SPECIAL ADS

31 Disember 2013

Laporan langsung Himpunan Turun

31 Dis : Di sebalik keghairahan sambutan tahun baru 2014 penuh temasya oleh sesetengah pihak malam ini, sebahagian rakyat Malaysia memilih untuk turun membantah kenaikan kos hidup yang bakal dihadapi menjengah tahun baru esok.

Pada malam ini, ramai rakyat Malaysia dijangka turun untuk menyatakan bantahan secara aman khususnya di Dataran Merdeka, di mana tempat berlangsungnya acara sambutan ambang 2014 anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), yang menelan belanja hampir RM15 juta.

Himpunan malam ini dinamakan 'Himpunan Turun' yang merupakan inisiatif dari rakyat sendiri yang diketuai Kumpulan Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun) dan beberapa lagi NGO lain.

Dengan konsep "Duduk dan Bantah" dengan pakaian hitam, himpunan malam ini dijangka bermula jam 9 malam, sehingga tiba detik jam 12 malam.

Pihak berkuasa bagaimanapun melabelkan perhimpunan malam ini sebagai "Himpunan Guling Kerajaan", dan mengancam akan bertindak tegas terhadap mereka yang terlibat.

Beberapa bukti turut ditampilkan sebagai menyokong dakwaan tersebut termasuk penemuan bom yang dikaitkan dengan himpunan malam ini.

LAPORAN LANGSUNG
12.15 AM: Himpunan diakhiri dengan nyanyian lagu Negaraku serta bacaan doa oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan Fadhli Saari.
Penganjur kemudian mengumumkan himpunan bersurai.
12.10 AM: Kelihatan peserta himpunan mula beredar keluar dari kawasan Dataran Merdeka dengan aman. Tiada kekacauan berlaku.
Pertama kali dalam sejarah tiada persembahan bunga api di Dataran Merdeka pada malam ini.
11.56 PM: Beberapa minit menjalang detik 12 malam memasuki tahun 2014. Dataran Merdeka masih aman. Peserta himpunan Turun memenuhi kawasan padang dan persekitaran Dataran.
Pihak polis dan anggota DBKL dilihat terus berkawal.
11.30 PM: Pesembahan dan musik dihentikan. menunggu detik jam 12 malam. Kelihatan ada dikalangan penonton mula bergerak keluar dari kawasan dataran.
11.20 PM: Suasana himpunan masih aman, tiada sebarang kekecohan. Sebahgian peserta sudah memasuki kawasan Dataran.
11.05 PM: AJK PAS PUSAT, Dr Dzulkefly Ahmad berkata ini kali pertama himpunan sebegini diadakan pada waktu malam, dan terbukti ianya aman.
"Kita harap keadaan ini berterusan sehingga tamat himpunan," katanya ketika berucap.
11.00 PM: Difahamkan berlaku sedikit kekecohan ketika peserta mahu melepasi benteng keselamatan menuju ke Dataran sebentar tadi.

Terdapat orang ramai terhimpit. Bagaimanapun suasana kembali terkawal sejurus selepas itu selepas polis mengawal keadaan.
10.50 PM: Pengarah Juham Noorazmir Zakaria berkata, tiga talian Hotline yang disediakan pihak mereka untuk aduan kes tangkapan malam ini telah di hack oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Menurut beliau, pihaknya menerima laporan dari orang ramai bahawa ada menerima mesej berbaur lucah dari ketiga-tiga nombor tersebut.
Pihak tersebut juga menggunakan nombor itu untuk menyebar mesej provokasi.
"Nombor-nombor 'hotline' JUHAM 016-6346633, 016-6241133 telah diceroboh (hacked) oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Kami mendapat maklumat bahawa sms lucah dan menghina telah dihantar melalui nombor-nombor tersebut kepada pihak ketiga.

"SILA AMBIL PERHATIAN, pihak JUHAM tidak pernah menghantar apa-apa sms kepada mana-mana pihak, nombor-nombor tersebut hanya untuk pihak JUHAM menerima sms mengenai aduan dari mana-mana pengadu sahaja," dalam satu kenyataan 
kepada Harakahdaily.
10.45 PM: Pelbagai gelagat bantahan ditunjukkan peserta yang hadir malam ini. Masing-masing mereka menggunakan kreativiti tersendiri dalam menyuarakan bantahan.
10.40 PM: Himpunan Turun malam ini masih berlangsung aman. Peniaga turut mengambil peluang membuka gerai ditepi-tepi jalan.
Bagaimanapun Utusan Online melaporkan, polis menemui empat parang panjang dan tiga pisau rambo dipercayai ada kaitan dengan rancangan dengan perhimpunan 'menggulingkan kerajaan' malam ini .
10.35 PM: Pihak Polis membenarkan peserta himpunan masuk ke kawasan Dataran Merdeka yang ketika ini sedang berlangsung acara konsert.
10.30 PM: Gambar menunjukkan suasana orang ramai yang berpakaian hitam di LRT Bandaraya sedang menuju ke Dataran Merdeka.
10.20 PM: Dianggarkan lebih 10,000 orang sudah berkumpul di kawasan Dataran Merdeka dan jumlah ini dijangka terus bertambah menjelang detik 12 malam ini.
10.10 PM: Kelihatan Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat sekali lagi menyampaikan ucapan kepada peserta yang berkumpul berhampiran Dataran Merdeka.
Antara lain beliau berkata, himpunan malam ini adalah himpunan mengembalikan maruah dan hak rakyat.
""Saya hadir ini bagi menghalang sebarang usaha guling kerajaan. Namun nampaknya ia berlangsung dengan aman. Syabas kepada yang hadir kerana kita dapat berhimpun dengan aman jika tiada provokasi dari pihak tidak bertanggungjawab," katanya.
Ratusan anggota polis serta FRU dilihat berkawal di jalan masuk ke Dataran.
Pengerusi Turun, Azan Safar turut memberikan ucapan. Beliau adalah individu yang sebelum ini ditahan pihak polis ekoran penganjuran himpunan malam ini.
10.05 PM: Dataran Merdeka- Beberapa pemimpin parti politik serta aktivis mula berucap di lokasi berdekatan dataran. Turut berucap Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia Badrul Hisham Shaharin.
Laungan "Turun Harga Barang,Turun Harga Minyak, Turun Harga Gula" bergema.
10.00 PM: Dataran Merdeka- Peserta himpunan dilihat semakin ramai. Mereka memenuhi sepanjang jalan sehingga ke Masjid Jamek..
Di pentas utama dataran, sedang berlangsungnya konsert nyanyian anjuran DBKL. Suasana sorakan penonton bagaimanapun meneggelamkan bunyi nyanyian.
9.50 PM: Perhimpunan aman malam ini turut disertai pelbagai lapisan masyarakat, merentas etnik dan ideologi.
Wakil seniman Paksi Rakyat (Paksi) Hasni Abas turut bersolidariti bersama malam ini. Kumpulan mereka berada di Jalan Tuanku Abdul Rahman.
9.45 PM: SOGO- Kumpulan yang bergerak dari Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut tiba di hadapan Sogo dan mula bergabung dengan peserta yang sedia menunggu di sini.
Mereka terus bergerak menuju ke Dataran Merdeka.
9.40 PM: SOGO- Laungan 'Hidup Rakyat', 'Bangkit Rakyat', 'Tumbang BN' berterusan digemakan. Mereka juga beransur-ansur bergerak ke Dataran Merdeka. Cuaca baik malam ini dilihat memudahkan pergerakan peserta.
Kelihatan anggota trafik turut mengawal lalulintas sementara pengguna jalan raya dilihat turut membunyikan hon tanda sokongan.
9.30 PM: DATARAN MERDEKA- Suasana di sekitar Dataran Merdeka mula dipenuhi mereka yang berpakaian hitam. Dianggar ribuan sudah memenuhi jalan masuk ke Dataran Merdeka dan kawasan sekitarnya termasuk dari Jalan Sultan dan Jalan TAR.
9.25 PM: Kumpulan dari Pejabat AGung PAS di Jalan Raja Laut mula bergerak menuju ke Dataran Merdeka. Pergerakan mereka diawasi pasukan Unit Amal yang turut menjadi barisan hadapan.
Turut kelihatan Pengerusi Kumpulan Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun), Azan Safar turut bergerak bersama kumpulan ini.
9.20 PM: SOGO- Hampir 300 orang memenuhi kawasan dataran hadapan kompleks membeli belah ini. Sebahagian mereka mula bergerak ke Dataran Merdeka secara berperingkat.
Sekumpulan anak muda menunjukkan playkad bertulis "Rakyat Sengsara Tahun 2014" kepada orang ramai yang lalu lalang di sini, sebagai suara bantahan yang akan digemakan malam ini.
 9.10 PM: PEJABAT AGUNG PAS- Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat memberikan ucapan semangat kepada peserta himpunan yang berkumpul di hadapan bangunan pejabat PAS di Jalan Raja Laut ini.
Turut serta beberapa lagi exco serta pimpinan pemuda yang lain.
9.05 PM: SOGO- Empat orang anak muda dari Lumut , Perak memberitahu mereka berkongsi duit minyak untuk sama-sama datang ke Kuala Lumpur bagi menyertai himpunan ini.
Salah seorang dari mereka, Hafiz Sulung, 23, bertolak dari Lumut jam 1 petang tadi dan tiba di kompleks membeli belah Sogo kira-kira jam 7 petang ini.
Mereka menjelaskan penyertaan mereka malam ini atas dasar kesedaran dan tekanan yang dirasai akibat kenaikan kos hidup yang semakin tinggi.
9.00 PM: SOGO- Dua orang kakitangan kerajaan yang ditemui oleh Harakahdaily di sini turut menyatakan sokongan kepada himpunan ini. Mereka menyifatkan peserta malam ini sebagai mewakili rakyat terbanyak yang terbeban dengan kos sara hidup.

"Kami guru, jadi tak boleh sertai himpunan ini. Tadi dah dapat memo dari pengetua melarang guru sertai himpunan ini," kata salah seorang darinya yang enggan memberi nama.
8.45 PM: SOGO- Kehadiran di sini mencecah 300 orang dan dijangka terus bertambah dari masa ke masa.

8.40 PM: PEJABAT AGUNG PAS- Sekumpulan pasukan Unit Amal yang terkenal dengan jolokan 'tentera merah' dilihat berkumpul dan mengadakan perbarisan sebagai persediaan mengawal keselamatan peserta himpunan malam ini.

Turut kelihatan, orang ramai yang berpakaian hitam mengambil tempat memulakan himpunan di sini sebelum bergerak ke Dataran Merdeka berjarak kira-kira 3 kilometer.

8.30 PM: SOGO- Orang ramai dengan berpakaian hitam mula berkumpul di hadapan kompleks membeli belah Sogo. Kehadiran mereka dikatakan tiba seawal jam 6 petang.

Majoriti di yang berkumpul di sini adalah dari kelompok aktivis mahasiswa dan juga anak-anak muda.

Beberapa pemimpin mereka dilihat memberikan ucapan ringkas sambil melaungkan 'Hidup Rakyat, Bangkit Anak Muda'. HD

Tiada ulasan: