SPECIAL ADS

19 Disember 2013

Senator BN desak kerajaan banteras rasuah, ketirisan sebelum bebankan rakyat

19 Dis : Senator Ezam Mohd Noor (gambar) dari Barisan Nasional (BN) menggesa kerajaan untuk memerangi rasuah dan ketirisan dalam perbelanjaan negara sebelum membebankan rakyat jelata dengan kenaikan kos kehidupan.
Menurut Ezam yang merupakan timbalan ketua Umno bahagian Kota Raja itu, pimpinan kerajaan seharusnya mengambil langkah tegas dan cepat untuk memperbetulkan orientasi beberapa kalangan pembuat dasar akhir-akhir ini yang mengambil jalan mudah menaikkan tarif untuk selesaikan masalah mereka sekaligus membebankan rakyat.
“Tumpuan harus diberikan kepada soal ketirisan, suapan rasuah, rundingan perjanjian yang berat sebelah dan terlalu untungkan golongan korporat,” kata Ezam kepada The Malaysian Insider mengulas mengenai kenaikan harga pelbagai barangan keperluan.
“Sebagai ahli jawatankuasa rasuah saya mahu ada tumpuan khusus kepada soal rasuah dalam selesaikan masalah.”
Menurut Ezam yang merupakan bekas Ketua Pemuda PKR itu, kerajaan yang bercirikan negara maju seharusnya lebih efisien dan canggih dalam merungkai masalah.
“Cara ini bukan cara sebuah kerajaan transfsormasi yang seharusnya lebih tangkas tangani masalah di samping mempertahankan kedudukan rakyat bawahan.
“Bukan dengan jalan mudah naikkan tarif dan minta rakyat tanggung beban,” kata Ezam dengan nada tegas.
Menurut Ezam lagi, memerangi rasuah dan ketirisan lebih rumit berbanding keputusan menaikkan kadar tarif.
“Tetapi itulah tanggungjawab kerajaan yang menggelar dirinya kerajaan transformasi.”
Cadangan kenaikan tol diumumkan ketika Putrajaya baru sahaja mengumumkan kadar tarif elektrik baru serta cadangan untuk menaikkan kadar tambang pengangkutan awam di ibu kota.
Pada September, harga petrol RON 95 dan diesel dinaikkan sebanyak RM0.20.
Tidak berapa lama selepas itu, kerajaan memansuhkan pula subsidi gula sebanyak RM0.34 secara serta merta semasa membentangkan Bajet 2014 pada Oktober.
Semalam Ahli Parlimen Kepala Batas daripada BN Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengingatkan semula kerajaan agar mengkaji semula cadangan kenaikan kadar tol kerana parti pemerintah itu semasa kempen Pilihan Raya 2013 lalu berjanji secara spesifik akan mengurangkan tol secara berperingkat.

Reezal mengulas kenyataan menteri yang mengatakan kenaikan harga tol akan berlaku di 13 lebuh raya bermula Januari 2014.

"Dalam konteks tol, di bawah tajuk 'Pembangunan Infrastruktur Bertaraf Dunia dan Pembangunan Luar Bandar', untuk 'mengurangkan tol antara bandar secara berperingkat'.

"Saya menaruh keyakinan bahawa Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) akan melihat perkara ini dengan lebih komprehensif.
“Apabila Perdana Menteri umum 'kos sara hidup' sebagai agenda utama akujanji, ia pasti diberi perhatian oleh kerajaan," katanya.


Selain itu, Reezal turut menyeru Kementerian Kerja Raya membuat kajian lebih holistik sebelum menandatangani konsesi tol baharu pada masa akan datang. TMI

Tiada ulasan: