13 Dis : Persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang hari ini sekali lagi menyaksikan pertikaman lidah antara Ketua Menteri Lim Guan Eng dan Ketua Pembangkang Datuk Jahara Hamid.
Insiden tercetus apabila Lim mengaitkan kedudukan buruk Malaysia dalam laporan Integriti Kewangan Global (GFI) dengan Barisan Nasional (BN) dan negara ini "jaguh rasuah".
Lim yang menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2014, berkata berdasarkan GFI, Malaysia di tangga keempat dari segi pengaliran keluar wang haram dan paling tinggi di dunia dari segi per kapita.
"Itulah sebab Wall Street Journal dan GFI menggelar Malaysia the most corrupted country (negara paling korup)... tahniah BN," kata Lim.
Katanya berdasarkan GFI, sejumlah RM1.2 trilion wang haram keluar dari Malaysia dalam tempoh 10 tahun.
"Dari segi per kapita macam mana kita boleh tandingi China, India, dan Mexico sebab penduduk (Malaysia) tak ramai, tapi top ten (10 teratas). Malaysia apapun tak ada jaguh, tapi jaguh rasuah," kata Lim lagi.
(Laporan GFI itu menyenaraikan China di kedudukan pertama, diikuti Rusia, Mexico, Malaysia dan India).
Kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang itu mendorong Jahara bangun mencelah dan mempertikaikan tindakan Lim mengaitkan perkara tersebut dengan BN.
Ini kerana katanya GFI menyenaraikan tiga faktor utama sebagai penyumbang aliran keluar wang haram iaitu aktiviti jenayah, lari dari cukai dan rasuah.
"Mengapa nak bebankan perkara seperti ini ke atas bahu BN, walhal kebanyakannya berlaku mungkin berkaitan dengan jenayah komersial, berlaku adil lah ketika menuduh," kata Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Teluk Tawar itu.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan