09 Dis : Tidak ada duit kopi, tiada layanan di hospital. Untuk padam api juga perlukan sogokan. Ia kelihatan mengejutkan!
Itu keadaan empat dekad yang lalu. Ia tinggal sejarah. Ini sebahagian daripada mesej yang disampaikan menerusi muzium interaktif Suruhanjaya Bebas Antirasuah (ICAC) Hong Kong yang akan menyambut ulang tahun penubuhan ke-40 Februari depan.
Sempena lawatan sambil belajar ke Hong Kong, rombongan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga mendapati pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mengambil inisiatif dengan kerjasama ICAC, mendidik warga yang berhijrah dari tanah besar China ke Hong Kong, tentang kepentingan menjauhi rasuah.
Golongan sasaran adalah isteri dan kanak-kanak yang bersatu dengan suami atau bapa mereka di Hong Kong. Golongan muda yang dilatih pula menjadi 'jurulatih' dalam waktu yang singkat untuk menyampaikan mesej memerangi rasuah.
Ada elemen kesinambungan dalam usaha menyampaikan mesej itu. Dan, kunjungan ke satu lagi NGO memberi gambaran tentang pentingnya menyampaikan mesej menghapuskan rasuah daripada peringkat sekolah.
Golongan pelajar diberi bantuan kewangan untuk menghasilkan filem-filem pendek yang menggambarkan isu rasuah. Empat filem yang berjaya dijadual untuk ditontonkan minggu ini.
Di India, sebuah NGO dengan kerjasama stesen televisyen swasta menghasilkan program mingguan dengan disokong hasil pengiklanan bagi menggambarkan betapa pentingnya usaha menjauhi rasuah wajar bermula daripada kalangan rakyat sendiri.
Mesej program ini ialah rakyat tidak harus setiap kali menyalahkan atau menuding pihak berkuasa ataupun penguatkuasa pencegahan semata-mata. Sebaliknya, rakyat boleh
melakukan sesuatu, walaupun dalam skala kecil, tanpa bergantung pada kerajaan semata-mata.
melakukan sesuatu, walaupun dalam skala kecil, tanpa bergantung pada kerajaan semata-mata.
Malah di India, kempen anti rasuah yang dimulakan pihak berkuasa mendapat kerjasama dan disertai pelbagai pihak berkepentingan termasuk NGO, media dan ahli-ahli politik pembangkang.
Perkembangan mutakhir di Malaysia menunjukkan pemimpin masyarakat, politik dan kerajaan sudah mula memperlihatkan komitmen kukuh masing-masing untuk merealisasikan harapan sifar rasuah.
Walaupun ada yang sindir dan sangsi, tetapi harapan ke arah itu segar dan sudah ada. Ini yang penting! Memulakan langkah ke arah masa depan lebih baik.
Di akhir Perhimpunan Agung Umno 2013 Sabtu lalu, Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin menegaskan bahawa beberapa isu perlu ditangani kerajaan seperti ketirisan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 jika mahu Umno terus relevan dan diterima generasi muda.
Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak perlu mengambil tindakan segera terhadap isu seperti itu sekiranya mahu golongan muda menyokong parti tersebut.
"Sebab itu, sekiranya berlaku ketirisan atau pembaziran seperti dilaporkan Ketua Audit Negara, Presiden (Umno) perlu mengambil tindakan dengan segera," kata beliau.
Sejak selepas Pilihan Raya Umum ke-13, Najib yang juga Perdana Menteri, telah beberapa kali mengulangi komitmen kerajaan menangani rasuah.
"Saya mahu menjadikan rasuah sebagai sejarah di Malaysia, dan tidak berlaku lagi pada masa depan. Dan, ini bermakna mengubah budaya organisasi dan perniagaan," katanya di ibu negara pada Ogos lalu. Mesej yang sama diulangi dua bulan kemudian ketika lawatan ke luar negara.
Minggu lalu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang mendakwa Malaysia mungkin dipintas oleh China dan Indonesia daripada segi kedudukan skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparensi-International (TI) menjelang 2020.
Ahli Parlimen veteran itu berkata, sejak 19 tahun lalu Malaysia tergolong dalam skor CPI TI merosot malah dipintas oleh negara yang mendapat kedudukan skor CPI lebih rendah pada 1995.
Beliau berkata, jika Malaysia mahu menduduki tangga 30 teratas dalam CPI tahun 2020, negara perlu mencapai peratusan 35 teratas skor CPI dan bukan hanya 50/100, kerana skor lima negara yang berada di tangga ke-26 teratas dalam CPI TI 2013 memperoleh 60 markah dan ke atas.
“Bagaimana Malaysia hendak menjaga air mukanya jika dunia melihat Malaysia lebih rasuah daripada Indonesia dan China sebelum berakhir dekad ini?" soal beliau.
Susulan pertemuan SPRM-kepimpinan PKR akhir Ogos lalu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, pihaknya menyokong SPRM diberi kuasa penuh pendakwaan dalam usaha mencegah rasuah.
"Kita bersedia bekerjasama dengan SPRM, kita menyambut baik usaha SPRM pada masa sama kita memantau dan tidak takut mendedahkan penyelewengan kepada SPRM, kerana skop rasuah SPRM di negara ini berbeza dengan negara luar," kata Ahli Parlimen Lembah Pantai itu.
SPRM sudah mula menjalin kerjasama dengan parti-parti politik. Lebih banyak pertemuan akan diadakan selepas ini.
Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), salah satu daripada lima panel bebas yang memantau SPRM sejak 2009, dalam laporan terbaru yang dibentangkan di Parlimen minggu lalu, memperakui sudah sampai masanya "kita melihat rasuah sebagai isu besar negara dan bebanannya tidak diletakkan di bahu SPRM semata-mata".
Justeru JKMR, yang dianggotai wakil Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat, menggesa kerajaan memberi sepenuh dokongan dan mempersiapkan segala keperluan kepada SPRM untuk menghadapi serangan persepsi yang tidak adil kepada mereka.
"Pada masa yang sama, SPRM juga diharap terus kreatif dan proaktif mencari dan membina ruang serta fokus baru di dalam media dan pelbagai medium atau wahana untuk mengimbangi persepsi negatif yang bersifat tidak adil dan berkepentingan sempit.
"Masyarakat juga harus terus didekati dan dididik agar mereka dapat betul-betul memahami dan menerima realiti sebenar daripada bergantung pada sumber yang tidak berasas," kata laporan itu.
JKMR bersepakat bahawa isu rasuah tidak seharusnya dipolitikkan kerana rasuah bukanlah mengenai seseorang tetapi menyebabkan kemudaratan kepada masyarakat.
SPRM tidak boleh melaksanakan tugas membanteras rasuah bersendirian dan memerlukan sokongan seluruh masyarakat, kata JKMR yang turut mengajak seluruh masyarakat tanpa mengira fahaman anutan dan politik bersama-sama "mendokong perjuangan membanteras rasuah bagi mewarisi bumi Malaysia yang bersih daripada perbuatan rasuah kepada anak cucu kita di masa akan datang".
Hari Antirasuah Antarabangsa 2013 bertemakan "Sifar Rasuah - Pembangunan 100%" disambut masyarakat global hari ini.
Ketika pelancaran kempen antirasuah sempena Hari Antirasuah Antarabangsa 2013 di Panama akhir bulan lalu, ketua delegasi Program Pembangunan PBB (UNDP), Patrick Keuleers dipetik memberitahu, "jika hanya 10% daripada kerugian akibat rasuah disalurkan untuk tujuan pembangunan, ia sudah cukup baik untuk mencapai garis masa
matlamat pembangunan 2015".
matlamat pembangunan 2015".
Kempan itu bertujuan menyatukan semua pihak tanpa mengira lapisan dalam usaha memerangi rasuah seiring dengan Konvensyen Antirasuah PBB (UNCAC).
Mengambil kira usaha memerangi rasuah tanggungjawab setiap individu, bukan hanya tugas kerajaan dan penguatkuasa, misi mencapai sifar rasuah tidak mustahil.
Setiap individu ada tugas dan tanggungjawab untuk bertindak di skala masing-masing.
Sekiranya ia dilakukan dengan tersusun, mesej dibangkitkan pemimpin politik disenaraikan tadi tidak akan didengar lagi.
Usah beri rasuah, usah terima rasuah. Ini ikrar kita!
Oleh : G. Manimaran
Tiada ulasan:
Catat Ulasan