa untuk membentuk kerajaan di dalam pilihan raya umum (PRU) ke-13 kerana sokongan Melayu Muslim danpada undi golongan Bumiputera Muslim dan bukan Muslim dari Sabah dan Sarawak.
Malah di dalam ucapan perasmiannya beberapa hari lalu, Najib mengingatkan perwakilan Umno bahawa 67% populasi negara terdiri daripada golongan Melayu dan Bumiputera Muslim dan bukan Muslim.
Para perwakilan Umno yang hadir. Gambar The Malaysian Insider.
Oleh itu, menggunakan pencaturan mudah, Umno dan BN mampu menguasai tampuk pemerintahan negara sekali lagi di dalam PRU ke14 sekiranya ia mendapat sokongan daripada sekurang-kurangnya 60% populasi negara ini.
Seperti juga yang dikatakan berkali-kali oleh pemimpin akar umbi Umno dan diiktiraf Najib sendiri, mereka ini adalah pengundi tegar gabungan pemerintah itu.
Bagi menggembalikan sokongan Melayu Muslim di bandar Najib berkata, beliau sendiri akan memastikan ketua-ketua eksekutif syarikat berkaitan kerjaan (GLC) membantu kontraktor dan vendor Melayu Muslim.
“Mereka akan mendapat KPI untuk mengukur ini. Kita juga akan minta ‘repot kad’ yang mencatit sejauh mana mereka mencapai sasaran,” Najib berkata sambil disambut dengan tepukan gemuruh anggota dan pemimpin Umno. 
Manakala mesej kedua itu adalah lebih halus dari segi matlamat tetapi mempunyai impak yang besar.
Beberapa pemimpin akar umbi Umno menuntut agar kerajaan memerangi fahaman Syiah, hubungan sejenis atau gay, fahaman liberal dan sesiapa sahaja yang didapati menghina Islam.
Perwakilan juga mahu kerajaan mempertahankan kalimah Arab Allah daripada digunakan oleh bukan Muslim.  
Malah mereka mahu Perlembagaan Persekutuan dipinda supaya agama rasmi Malaysia adalah agama Islam Mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Tetapi Najib tidak menyahut cabaran itu dan berkata hanya parti akan menukar perlembagaannya supaya Umno mengiktiraf hanya Islam Sunni. 
Najib turut berkata Malaysia di bawah Umno baru sahaja mendapat pengiktirafan daripada tokoh Islam dan pergerakkan Islam sebagai sebuah negara Islam moderan.
Najib berkata pengiktirafan tersebut datang daripada parti politik Palestin, iaitu Fatah dan Hamas.
Pengikhtirafan sumbangan Umno kepada Islam juga diiktiraf Imam Masjidil Haram, Syeikh Dr Khalid Ali Al-Ghamdi.
Satu sumber dalam parti berkata, pendirian yang agresif diambil Umno kali ini berkenaan isu Islam adalah untuk mengambil kesempatan terhadap pergaduhan dalaman PAS.
Perbalahan antara puak konservatif dan progresif di dalam parti Islam itu menyebabkan ia tidak mampu mengeluarkan kenyataan yang konsisten tentang isu seperti penyebaran ajaran Syiah dan penggunaan kalimah Allah.
Masyarakat Islam Malaysia selalu merujuk kepada pandangan PAS tentang isu Islam kerana parti itu dilihat sebagai paling berwibawa di dalam hal-hal tersebut berbanding Umno, kata sumber itu yang enggan namanya disiarkan.  
Namun, apabila pemimpin dan ulama PAS mengeluarkan kenyataan yang berbeza mengenai isu kalimah Allah semasa musim PRU ke-13, parti itu dilihat sebagai mempolitikkan isu agama.
Perkara yang sama berlaku semasa muktamar PAS baru-baru ini di mana penyokong calon saling melabelkan lawan mereka sebagai penganut fahaman Syiah.
PAS dikatakan tidak mampu mengeluarkan pendirian dan pandangan yang jelas mengenai isu Syiah di Malaysia. Apa yang merumitkan lagi adalah masyarakat Muslim di Malaysia lazimnya tidak memahami isu Syiah dengan mendalam.  
“PAS telah menunjukkan bahawa ia berkompromi tentang hal-hal Islam semata-mata mahu meraih sokongan,” kata Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Idris Haron.
“Di sini Umno telah menunjukkan bahawa ia adalah parti yang benar-benar mempertahankan kedaulatan Islam kerana ia tidak berkompromi,” kata Idris semasa memberi komen tentang ucapan penangguhan Najib.
Memperjuangkan isu agama juga merupakan satu pendekatan yang bijak bagi Umno kerana kajian dalaman parti itu mendapati semakin ramai orang Melayu Muslim di Malaysia lebih mementingkan identiti Islam mereka berbanding identiti Melayu.
Walaupun dengan bercakap tegas tentang hal ekonomi Melayu dan Islam, terdapat juga isu-isu lain yang penting untuk ditangani sekiranya Umno mahu mengembalikan sokongan pengundi. 
Ini seperti isu kesempitan kos kehidupan dan isu perumahan mahal yang dialami orang muda, kata Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin (gambar). 
Khairy merupakan satu-satu pemimpin Umno yang menyeru agar kerajaan mengambil tindakan serius terhadap kes-kes rasuah, ketirisan dan penyelewangan melibatkan kakitangan kementerian.
Ini seperti kes-kes yang terkandung di dalam Laporan Ketua Audit negara setiap tahun.
Khairy berkata orang muda akan meluat dengan seruan kerajaan agar masyarakat bersabar dan jimat berbelanja di kala apabila barang naik, tetapi kerajaan sendiri tidak berbelanja dengan berhemah dan bertanggungjawab.
“Sekiranya kerajaan mahu orang muda mengikat perut, maka ia sendiri perlu melakukan benda yang sama”.
Mengambil tindakan terhadap kes rasuah dan pembaziran wang awam sama penting dengan mengambil tindakan terhadap golongan Syiah, katanya.
“Kalau tidak, apa-apa yang kita lakukan di dalam perhimpunan tidak akan mendapat sokongan daripada orang muda khususnya,” tambah Khairy. TMI

Tiada ulasan: