SPECIAL ADS

8 Disember 2013

PKR : Selepas Perhimpunan Agung Umno, masa depan Melayu gelap

08 Nov : PKR mengatakan Umno gagal membincangkan isu penting seperti keborosan perbelanjaan negara, hak milik Pulau Batu Puteh dan mutu pendidikan tempatan di mata antarabangsa, menjadikannya sebuah parti yang menggelapkan masa depan orang-orang Melayu.
Menurut Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar (gambar), isu peningkatan kos sara hidup yang semakin menekan rakyat kurang diambil endah malah Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak masih mengekalkan retorik lamanya dengan pendekatan “rakyat perlu terus bersabar dan berkorban untuk keutuhan kewangan negara”.
“Perhimpunan Agung Umno sudah selesai tetapi malangnya tiada kesungguhan pemimpin Umno membangkitkan isu semasa yang ketara menggelapkan masa depan Melayu.
“Baru-baru ini agensi penarafan antarabangsa Moody’s telah menaikkan taraf kredit Malaysia kepada A3 atas dasar pembaharuan fiskal. Persoalan yang gagal diketengahkan adalah bagaimana kredit Malaysia dapat diturunkan terlebih dahulu?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata akibat keborosan dan ketirisan pemerintah, rakyat terpaksa menanggung melalui “cukai pemiutang’’ seperti Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kenaikan harga petrol, gula, tarif elektrik dan cukai pintu Kuala Lumpur yang berganda tahun hadapan.
Menurut Nurul Izzah, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pernah mengatakan amalan rasuah dan penyelewengan meningkat di zaman pentadbiran Najib.
“Jeritan 1Melayu jelas menunjukkan sikap paranoia yang sengaja melepas pandang isu keselamatan serta pembelaan kedaulatan negara yang seharusnya diutamakan,” katanya.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu turut membangkitkan perwakilan Umno kali ini gagal mengupas isu perakuan bersumpah Bekas Ketua Cawangan Siasatan Jenayah Perdagangan Datuk Mat Zain Ibrahim mengenai kedaulatan negara ke atas Pulau Batu Puteh, pencerobohan wilayah Malaysia oleh pengganas Sulu, isu pemberian kad pengenalan biru dan pembunuhan warga Taiwan di Sabah yang langsung tidak mendapat perhatian,” katanya selain isu Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) gagal didebatkan secara khusus.
Nurul Izzah berkata isu kemerosotan kualiti pendidikan seperti yang dilaporkan dalam kajian Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) turut tidak mendapat perhatian sepenuhnya kerana kegagalan dalam meningkatkan mutu pencapaian pendidikan secara global akan terus menggelapkan masa depan pelajar
“Apakah perasaan ibu bapa apabila mendapat tahu bahawa murid dari Singapura, Korea Selatan dan Vietnam darjah 5 dan 6 berpendidikan setaraf dengan para pelajar tingkatan 3 negara kita?
“Apakah pendidikan berkualiti dan berpendapatan tinggi tidak penting bagi Umno? Merekalah yang akan mewarisi kadar gaji malar dan budaya berhutang semata-mata untuk menyara kos hidup yang semakin meninggi,” katanya sambil menyifatkan pelajar Melayu perlu terus mendapat bantuan.
Nurul Izzah berkata Umno hanya selesa memusatkan kuasa dan kekayaan melalui berbagai usul penjenamaan semula dasar ekonomi yang hanya untuk kepentingan ahli Umno terpilih sahaja.
Katanya, masa depan Melayu dan Malaysia akan terus gelap di bawah Umno jika tidak melaksanakan perpaduan nasional agar usaha melibatkan secara inklusif semua pihak dapat membina masa depan yang cerah. TMI

Tiada ulasan: