09 Dis : Ketika Perhimpunan Agung Umno 2013 berlangsung minggu lalu, pemimpin Hamas menghidupkan kembali perbincangan rekonsiliasi nasional di antara Umno dan PKR yang tergendala tidak berapa lama selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, kata pemimpin PKR.
Perbincangan rekonsiliasi pertama selepas pilihan raya 5 Mei yang menyaksikan bekas Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla yang rapat dengan kedua-dua Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi pengantara.
“Kali ini pengantara bagi perbincangan ini adalah pemimpin Hamas Khaled Meshaal yang datang ke Malaysia untuk menghadiri Forum Antarabangsa Umno 2013.
“Khaled bertemu Najib, kemudian bertemu Anwar dan akhirnya bertemu kembali dengan Najib dalam satu jamuan makan malam sebelum berlepas pulang,” kata seorang pemimpin kanan PKR kepada The Malaysian Insider.
Pemimpin PKR yang turut bertemu Khaled berkata, pemimpin Hamas itu menasihati kedua-dua Najib dan Anwar melupakan “luka-luka lama” terlebih dahulu jika mereka benar-benar serius untuk berdamai.
Najib pertama kali bertemu dengan pemimpin Hamas itu semasa melawat Gaza, Palestin pada Januari tahun ini manakala Anwar pula bertemu dengan Khaled tahun lalu di Doha, Qatar.
Khaled merupakan tokoh penting dalam rundingan damai di antara Hamas dan Fatah di Palestin.
Pemimpin kanan PKR itu memberitahu The Malaysian Insider selepas Khaled meninggalkan Malaysia, beliau dipanggil oleh seorang pemimpin kanan Umno.
“Dalam perbincangan saya bersama pemimpin kanan Umno itu, saya beritahu dia, kalau Umno serius mahu mengadakan perbincangan rekonsiliasi, semua serangan terhadap Anwar semasa perhimpunan agung mesti dihentikan,” kata pemimpin PKR itu merujuk kepada serangan Najib terhadap Anwar dalam ucapan dasar Presiden Umno.
“Dia beri jaminan tiada lagi serangan terhadap Anwar dan ternyata mereka memegang janji.”
Pemimpin PKR itu yakin perundingan kali ini akan berjaya tidak seperti perbincangan kerajaan perpaduan di antara Umno dan PAS semasa pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
“Pada ketika itu perbincangan dilakukan secara tertutup dan kedua-dua pihak terus berbincang mengenai ganjaran jawatan.
“Anwar tahu Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat paling pantang kalau pertemuan ‘gelap’ dilakukan. Sebab itu beliau sudah dua kali menggesa Barisan Nasional (BN) untuk duduk berbincang secara terbuka.”
Kali terakhir Anwar meminta perbincangan di antara BN dan Pakatan Rakyat (PR) dilakukan adalah pada lewat malam Khamis beberapa jam selepas Najib menggelarnya penipu dalam ucapan dasarnya semasa Perhimpunan Agung Umno.
Kenyataan Najib itu berhubung dakwaan 40,000 rakyat Bangladesh dikatakan dibawa masuk untuk mengundi dalam pilihan raya lalu.
Selepas menyerang Anwar, Najib juga berkata, "Parti ini tidak akan pernah jemu untuk menghulurkan salam perpaduan dengan mana-mana parti politik".
The Malaysian Insider diberitahu, kenyataan Anwar itu dikeluarkan selepas mendapat lampu hijau daripada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP Lim Kit Siang.
Kenyataan dikeluarkan oleh Anwar di atas kapasitinya sebagai ketua pembangkang dan bukan Ketua Umum PKR, kata satu sumber lain.
Di sebalik usaha untuk rekonsiliasi nasional, Umno mengakhiri perhimpunan agung mereka dengan gesaan untuk menyiasat pemimpin PAS kerana dikatakan mengamalkan fahaman Syiah dalam negara ini.
Walaupun fahaman Syiah tidak diharamkan di negara ini, penguatkuasa agama berkata, ia merbahaya kepada negara dan tidak boleh disebarkan dalam negara yang mempunyai majoriti pengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Kedua-dua fahaman diiktiraf secara rasmi dalam Amman Message yang turut ditandatangani Malaysia pada 2004. TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan