SPECIAL ADS

13 Disember 2013

'Laporan, info bocor dapati M'sia kompromi dalam TPPA'

13 Dis : Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) didakwa berlembut dalam mempertahankan pendirian dalam rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), antaranya dalam isu syarikat berkaitan kerajaan (GLC), tembakau, hak harta intelek dan ubat-ubatan.

Gabungan NGO anti-TPPA berkata, perkara itu bertentangan dengan janji MITI untuk melindungi kepentingan negara dan memastikan kedaulatan dan integritinya tidak dikompromi bila berdepan dengan tuntutan yang mewakili kepentingan asing.

Pengerusi Bantah TPPA (BANTAH) Mohd Nizam Manshar berkata, pendirian itu dilihat dalam laporan media dan hasil maklumat yang bocor dalam rundingan itu terkini di Singapura antara 7 hingga 11 Disember lalu.

Katanya, berdasarkan laporan berita, TPPA menetapkan kerajaan tidak boleh menyokong GLC masing-masing yang sebenarnya perlu mendapat pulangan komersial.

"Keadaan ini memberi kesukaran atau mustahil untuk mengekalkan peranan sosial GLC serta sukar untuk dikekalkan walaupun berkemampuan dari segi ekonomi," katanya.

Sementara itu, menyentuh soal pengecualian produk tembakau daripada TPPA, Malaysia didakwa beralih daripada keputusan asalnya sebelum ini.

"Tembakau (antaranya) sebelum ini dinyatakan tidak dimasukkan, dalam perundingan terkini isu ini telah dikrompromikan. Malaysia seperti telah beralih daripada keputusan asal," katanya,

Sementara itu, dalam isu ubat-ubatan pula, dakwa Nizam, maklumat yang bocor juga mendapati harganya menjadi tinggi dan sekali gus membebankan rakyat.

"Harga ubatan-ubatan akan menjadi tinggi dan memberikan impak kepada rakyat," katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau menuntut supaya kerajaan tidak meneruskan perundingan, sekiranya masih gagal mendapat persetujuan dan kepercayaan parlimen dan rakyat Malaysia. MK

Tiada ulasan: