26 Dis : SUDAH jatuh ditimpa tangga! Itulah perumpamaan paling tepat bagi menggambarkan keadaan rakyat Malaysia hari ini kerana terus dihimpit kesan daripada ‘pesta’ kenaikan berganda barangan keperluan mulai tahun depan.
Tanggal 1 Januari 2014 adalah permulaan paling mencabar kepada rakyat terutama yang berpendapatan rendah, sederhana dan golongan miskin. Pada tahun itu, rakyat perlu 'survive' kerana harga barangan dan perkhidmatan mula dinaikkan secara serentak.
Semua kenaikan itu berlaku selepas PRU13 Mei lalu, apabila kerajaan mengumumkan satu persatu kenaikan harga barang dan perkhidmatan atau pengurangan serta pemansuhan subsidi berselang dalam tempoh sebulan sejak September lalu.
Minyak petrol amat penting dalam kehidupan harian.
Kenaikan tarif elektrik sudah pasti membebankan.
Bermula dengan pengurangan subsidi yang menyebabkan kenaikan petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen, diikuti pemansuhan subsidi gula 34 sen, kemudian peningkatan tarif elektrik 4.99 sen satu kilowatt sejam (KWJ), semakan semula kadar gas, tambang LRT serta monorel dan terbaru kadar tol membabitkan 15 lebuh raya, seolah-olah membentuk siri rangkaian kenaikan harga.
Jadi, bermulalah era kos sara hidup tinggi. Pendapatan bulanan makin meningkat. Itu reaksi rata-rata rakyat yang mengakui kenaikan harga barangan dan perkhidmatan memberi kesan kepada mereka terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Masyarakat baharu hendak mengejar status negara berpendapatan tinggi, tetapi belum sampai ke tahap itu, kerajaan sudah menaikkan macam-macam harga barang keperluan. Mahu tidak mahu rakyat terpaksa 'menelan' juga.
Rasa tidak puas hati dan marah ini boleh ditinjau di mana-mana sahaja termasuk dalam laman sosial dan menerusi temu bual yang dilakukan. Seharusnya, pendapat dan suara mereka inilah yang perlu diambil kira serta dinilai apabila membuat sebarang keputusan.
Malah, terdapat segelintir masyarakat mempersoal, tidak cukupkah kerajaan menaikkan petrol, gula dan tarif elektrik untuk memulihkan ekonomi negara sehingga terpaksa menaikkan lagi harga tol dan tidak kurang juga ada yang turut mempersoalkan syarikat konsesi lebuh raya yang mengutip tol, apakah mereka tidak untung, sedangkan setiap hari membuat pungutan jutaan ringgit?
Ada desas-desus menyatakan, kerajaan seperti orang ‘kemaruk’ kerana tidak mempedulikan langsung akan kesan kenaikan harga yang membebankan rakyat.
Sejak diumumkan pelbagai kenaikan, rakyat amat terkesan terutama masyarakat yang tinggal jauh dari tempat kerja. Kos golongan ini boleh dikatakan meningkat 10 hingga 30 peratus daripada perbelanjaan biasa.
Pemerhati ekonomi yakin rakyat tidak ingin mendengar atau teruja berapa bilionkah diperuntukkan oleh kerajaan untuk mana-mana projek mega ataupun keuntungan pelaburan yang kononnya diakui kerajaan.
Yang mereka tahu dan mahu ialah apakah pulangannya kepada rakyat dan apa yang kerajaan boleh lakukan untuk mengurangkan bebanan mereka?
Ini kerana ada rumah perlu dibayar ansuran bulanan atau sewaan, duit perbelanjaan untuk makan, persekolahan anak-anak, kenderaan perlu diisi petrol, bil asas, kos rawatan penyakit dan macam-macam lagi.
Jika dahulu seseorang individu yang berulang-alik dari Banting ke Shah Alam membelanjakan hampir RM410 sebulan bagi isian petrol dan tol, tetapi kini meningkat kepada RM570. Itu belum termasuk kadar tol baharu yang akan diumumkan kerajaan.
Ini bererti peningkatan bulanan berlaku hampir RM170, jika naik sebuah kereta Kelisa atau Kancil. Itu baharu penggunaan untuk ke tempat kerja, belum lagi ke lokasi lain. Jumlah itu belum termasuk lagi dengan lain-lain bayaran.
Angka itu agak banyak bagi individu yang pendapatan bulanannya RM3,000 dan jika kesemua perbelanjaan itu ditolak seseorang individu mungkin memperolehi lebihan wang sekitar RM50 dan mungkin juga negatif.
Betapa kecil pendapatan bulanan RM3,000 pada dunia hari ini. Apa akan terjadi jika seseorang itu mempunyai pendapatan yang lebih rendah daripada itu? Tidakkah mereka terus menderita?
Paling tidak rasional, mengapa perlu membayar tol di lebuh raya yang sentiasa sesak. Bukankah sepatutnya caj tol itu dikutip bagi melancarkan lagi perjalanan, bukan menyesakkan.
Ada individu yang menganggap sia-sia sahaja bayar RM1.10, pagi atau petang sama juga sesaknya.
Perkara seperti itu perlu dikaji dahulu oleh kerajaan. Berbaloikah kenaikan kadar tol untuk rakyat jika terpaksa mengharungi arus kenderaan yang panjang dan banyak masa serta tenaga dihabiskan di jalan raya.
Janganlah memberi alasan pengguna boleh menggunakan jalan alternatif mengelak tol. Penggunaan lebuh raya kini adalah satu kemestian bukan lagi ada jalan alternatif boleh mengelak tol. Jika ada pun berbatu-batu jauhnya.
Berbaloikah guna jalan tidak ada tol tetapi kos petrol meningkat? Kalau orang kaya tidak apalah setakat isi minyak RM100 celah gigi sahaja. Tapi kalau orang miskin banyak benda keperluan hendak dilakukan dengan wang sebanyak itu.
Terdapat juga suara mengatakan pengguna jalan raya boleh memilih untuk menggunakan jalan biasa lain sekiranya menganggap kenaikan tol terlalu tinggi.
Tidak logik kerja di Kuala Lumpur, duduk di Shah Alam terpaksa mencari jalan jauh untuk ke tempat kerja bagi mengelakkan tol. Pihak berwajib patut beri penjelasan yang lebih rasional daripada meminta orang ramai mengelak menggunakan atau membeli itu dan ini apabila harga sesuatu perkhidmatan atau barangan itu naik.
Apabila terus-menerus memberi alasan sebegitu, ia akan memberi persepsi buruk rakyat terhadap kerajaan. Sedangkan banyak usaha yang telah dibuat untuk manfaat rakyat, tenggelam begitu saja akibat salah beri penjelasan.
Bagaimanapun, masyarakat percaya sudah tentunya kerajaan mempunyai formula terbaik untuk mengurangkan bebanan rakyat. Asas kepada formula itu sudah tentulah dengan mendengar keluh kesah rakyat.
Perkara ini dipersetujui Presiden Pertubuhan Pergerakan Keadilan Sedunia (JUST), Dr Chandra Muzaffar yang menganggap pengumuman kadar kenaikan tol memberi satu kekeliruan kepada rakyat.
Dr Chandra berkata, kekeliruan ini berlaku berikutan kenyataan kenaikan kadar tol tersebut dikeluarkan oleh menteri yang berbeza.
“Semestinya rakyat sedikit terkejut, yang mana pada mulanya kadar tol akan disemak dan selepas beberapa hari kemudian kadar kenaikan telah disahkan.
“Namun demikian, elok kita tunggu beberapa hari lagi sebelum sebarang kenyataan dikeluarkan kerana saya percaya ianya akan diperjelaskan dengan lebih terperinci lagi,” katanya.
Selain itu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim dalam kenyataannya, turut berpendapat kerajaan mengabaikan penderitaan yang dialami oleh rakyat, sedangkan kerajaan sepatutnya berusaha mengurangkan kos sara hidup rakyat agar tidak naik mendadak.
Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Mohd Nizam Mahshar ketika dihubungi Sinar Harian berkata pihaknya ada menerima maklum balas daripada rakyat yang rata-rata menyuarakan keresahan terhadap siri kenaikan yang akan dilalui mereka tahun depan.
Menurutnya, ramai rakyat tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan menaikkan harga barang dan perkhidmatan kerana kos sara hidup yang terus meningkat.
"Semua reaksi yang diperolehi MTEM adalah negatif dengan tindakan kerajaan yang menaikkan harga barang dan perkhidmatan secara mengejut serta kegagalan memberi penjelasan berhubung kenaikan yang ingin dilaksanakan,” katanya.
Mohd Nizam berkata, kerajaan perlu mendengar pandangan dan keluh kesah rakyat kerana jika tidak, rakyat sudah pasti akan berasa dipinggirkan di negara sendiri. Sh
Tiada ulasan:
Catat Ulasan