SPECIAL ADS

28 Disember 2013

Didakwa tak prihatin, Prof Muhaya tampil jawab

Prof Muhaya

28 Dis : Gara-gara mengeluarkan kenyataan pada artikel Prof Muhaya : Solusi Keluar Dari Bebanan Hidup yang disiarkan Sinar Harian Online, Selasa lalu, penceramah terkenal, Prof Dr Muhaya Mohamad dikritik pembaca kerana disifatkan tidak prihatin nasib rakyat.

Melalui sebuah video yang dimuat naik ke laman sosial Youtube, Prof Muhaya menjelaskan mengenai perkara tersebut. 

“Saya bukan ustazah, bukan ahli politik dan bukan ahli ekonomi. Saya cuma pencetus inspirasi yang semua orang sudah tahu, gaya saya bercakap...Kita mesti faham bahawa ada benda yang kita boleh kawal dan tidak boleh kawal.

“Apabila ditanya bagaimana nak tangani beban orang yang tengah serabut...memang banyak pihak yang nak saya buat kenyataan memarahi pihak yang menaikkan harga dan sebagainya. Tapi, pada saya, itu semua banyak dah orang yang cakap.

"Jadi, peranan saya sebagai seorang yang berusia 50-an, ada pengalaman, saya memang sangat yakin bahawa cara kita melihat sesuatu akan mengubah tindakan, persepsi atau interpretasi kita terhadap perkara itu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan soal 80 peratus dalam kehidupan adalah untuk mencari solusi sementara bakinya untuk melihat masalah.

“Katakanlah, minyak atau susu tumpah. Adakah kita nak lap susu itu atau nak bergaduh siapa yang tumpahkan susu itu?

“Saya nak katakan di sini bahawa kita mesti melihat kehidupan dengan 80 peratus mencari solusi dan 20 peratus untuk melihat masalah,” katanya.

Beliau turut menafikan dakwaan sesetengah pihak yang menyebut kenyataannya dalam artikel tersebut menunjukkan bahawa dirinya tidak prihatin terhadap kesusahan rakyat.

“Saya bukan ahli politik dan prinsip saya adalah tidak membuat kenyataan berbaur politik. Untuk situasi ini, bukan tidak prihatin. Siapa yang tidak prihatin...memang kasihan.

“Tetapi kalau kita kasihan, ramai orang yang susah, takkanlah kita nak ambil duit beri kepada semua orang susah itu? Kalau kita beri pun, ia dipanggil langkah sekejap.

“Tetapi bagaimana kita nak ‘empower’ seseorang? Ataupun beri kuasa atau membuat seseorang itu melakukan apa yang boleh pada situasi terdesak ini untuk menghadapi suasana tersebut?,” katanya.

Tambahnya, “saya seru kepada yang membuat dasar, kalau boleh kita prihatin dan janganlah kita melakukan sesuatu yang membebankan orang. Kerana kalau kita melepaskan beban orang, insya-ALLAH, ALLAH akan melepaskan beban kita,” katanya.

Jelasnya, “saya nak jelaskan, saya buat video ini pun bukan untuk justifikasi...takut orang tak suka, takut orang marah. Sebenarnya, saya dah maafkan semua orang yang mengata tak elok tentang saya. Saya tak rasa marah langsung. Saya faham dan rasa kasihan.”

Tiada ulasan: