SPECIAL ADS

30 Disember 2013

Najib perlu jelas kondo RM110 juta milik anak tirinya

Rafizi berkata Najib mempunyai tanggungjawab moral untuk menjelaskan dakwaan sebuah portal berita mengenai kekayaan anak tirinya. - Gambar The Malaysian Insider, 30 Disember, 2013.
30 Dis : PKR hari ini meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjelaskan pembelian sebuah unit kondominium berharga AS$33.5 juta (RM110 juta) di New York oleh anak tirinya, Riza Shahriz Abdul Aziz, seperti dilaporkan sebuah portal berita baru-baru ini.
Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli berkata Najib mempunyai tanggungjawab moral untuk memberi penjelasan kerana ia berkaitan tentang ketelusan dan akauntabiliti.
"Perdana Menteri harus memberikan penjelasan kerana ia merupakan piawaian ketelusan dan akauntabiliti negara yang mengamalkan politik matang.
"Pihak yang terlibat dengan dana awam menjadi tanggungjawab kepada mereka menjelaskan dan membuktikan sumber dana itu sah dan tidak berkaitan dengan dana awam," kata beliau kepada pemberita di Petaling Jaya hari ini.
Sabtu lalu, portal berita Sarawak Report mendakwa Riza membeli sebuah kondominium tujuh bilik pada 19 November tahun lalu di West 63rd Street di Park Laurel, New York.
Riza merupakan anak kepada isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor hasil perkahwinan sebelumnya.
Rafizi berkata dengan pendapatan Riza Shahriz yang pernah berkhidmat dalam beberapa firma sebelum ini tidak akan mampu membeli kondominium berharga RM110 juta.
"Jika gajinya beberapa juta ringgit sebulan barulah dia boleh kumpul wang sebanyak itu dan umurnya sama dengan saya. Kita tahu berapa pendapatan pegawai bank. Beliau pernah berkhidmat dengan firma audit KPMG dan HSBC di London.
“Pendapatannya kira-kira £8,000 sebulan, ditolak dengan cukai 40% dan insurans 11%. Pendapatan yang tinggal hanya £4,000 sebulan. Saya pernah tinggal di London, £4,000 sebulan ditolak perbelanjaan kereta dan kos sara hidup lain, jumlah yang boleh disimpan £3,000 sebulan atau £36,000 setahun bersamaan RM150,000,” katanya.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata berdasarkan laporan media, Riza Shahriz menceburi pelaburan bidang perfileman menggunakan wang pelabur dari Asia dan Asia Tengah.
“Kita nak tahu siapa pelabur yang mempunyai wang sebegitu banyak. Mengikut laporan, dana yang disalurkan tidak mengikut cara biasa memerlukan sokongan bank dan jaminan. Sebab itu lebih cepat kerana mempunyai dokongan pelabur yang tidak diketahui.
"Saya pasti itu bukan wang simpanannya. Biarpun simpanan daripada kecil seperti ibunya. Saya jamin tak cukup sebanyak itu,” katanya yang mendakwa penerangan daripada Riza Shahriz akan menghapuskan kecurigaan awam dan menolak tanggapan wang itu datang daripada bantuan keluarga.
Selepas sidang media tersebut, Rafizi membuat laporan di Balai Polis Tropicana, Petaling Jaya kepada empat blog Umno yang bertanggungjawab menyebarkan berita dan emel palsu untuk mewujudkan suasana huru-hara.
Katanya, penyebaran berita palsu itu boleh menjejaskan ketenteraman awam dan mewujudkan suasana panik yang jelas melanggar undang-undang dan berbahaya.
“Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) selalu menangkap anak muda yang sering menulis di Facebook yang tidak disenangi pemerintah. Jika PDRM tegas dalam perkara kecil seperti komen di
Facebook, mengapa mereka tidak memanggil blogger Umno yang secara terang melanggar undang-undang.
“Jika PDRM hanya menyiasat saya dan bukan dalang di sebalik emel palsu, jelaslah polis hanya menjadi alat Umno bagi tujuan politik mereka,” katanya yang turut menyebut plot menggulingkan kerajaan hanyalah taktik Barisan Nasional menutup kemarahan rakyat akibat kenaikan harga barang. TMI

Tiada ulasan: