SPECIAL ADS

5 Disember 2013

Nurul Izzah Anwar : Perwakilan Umno perlu bangkitkan 3 isu penting

Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak (tiga dari kiri) memeriksa barisan perwakilan ketika majlis pembukaan Perhimpunan Agung Umno 2013 di PWTC Kuala Lumpur. Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 5 Disember, 2013.
05 Nov : Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar (gambar) berharap perwakilan Umno membangkitkan tiga isu penting dalam Perhimpunan Agung Umno kali ini iaitu isu pulau Batu Puteh, perjanjian Kerjasama Perjanjian Trans-Pasifik (TPPA) dan pencerobohan asing.
Beliau yang juga Naib Presiden PKR berkata, pendedahan bekas Pengarah Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim mengenai sogokan wang yang didakwa melibatkan Peguam Negara sehinggakan keputusan ICJ tidak memihak kepada Malaysia di dalam kes Pulau Batu Puteh pada 2007 adalah sesuatu yang perlu dipandang serius oleh semua pihak terutamanya Barisan Nasional.
"Isu ini melibatkan pencabulan kedaulatan negara kita oleh rakyat kita sendiri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, katanya, Umno sebagai sebuah parti yang menggembar-gemburkan hasrat ingin menjadi parti harapan rakyat, pembela keselamatan dan kedaulatan negara mesti membangkitkan isu ini di Perhimpunan Agung Umno 2013 yang sedang berlangsung sekarang.
Katanya, Umno juga harus turut serta bersama rakyat Malaysia untuk sentiasa berwaspada dengan penjajahan ekonomi yang bakal berlaku sekiranya TPPA dimeterai oleh kerajaan.
"Saya juga mengesyorkan supaya Umno membangkitkan isu penubuhan Jawatankuasa Terpilih Parlimen berkenaan TPPA dan juga membahaskan tuntutan supaya Parlimen diberikan kuasa meratifikasikan perjanjian tersebut sebelum ditandatangani dan membawa musibah kepada negara," katanya.
Katanya, isu ketiga yang juga harus diambil kira oleh Umno, jika benar parti tersebut mahu menggarap harapan rakyat adalah isu pencerobohan negara.
“Pencerobohan Sulu di Sabah disusuli oleh penculikan serta pembunuhan pelancong Taiwan di Pulau Pom Pom, Sabah harus diberikan tumpuan yang serius,” katanya.
Isu lain ialah pemberian kad pengenalan biru kepada warga asing seperti yang dibuktikan menerusi penemuan siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja di Sabah; serta dakwaan bahawa beberapa negara asing seperti Amerika Syarikat dan Singapura sedang aktif mengintip Malaysia bukan sahaja perlu dibahaskan malahan  dikecam sekeras-kerasnya oleh Umno.
Nurul Izzah berkata, Umno tidak boleh lari daripada memenuhi tuntutan tersebut; seraya membangkitkan semua isu ini sekiranya parti tersebut berhasrat mengekalkan Malaysia sebagai sebuah negara yang aman dan berdaulat.
“Tiba masanya Umno membuktikan bahawa parti itu bukan hanya menumpukan kepada pemusatan habuan ekonomi serta pengekalan kuasa kepada golongan terpilih sahaja,” katanya. TMI

Tiada ulasan: