Menulis di dalam entri Facebooknya, Dr Asri menganggap pemimpin yang mempunyai perilaku seperti ini tidak layak untuk diangkat sebagai tokoh kerana baginya mereka berjuang untuk kepentingan dan kesenangan sendiri dan bukan untuk kepentingan awam.
"...tokoh-tokoh yang hanya berani mengkritik rakyat yang daif tapi mendiamkan diri atas kesalahan pemerintah yang mempunyai kuasa, merupakan tokoh yang mendahulukan kepentingan dirinya dari kemaslahatan awam.
"...tokoh-tokoh yang hanya berani menyuruh rakyat bawahan bersabar, bersyukur dan berjimat semasa keadaan kehidupan rakyat mendesak tapi tiada keberanian mengkritik pembaziran, salah urus, tidak menepati janji yang berlaku di pihak berkuasa tidak layak untuk diangkat sebagai tokoh yang dihormati rakyat.
"...kerana mereka berjuang untuk kepentingan dan kesenangan sendiri bukan untuk kepentingan awam," katanya lagi.
Rakyat perlu bijak memilih pemimpin yang mampu menguruskan kewangan dengan baik bagi memastikan pentadbiran negara mampu berjalan dengan sempurna.
Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata, rakyat kini semakin tertekan dan terhimpit dengan peningkatan harga barangan keperluan yang semakin meningkat.
Bagaimanapun katanya, sebagai pengguna, rakyat juga harus bijak mengurangkan impak kos sara hidup yang melambung.
“Semua perkara yang menyakitkan ini saling berkait, jadi kita sendiri sebagai rakyat perlu belajar dari kesilapan lalu untuk memilih pemimpin yang mahu, tahu dan mampu menjaga masalah kita sebagai rakyat,” katanya dipetik daripada blog rasmi, drhalimahali.com.
Menurutnya, rakyat kini semakin marah dengan senario yang berlaku ketika ini malah ia berlaku setiap kali selepas Pilihan Raya Umum (PRU).
“Dewasa ini, ramai orang rasa marah. Harga barang naik... tambang bas naik, bil eletrik nak naik. Gula naik. Baju sekolah naik.
Belanja anak sekolah sudah pasti akan naik. Kos nak pergi kerja pun akan naik.
Ke sana ke mari...semuanya perlu belanja besar...memang ramai yang tertekan,” katanya.
Beliau turut mendakwa senario kenaikan harga dan pelbagai kemudahan yang berlaku bertujuan untuk menampung perbelanjaan besar yang dihabiskan kerajaan semasa PRU lalu.
“Sekiranya diperhatikan, pemimpin yang dipilih juga tidak mampu mengolah kenaikan harga barang kerana hakikatnya kini, hutang negara semakin meruncing,” katanya.
Masalah kenaikan kos hidup tidak seharusnya dipindahkan kepada rakyat semata-mata sebaliknya kerajaan juga perlu menunjukkan teladan dengan berjimat, terutama bagi perbelanjaan yang kurang perlu.
Pensyarah Fakulti Sains Sosial, Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, pemimpin kerajaan perlu menanggung beban yang sama selain mengambil langkah proaktif untuk mengawal harga barang.
"Ini penting kerana peniaga biasanya ambil kesempatan dengan menaikkan harga barang secara luar biasa atas alasan kenaikan kos dan ini akan lebih membebankan rakyat," katanya.
Sivamurugan mengakui langkah berjimat memang perlu tetapi kenaikan harga barangan dan perkhidmatan juga mesti dikawal supaya tidak lebih menghimpit kehidupan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah yang tinggal di bandar.
"Saya yakin dalam keadaan macam ini, akan ada pihak ambil kesempatan terutama apabila orang ramai lebih cenderung untuk menyalahkan kerajaan jadi tak dapat tidak, pemantauan dan kawalan mesti dilakukan," tegasnya.
Dalam pada itu, kata Sivamurugan, pendekatan menjual barangan pada harga yang lebih murah berbanding kedai biasa seperti yang dipraktikkan Kedai Rakyat 1Malaysia perlu diperluaskan supaya faedahnya dapat dinikmati anggota masyarakat yang lebih ramai.
“Jika usaha seperti ini dikembangkan, mungkin sedikit sebanyak ia mampu kurangkan sedikit beban rakyat berikutan kos sara hidup yang semakin meningkat," katanya.
Menurut Sivamurugan lagi, 2014 akan jadi tahun yang mencabar bagi rakyat kerana akan berlaku pelbagai kenaikan kos dan tarif bermula bulan depan.
Pada 2 Disember lalu, kerajaan mengesahkan kenaikan tarif elektrik sebanyak 14.98 peratus atau 4.99 sen hingga 38.53 sen per kWh bagi Semenanjung Malaysia dan lima sen bagi Sabah dan Labuan berkuatkuasa Januari.
Kerajaan juga dijangka akan menaikkan kadar tol di beberapa lebuh raya di negara ini.
Selain itu, tambang pengangkutan awam LRT dan monorel juga dijangka dinaikkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan