SPECIAL ADS

8 Disember 2013

Lucu...Sakit hanya untuk seketika, baik untuk jangka panjang?

09 Dis : saya bersama seorang sahabat menuju ke MIECC, Mines, Seri Kembangan. Niat asal adalah untuk ke kenduri seorang teman namun terpaksa dibatalkan kerana tersilap tarikh kenduri. Di MIECC, serigala-serigala gemuk dan jahat sedang berkeliaran mencari mangsanya untuk dibaham. Murah! Bukan setakat serigala, pasti dubuk pun tidak akan melepaskan peluang memborong berjuta-juta judul buku yang hebat dan murah ini!
Oleh kerana pelan asalnya bukan untuk memborong buku, jadi saya tidak mampu menyediakan bajet yang besar untuk pesta Big Bad Wolf Books 2013 (BBW13). Bajet saya seorang marhaen tidaklah besar setiap bulan. Namun sebagai seorang pelajar doktor falsafah, pasti ada bahagian tertentu yang saya akan peruntukkan untuk membeli buku. Oleh kerana  ingin memperuntukkan sedikit bahagian untuk adik di kampung yang baru sahaja habis SPM, maka saya hanya keluarkan RM200 sebagai peruntukan di BBW13.
Mata terus dipukau tatkala masuk ke dewan utama MIECC. Memang benar, 3 juta buku pelbagai tajuk pelbagai genre dipamerkan untuk dijual dengan harga yang terlalu murah. Ini menyebabkan saya tidak mampu meronda ke seluruh pelusuk dewan. Saya sekadar pergi ke bahagian 'perniagaan'- untuk mencari buku yang berkaitan kajian saya dan ke bahagian 'history’ - untuk mencari buku tertentu yang boleh dimanfaatkan ketika masa lapang.
RM3
Seperti biasa, ruangan parkir di The Mines sentiasa penuh. Saya dan sahabat berjalan pulang menuju ke kereta dengan perlahan dan berhati-hati kerana terlalu banyak kereta yang sedang beratur dan kepanasan mencari parkir kosong. Ketika itulah, saya mendengar perbualan seorang petugas parkir kepada sahabatnya, "Kau pergilah ke gerai depan tu, murah. RM3 siap ada air teh ais dan sayur lagi".
Ketika itu langkah saya terhenti. Saya menoleh ke belakang. Rupanya seorang anggota Rela sedang bercakap dengan seorang rakannya yang mungkin sedang berkira-kira ingin membeli santapan petang. Tidak semena-mena hati saya sebak. Terdetik ingin memberikan sekeping not RM10 tetapi niat itu saya matikan kerana khuatir akan berlaku salah faham. Saya hanya berlalu tanpa menegur mahupun menghulur.
Tarif elektrik
Terasa begitu malang apabila seorang pemimpin negara mengatakan "Sakit hanya untuk seketika, baik untuk jangka panjang.." apabila mengulas soal kenaikan tarif elektrik. Benar, sakit untuk jangka masa pendek kerana rakyat baru sahaja berhadapan dengan kejutan kenaikan tarif. Rakyat perlukan sedikit masa untuk menyesuaikan kenaikan ini. Jika dahulu, mungkin RM100 diperuntukkan untuk bil elektrik. Tetapi dengan tarif baharu mungkin ia naik sedikit sebanyak RM130. Makanya, RM30 daripada peruntukan lain perlu dipotong.
RM30. Kadangkan kita tidak berfikir, apakah yang marhaen lakukan dengan RM30. Mungkin inilah peruntukan sarapan pagi untuk sebulan, siapa tahu?
Mungkin inilah jua peruntukan untuk sebulan yang diberikan kepada anak kecil yang setiap petang keluar bermain dengan rakannya. Mereka membawa RM1 dan menggunakannya untuk membeli minuman sesudah seronok bermain. Namun, dengan kenaikan tarif, peruntukan RM1 setiap hari untuk anak kecil terpaksa dipotong. Anak keluar bermain tanpa duit di poket. Tebal muka kerana tidak dapat membeli tatkala rakannya yang lain beratur di gerai minuman.
Jangka panjang
Saya ingin bertanya kepada pemimpin negara yang meluluskan kenaikan tarif, bagusnya jangka panjang ini adakah kembali kepada rakyat? Atau pun bagusnya kembali kepada pemodal yang melabur dengan pulangan yang berganda-ganda?
Marhaen dan sen
Sedarkah pemimpin negara, rakyat marhaen sangat berkira dalam soal wang walaupun nilainya hanya satu sen. Kerana dengan satu sen inilah marhaen mencukupkan perbelanjaan RM3 untuk makan petang. Dengan nilai satu sen inilah juga marhaen gembirakan anak-anak yang bermain setiap petang.
Jangan bandingkan marhaen dengan pemimpin negara. Pemimpin negara, usah katakan elektrik, setiap titisan petrol yang yang digunakan di dalam enjin keretanya ditanggung rakyat walaupun atas urusan peribadi. Pemimpin tidak rasa bebannya membayar tol dan petrol kerana mereka ada kad istimewa. Isi sahaja, rakyat yang bayar. Lalu sahaja, rakyat yang tanggung. Pernah kita lihat kereta PM berhenti dan bayar tol? Oh, mungkin kiamat dahulu baru itu berlaku.
Ini sekadar coretan ringkas, yang terbayang di benak fikiran di sepanjang perjalanan pulang daripada menjamu buku di Big Bad Wolf, hati ini bertanya dan otak ini berfikir, alakangkah lucunya negara ini, portfolio menteri diambil isteri. Alangkah lucunya negara ini, ada pemimpin tapi uruskan hasil negara sesuka hati. 

Danial Razali

* Penulis ialah seorang pensyarah dan pelajar PhD di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Tiada ulasan: