SPECIAL ADS

29 April 2015

Siapa betul? SKMM atau Kastam?


Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengeluarkan kenyataan berbeza hari ini berhubung harga baru untuk kad tambah nilai telefon.

Menurut Pengarah JKDM, Datuk Seri Khazali Ahmad, harga berkenaan akan kembali kepada harga asal sebelum pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) mulai Jumaat.

Khazali berkata, beliau sendiri sudah mengarahkan kesemua empat syarikat telekomunikasi untuk mengekalkan harga asal berkuatkuasa 1 Mei dalam satu surat semalam (28 April).

"Apabila arahan diberikan, syarikat telekomunikasi perlu akur kepada arahan Ketua Pengarah Kastam. Tidak ada alasan sama ada kad prabayar itu stok baharu atau stok lama," katanya seperti dipetik dalam laporan Bernama.

Menurutnya, jika isian semula itu bernilai RM10 maka pengguna akan membayar RM10 mulai 1 Mei.

SKMM pula dalam kenyataannya menyebut, kad isian semula akan terus dijual dengan GST.

Menurut Pengerusi SKMM, Datuk Seri Halim Shafie, jika isian semula itu bernilai RM10, ia akan dijual dengan harga RM10.60

Pengguna juga boleh beli dengan harga RM10 bagi mendapatkan isian semula bernilai RM9.43, katanya.

Halim berkata langkah untuk meminda harga agar kembali ke paras sebelum GST "agak mustahil".

Beliau antara lainnya memberi alasan, pihak penjual akan mengalami kerumitan kerana perlu membuat konfigurasi semula ke atas sistem.

"Bukan hanya di pihak pembekal perkhidmatan bahkan juga bagi ejen pihak ketiga seperti institusi kewangan, pembekal pembayaran elektroini, pasar raya, stesen minyak dan ejen jualan lain yang kesemuanya berjumlah lebih kurang 30,000.

“Kos untuk melaksanakannya juga besar, baik bagi pembekal perkhidmatan mahupun ejen pihak ketiga.

“Tambahan lagi, stok baharu kad prabayar perlu dikeluarkan dan diagihkan ke seluruh negara,” katanya lagi dalam kenyataan.

Tinjauan Malaysiakini awal bulan ini mendapati, ada di kalangan peruncit menghentikan jualan selepas pelaksanaan GST kerana keliru dan bimbang akan mengalami kerugian. MK

Tun M : Ahmad Maslan tidak tahu apa-apa tentang kewangan

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kritik Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan tidak tahu apa-apa tentang kewangan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 29 April, 2015.
Selepas Datuk Ahmad Maslan menuduhnya tidak memahami cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan baru-baru ini, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengkritiknya kembali, mengatakan timbalan menteri kewangan itu tidak tahu apa-apa tentang kewangan, lapor Malaysiakini.
"Saya tak tahu apa yang dia cakap.
"Dia jaga kewangan tetapi dia tak tahu apa-apa tentang kewangan," katanya.
Ahmad sebelum ini mendakwa Dr Mahathir tidak faham GST dan ia merupakan punca bekas perdana menteri itu mencadangkan Putrajaya menghapuskan cukai yang membebankan rakyat itu.
"Saya rasa orang di sekelilingnya tidak memberi penjelasan yang betul tentang GST.
"Peratusan GST lebih rendah berbanding SST (cukai jualan dan perkhidmatan). Jadi bagaimana dia boleh kata lebih baik kerajaan batalkan GST," kata Ahmad yang juga ahli Parlimen Pontian itu dipetik sebagai berkata sebelum ini.
Beliau juga menggesa pihak yang rapat dengan Dr Mahathir memberi penjelasan lebih lanjut tentang GST kepadanya ‘tanpa dipengaruhi komen negatif pembangkang’. TMI

Harga kad prabayar telefon pada kadar sebelum GST mulai 1 Mei 2015

Mulai Jumaat ini (1 Mei) harga kad prabayar telefon kembali kepada harga asal iaitu seperti sebelum pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada 1 April, kata Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Khazali Ahmad.
Ini bermakna, jika kad prabayar itu bernilai RM10 maka pengguna akan membayar RM10 mulai 1 Mei.
Khazali berkata beliau sendiri sudah mengarahkan semua 4 syarikat telekomunikasi untuk mengekalkan harga asal berdasarkan kepada konsep 'tax inclusive' berkuatkuasa 1 Mei dalam satu surat semalam.
"Apabila arahan diberikan, syarikat telekomunikasi perlu akur kepada arahan ketua pengarah kastam. Tidak ada alasan sama ada kad prabayar itu stok baharu atau stok lama," katanya pada sidang media di ibu pejabat Kastam Diraja Malaysia di Putrajaya, hari ini.
Arahan itu dikeluarkan demi golongan muda terutamanya para pelajar yang banyak bergantung kepada kemudahan dan perkhidmatan telekomunikasi, katanya. 
Khazali berkata GST bagi kad prabayar telefon perlu dibuat secara 'tax inclusive' atau termasuk cukai seperti cukai perkhidmatan di bawah Akta Cukai Perkhidmatan sebelum ini.
Sementara itu, beliau berkata dua syarikat makanan bakal didakwa di Shah Alam mengikut Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 esok - pendakwaan pertama di bawah akta itu.
GST dilaksanakan pada kadar 6% bermula 1 April menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang berkadar keseluruhan 16%.
Khazali berkata bagi meningkatkan pematuhan GST dalam kalangan peniaga, pegawai kastam akan menjadi 'pembeli misteri' di premis yang berdaftar dengan GST bermula 1 Mei ini. – Bernama

28 April 2015

1MDB modal RM1 juta boleh hutang sehingga RM42 bilion?

Tanah 1MDB
Taikun Desmond Lim Beli Tanah Kerajaan Sebelah Pavilion RM7,000 Sekaki, 1MDB Beli Tanah TRX RM60 Sekaki dan Tanah Sungai Besi RM90 Sekaki! : Baru ini Mahathir Mohamad telah melakukan perjumpaan dalam satu majlis penerangan kepada sesiapa yang berminat untuk mendengar penjelasannya, mengapa beliau bertindak hari demi hari memberikan desakan supaya Datuk Seri Najib letak jawatan di sebuah dewan di Hulu Kelang, Selangor.
Terdapat beberapa sebab-sebab yang digariskan oleh Dr mahathir Mohamad disebalik desakan supaya Najib Razak letak jawatan sebagai perdana Mneteri Malaysia :
  1. Walaupun, 1MDB beli stesen janakuasa bebas pada harga mahal (lebih daripada harga pasaran), Mahathir masih boleh tutup mata lagi
  2. Walaupun Datuk Seri Najib Razak tidak mahu teruskan projek jambatan bengkok Malaysia – Singapore, Mahathir boleh tutup mata lagi
  3. Walaupun Najib Razak tidak meneruskan projek kereta api berkembar dari Johor ke Padang Besar dengan kos sejumlah RM14 bilion, Walaupun akhirnya projek itu diteruskan dengan kos yang lebih besar (sekali ganda) untuk laluan Ipoh ke Padang Besar pada nilai RM12 bilion, Mahathir masih boleh pejamkan mata lagi
  4. Tetapi….tetapi Mahathir Mohamad sudah tiba masa untuk beliau bangun bagi memperbetulkan keadaan demi negara walaupun Najib Razak adalah figura yang beliau pernah angkat sehingga menjadikan Najib Razak Menteri Besar Pahang pada usia yang cukup muda (27 tahun) dan Perdana Menteri pada masa sekarang ini atas nama balas jasa dan balas budi Mahathir kepada role model Mahathir dahulu iaitu Tun razak (bapa najib razak).
Lebih-lebih melihatkan perbelanjaan yang terlampau banyak dana negara secara terkawal dan berhemah, Mahathir Mohamad mula merasa tidak senang duduk.

Punca Utama Najib Razak Patut Letak Jawatan Segera

  • Ditambah pula, tindakan 1MDB yang beli tanah kerajaan Malaysia pada harga yang cukup-cukup murah di kawasan yang cukup bernilai tinggi. Tanah bagi pembangunan Tun Razak Exchange (TRX) ini ia berdekatan dengan Pavilion.
  • Tanah sebelah Pavilion Tan Sri Desmond Lim beli tanah dengan nilai harga RM7,000 satu kaki.
    1MDB pula beli tanah TRX dengan harga RM60 satu kaki. Patutkah?
  • Beginikah cara kerajaan Malaysia uruskan tanah-tanah kerajaan?
  • Tidak cukup lagi, tanah lapangan Sungai Besi 1MDB beli hanya serendah RM90 satu kaki sedangkan berdasarkan nilai pasaran Mahathir mengatakan harga tanah lapangan Sungai Besi 1MDB itu mencecahah antara RM2,000 – RM3,000 satu kaki
  • Hutang 1MDB dengan hanya syarikat bermodal hanya RM1 juta tetapi hutang 1MDB sudah pun melonjak RM42 bilion (bermakna 42,000 kali ganda berbanding modal yang 1MDB ada)
Kemudian 1MDB mendabik dada, mengatakan aset meraka semakin besar.
  • Memanglah dah kamu beli tanah kerajaan pada harga murah
  • Tetapi yang rugi siapa? Kerajaan Malaysia. Kita rugi. Ermmm….
  • Ini kerana tanah yang cukup-cukup bernilai tinggi kerajaan Malaysia boleh jual murah-murah kepada 1MDB
1MDB modal RM1 juta boleh hutang sehingga RM42 bilion kemudian beli tanah kerajaan harga yang sangat murah. Ditambah dengan 1MDB tidak bercakap benar dan berputar belit ketika beri kenyataan ke mana dan di mana wang yang sebegitu banyak itu sekarang. (bernilai berbelas-belas bilion ringgit)
Nah…..ini yang Mahathir Mohamad bangun tentang habis-habisan keadaan seperti ini dan tuntut duit itu semula. Sebelum ia bertambah teruk.
P/S : Akhir sekali Mahathir Mohamad sekali lagi merayu dan berharap Najib Razak letak jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia. Cukuplah!
PP/S :Dengan nada kesal, Mahathir Mohamad mohon maaf kepada idolanya, arwah Tun Razak di mana anaknya Najib razak patut letak jawatan. Mahathir menegaskan sekali lagi jika Najib Razak terus pimpin Malaysia, Barisan Nasional (BN) akan kalah Pilihanraya Umum ke 14 kelak.
PPP/S :  Demi kebaikan Najib Razak, dan kebaikan rakyat, Mahathir sekali lagi memberikan peringatan kepada Najib Razak lebih baik berhenti sekarang daripada hilang jawatan pada ketika Barisan nasional tumbang pada Pilihanraya Umum ke 14 kelak. Mahathir khuatir jikalau pembangkang menang PRU14, mereka akan cungkil dan korek dan gali segala kekotoran akan didedahkan sekaligus tindakan akan diambil terhadap sesiapa yang berkaitan, pada ketika itu Mahathir mengambil berat nasib Najib Razak pada masa itu. Akhirkata Mahathir, lebih baik Najib Razak letak jawatan sekarang.
beritasemasa.com.my

Najib 'ghaib' di Permatang Pauh?


Walaupun bahang kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh semakin terasa, PKR mendapati ada sesuatu yang 'hilang'  dari kawasan itu - poster Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin hari ini berkata tidak seperti kempen pilihan raya kecil lain ketiadaan poster memaparkan wajah Najib di Permatang Pauh sangat dirasai.

Kali ini, kata Sim, kebanyakan poster yang dinaikkan hanya memaparkan gambar calon BN, Suhaimi Sabudin tanpa dihiasi wajah Najib.

Sim turut mempertikaian sama ada perkembangan itu ada kaitan dengan kritikan keras bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Najib berhubung dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

"Ini menunjukkan Umno membawa bersama krisis politik dalamannya ke Permatang Pauh," katanya di Penanti. MK

Pak Lah tekan Najib?



Seorang lagi tokoh tampil mendesak perdana menteri supaya jangan terus berdiam diri terhadap kritikan dibuat Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kata Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Najib Razak perlu memberi reaksi kepada kritikan dibuat Dr Mahathir.

"Najib perlu melakukan sesuatu. Sesiapa yang menjadi perdana menteri bertanggungjawab (untuk memaklumkan) kepada rakyat," katanya di sidang media selepas menghadiri forum anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia hari ini.

"Beliau tak boleh mendiamkan diri, kan?" katanya.

Abdullah berkata, menjadi perkara biasa bagi seseorang pemimpin menyuarakan pandangannya kepada rakyat.

Katanya, Najib perlu melakukan sesuatu bagi menangani serangan Dr Mahathir kerana jika tidak, ia akan memberi kesan buruk kepada Umno dan masyarakat.

Ditanya sama ada Najib perlu meletak jawatan sebagai perdana menteri atau sebaliknya, Abdullah berkata: "Dia mesti membuat keputusan itu."

Sementara itu ditanya apa yang perlu dilakukan pihak lain yag terbabit dalam persengekataan Najib - Dr Mahathir, Abdullah berkata: "Cuma buat kerja masing-masing, sudah." MK

25 April 2015

Nenek Presiden Obama Laksanakan Umrah dan Kunjungi Museum Nabi di Mekah

Nenek Obama yang tinggal di Kenya, Sarah Umar (islammemo.cc)

Nenek Presiden AS Barack Obama berkunjung ke Pameran “Assalamu’alaimum ‘Alaik Ayyuhan Nabiy” di Mekah Al-Mukarramah setelah melaksanakan ibadah umrah, sebagaimana dikutip Islam Memo (23/4/2015).

Nenek presiden negara adidaya yang bernama Sarah Umar itu bercucuran air mata selama mengamati dan mencoba memahami peristiwa-peristiwa bersejarah kenabian (sirah nabawiyah) selama berada dalam museum itu.

Sarah menyampaikan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Pemerintah Arab Saudi atas dukungan terhadap upaya menjaga dan menyebarkan gambaran Islam yang sesungguhnya.

Sarah Umar berkunjung ke Arab Saudi guna melaksanakan ibadah umrah dengan didampingi oleh anaknya Sayid Obama (paman Presiden Obama) dan cucunya Musa Obama (sepupu Presiden Obama).

Sebagaimana diketahui, ayah Presiden Obama adalah warga AS berasal dari Kenya bernama Barack Hussein Obama Sr, yang menikah ke ibu Presiden Obama warga negara AS, Ann Dunham.



Tun Mahathir : Batalkan GST

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan seharusnya menaikkan kadar cukai jualan dan perkhidmatan, bukannya melaksanakan GST. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 25 April, 2015.

Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa Putrajaya membatalkan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang diperkenalkan 1 April lalu kerana pegawai pegawai kerajaan yang melaksanakan sistem cukai baharu itu sendiri tidak memahaminya.
Bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu sebaliknya berkata, kerajaan seharusnya hanya menaikkan kadar cukai jualan dan perkhidmatan.
"Saya fikir batal sajalah," katanya disambut dengan sorakan dan tepukan gemuruh kira-kira 1000 hadirin di Kelab K, Taman Melawati, Selangor hari ini.
"Dulu ada cukai jualan. Kalau tambah sikit cukai jualan, itu ok. Tetapi perkenalkan satu sistem yang pegawai sendiri pun tidak faham," katanya apabila ditanya mengenai apakah kadar semasa GST terlalu tinggi pada program "Bicara Negarawan: Anda Tidak Keseorangan" anjuran gabungan badan bukan kerajaan NGO Prihatin.
Pelaksanaan GST menimbulkan kemarahan orang ramai terutamanya rakyat bawahan kerana terpaksa berdepan dengan satu sistem cukai yang lebih menyeluruh dan menyaksikan kenaikan harga pelbagai barangan keperluan.
Bagaimanapun, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan seringkali mempertahankan GST dengan mengatakan harga barangan dan perkhidmatan menjadi lebih murah.
Ini menyebabkan PKR minggu lalu menggesa anak dan cucu Ahmad menggunakan lampin kain bagi turut sama merasai derita rakyat yang terpaksa berbelanja besar membeli lampin pakai buang setiap bulan.
Pengarah Strategi PKR Sim Tze Tzin berkata, lampin pakai buang menjadi semakin mahal selepas dikenakan GST dan ia memberi kesan kepada generasi muda serta mereka yang memiliki anak ramai.
“Lampin pakai buang paling mahal untuk perbelanjaan keluarga muda. Seminggu lebih kurang satu pek atau 3 suku pek (besar). Setiap bulan perlu 3 pek untuk setiap anak.
“Setiap bulan, kami perlu tunggu jualan murah, baru pergi beli. Kita tidak boleh lari daripada membeli lampin pakai buang. Tidak ada orang pakai lampin kain lagi. Kalau pakai lampin kain, cuci pun teruk.
“Suruh anak Ahmad Maslan pakai lampin kain, atau cucu dia. Baru dia tahu,” katanya pada satu sidang media.
PKR mendesak Putrajaya agar mengecualikan 4 kategori barangan kanak-kanak (5 tahun dan ke bawah) daripada GST iaitu kos konsultasi doktor, perubatan dan vitamin, barangan kebersihan, peralatan asas dan susu.
Sim berkata, Putrajaya tidak harus mengenakan cukai kepada orang sakit kerana tiada siapa yang mahu ditimpa penyakit.
Dr Mahathir, yang juga penasihat Proton, secara berseloroh berkata, kereta nasional Proton lebih murah selepas GST dilaksanakan awal bulan ini.
"Harga kereta Proton menjadi lebih murah. Jadi, kalau hendak beli kereta Proton, belilah," katanya. TMI

22 April 2015

Hidup Mewah Sang Perdana Menteri



PETALING JAYA: Majalah Indonesia, Tempo menyiarkan artikel berkaitan gaya hidup mewah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah dalam edisi khas sempena Ulangtahun ke-60 Persidangan Asia-Afrika yang akan diadakan di Bandung minggu ini.


Rencana bertajuk “Hidup Mewah Sang Perdana Menteri’ turut mendakwa gaya hidup yang dipaparkan tidak setanding dengan gaji yang diterima Najib sejak menjadi Perdana Menteri pada 2009.

Penulisnya yang dikenali sebagai Rosalina telah memetik laporan akhbar antarabangsa dan media tempatan untuk mengaitkan kehidupan mewah Perdana Menteri dan isteri yang didakwa telah membangkitkan kemarahan rakyat Malaysia.

Dia turut memetik laporan The NewYork Times yang mendakwa Rosmah memiliki barang kemas bernilai jutaan ringgit dan beberapa beg tangan berjenama mewah, Birkin.

Begitu juga dengan kenyataan MyWatch yang mendakwa Rosmah memiliki empat jam tangan mewah jenama Richard Miller Lady RM007 yang dikatakan mencecah harga hampir setengah juta ringgit.

Artikel itu menyebut, gaya hidup mewah Rosmah itu tidak sepadan dengan pendapatan Najib sebanyak RM350,000 setahun.

Penulis turut mengaitkan laporan kekayaan anak Rosmah dari perkahwinannya sebelum Najib, Riza Aziz, yang dilaporkan memiliki kekayaan luar biasa.

Dia dikatakan membeli dua unit kondominum di tengah-tengah kota New York berharga ratusan juta ringgit dan kekayaaan yang dimiliki itu dikaitkan dengan bapa tirinya, Najib.

Datuk Nur Jazlan : Najib dikelilingi penasihat 'Pandai Memandai'


Ahli Parlimen Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kini dikelilingi penasihat "pandai memandai".

Katanya, golongan penasihat tersebut lebih mementingkan perut masing-masing berbanding mempertahankan perdana menteri daripada serangan.

Lebih menyukarkan Najib lagi, pemimpin yang mempertahankan anak bekas perdana menteri itu tidak memiliki kredibiliti dan pengalaman, kata Nur Jazlan.

Ini menyebabkan segala hujah yang dikemukakan untuk mempertahankan Najib dapat dipatahkan dengan mudah, katanya.

"Di sinilah letaknya perbezaan utama Tun Dr Mahathir dan Najib sebagai Presiden Umno dan perdana menteri kerana pada zaman Najib, beliau tidak mempunyai barisan menteri kabinet yang berpengaruh terhadap rakyat," katanya.

Menulis dalam blognya, Nur Jazlan berkata, apa yang berlaku dalam Umno ketika ini bukan sesuatu yang baru.

Di bawah tajuk "Bubar Parlimen Dalam Tempoh Terdekat Pilihan Terbaik Umno Terus Berkuasa?" Nur Jazlan berkata, apa yang disaksikan ketika ini, sokongan diberi semua pihak terhadap Najib bukan sesuatu yang mengejutkan.

"Ahli parti tidak perlu menoleh jauh ke belakang untuk melihat sokongan seperti ini pernah diterima presidennya yang keenam, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2008 sebaik tamat pilihan raya umum ke-12," katanya.

Menurut Jur Jazlan, BN ketika itu hanya mendapat 140 kerusi, termasuk hanya 79 disumbangkan oleh Umno.

Gerakan tersusun jatuhkan PM

Sebaik tamat PRU ke-12, katanya, kedengaran wujud gerakan tersusun untuk menjatuhkan Abdullah dan menggantikannya dengan Najib.

Buat masa ini, kedudukan Najib sebagai presiden Umno secara lahiriah masih kukuh namun kehilangan panglima perang politiknya yang paling kanan, arwah Tan Sri Jamaluddin Jarjis, mungkin menyebabkan beliau sendiri kehilangan arah.

Manakala daripada segi pentadbiran pula, Najib kehilangan ketua staff Sri Perdana, Datuk Azlin Alias serta setiausaha sulitnya, Datuk Po’ad Jelani.

Keadaan itu, katanya, boleh diibaratkan seperti "sudah jatuh ditimpa tangga".

"Terpalit dengan pelbagai isu daripada soal pentadbiran dan pengurusan kewangan negara hinggalah berkaitan keluarganya, Najib sebenarnya berdepan satu situasi yang begitu meruncing.

Temubual tidak meyakinkan

"Najib sewajibnya sedar dan perlu membuka mata serta hati bahawa kenyataan terbuka diterimanya kini, mungkin hanya bersifat retorik semata-mata.

"Amat jarang sekali seorang perdana menteri terpaksa membuat tembual di televisyen secara terbuka bagi menjawab persoalan yang ditimbulkan bekas perdana menteri kerana kebiasaannya ia dilakukan di belakang tabir atas hubungan bapa dan anak," katanya.

Namun kata anak bekas menteri itu, hasil temubual itu kelihatan langsung tidak meyakinkan Dr Mahathir dan menambahkan lagi kurang keyakinan di kalangan rakyat.

Malah kata Nur Jazlan, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal menuntut Najib menjawab persoalan berkenaan.

Katanya, selepas pengisytiharan solidariti ketua Umno bahagian di PWTC awal bulan ini, kenyataan Shafie itu membuka semula kemungkinan berlaku kudeta teratur dalam pimpinan tertinggi Umno seperti yang dialami Pak Lah pada 2008 walaupun ketika itu, daripada zahirnya semua menyatakan sokongan kepada Pak Lah.

"Umno yang kini dicap sebagai sebuah parti feudal sudah pasti di kalangan bangsawannya bertindak mengelilingi pemimpin apabila beliau diancam dan tradisi ini sama seperti dipamerkan golongan bangsawan Inca yang mengelilingi raja mereka apabila diancam penjajah Sepanyol 500 tahun lalu.

"Namun, nasib semua bangsawan empayar Inca ini sama seperti dialami raja mereka apabila semuanya dibunuh menyebabkan rakyat bertaburan melarikan diri dan runtuhlah empayar itu di Amerika Selatan.

"Sifat bermuka-muka dalam Umno bukan satu perkara baru dan seorang gentleman seperti Pak Lah pun boleh dimainkan," katanya. MK

Punca Nilai Ringgit Jatuh Turun RM3.63-RM3.70 2 Bulan Terakhir? Adakah Malaysia Ke Arah Krisis Ekonomi?

ringgit jatuh
Punca Nilai Ringgit Malaysia Jatuh Teruk Turun Lagi RM3.63-RM3.70 2 Bulan Terakhir? Adakah Malaysia Ke Arah Krisis Ekonomi? Matawang Ringgit Malaysia lagi jatuh lagi bagus kata menteri. Nah…sekarang nilai ringgit Malaysia berada pada paras RM3.60 dan ke atas bukanlah berita yang mengejutkan bagi rakyat Malaysia dan pelabur luar contohnya. Sudah 2 bulan ringgit turun naik antara 3.65 hingga 3.70 bagi setiap 1 usd.
  • Jika dahulu, setiap nilai ringgit Malaysia RM1 boleh tukar kepada Rp2500. Sekarang? setiap matawang ringgit Malaysia RM1 boleh tukar menjadi Rp3700. Makin berbondong-bondonglah serumpun Malaya boleh hantar wang ke Indonesia.
  • Jikalau dahulu nilai Ringgit Malaysia RM1 boleh dapat SGD1. Sekarang? SGD1 bersamaan RM2.70. Makin laris bisnes perniagaan warga Malaysia terutamanya warga Johor? Berbondong-bondong warga asing sapu hartanah rumah, kondo mewah dan kedai di Malaysia. Semakin kaya warga asing dek kerana tidak putus-putus apabila projek semakin banyak.
Bukankah ini yang dimahukan para menteri?

Punca Nilai Ringgit Jatuh Turun? Jawapan Tun Daim

Adakah negara kita berada dalam krisis ekonomi hari ini. Datuk Seri Najib Razak mengatakan negara kita bukan ke arah kemeselatan ekonomi. Ya….sama sekali Berita Semasa percaya kata Perdana Menteri. Tetapi…..tetapi mengapa matawang Ringgit jatuh dan berada pada paras yang begitu lemah pada hari ini? Apa sebabnya?
Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti mengatakan baru-baru ini, matawang ringgit jatuh kerana “undervalue” dan tidak adil untuk menurunkan nilai matawang ringgit Malaysia sekarang ini.
Tun Daim Zainuddin mantan Menteri Ekonomi Malaysia di zaman Tun Dr Mahathir Mohammad mengatakan jikalau “fundamental” Malaysia adalah baik mengapa dan kenapa matawang Ringgit jatuh teruk sekarang? Mesti ada sebabnya mengapa jadi teruk begini.
Jawapannya adalah berpunca daripada orang luar sudah tiada keyakinan kepada Malaysia. Perlu berjaga-jaga di situ apabila mentadbir ekonomi Malaysia jikalau orang sudah tidak percaya kepada kerajaan Malaysia.
Penganalisis ekonomi menjangkakan yang mana matawang ringgit Malaysia akan berada pada paras RM3.80 bagi setiap USD1 tidak lama sahaja lagi.
P/S : Datuk Seri Najib Razak ada peluang semasa sesi soal jawab (DI SINI) mengapa tidak jawab persoalan isu matawang ringgit jatuh teruk? Rakyat perlukan jawapan. Jangan tinggalkan mereka tertanya-tanya.
PP/S : Sekarang ekonomi China dalam fasa yang semakin perlahan yang mana akan turut memberikan kesan kepada Malaysia kelak.
beritasemasa.com.my

21 April 2015

Impian Amy (Search) Buka Sekolah Tahfiz Terlaksana


PETALING JAYA: Vokalis kumpulan Search iaitu Amy tidak akan meninggalkan bidang seni selepas membuka sebuah sekolah Tahfiz, Al-Bayan School Of Quran & Hadith di Sungai Buloh pada awal tahun lalu.

Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 57, sebaliknya berkata, pembukaan sekolah berkenaan adalah sebagai persiapan untuk masa hadapan selain sebagai bekalan amalannya di dunia dan akhirat.

"Apa yang saya lakukan ini (membuka sekolah Tahfiz) mengikut apa yang termampu dalam mengimbangkan bekalan amalan saya di dunia dan akhirat.

"Pun begitu saya tidak mempunyai sebarang perancangan untuk bersara daripada industri muzik kerana itu semua ditentukan oleh Allah," katanya kepada mStar Online.


Amy bersama pelajar di Al-Bayan School of Quran & Hadith menikmati makanan tengah hari.

Al-Bayan School of Quran & Hadith adalah sebuah sekolah yang mengkhususkan pelajar dari kalangan kanak-kanak yang berumur 7 tahun hingga 15 tahun.

Mereka diajar untuk menghafal Al-Quran, Hadis, Bahasa Arab selain mengajar pelajaran asas seperti Bahasa Inggeris dan matematik.

Dalam pada itu, Amy menjelaskan sekolah tersebut dibuka secara kecil-kecilan bersama seorang kenalannya dan ia menempatkan seramai 15 orang pelajar tahfiz.

"Sekolah Tahfiz tersebut dibuka oleh saya bersama dengan seorang rakan yang terletak di Sungai Buloh.


"Kini kami mempunyai seramai 15 orang pelajar dan itu sudah mencukupi kerana tempat tersebut tidak dapat menampung jumlah bilangan pelajar yang ramai.

"Pada masa sekarang biar saya fokus dulu dengan apa yang ada kerana bila semua berjalan dengan lancar kita akan tambahkan lagi tahfiz yang lebih besar pada masa hadapan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Amy menjelaskan dia kini sedang sibuk untuk menyiapkan album sendiri terbaru yang bakal dilancarkan pada Ogos tahun ini. MStar

Tun Mahathir senaraikan kegagalan Najib

Hasil carian imej untuk gambar najib mahathir

SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini terus mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak termasuk menggariskan beberapa perkara yang didakwa sebagai ‘kegagalan’ pemimpin nombor satu negara itu.

Menurut Dr Mahathir, meskipun kegagalan pembinaan jambatan bengkok satu episod yang memalukan, namun ia bukan alasan yang cukup untuk beliau menggesa Najib meletakkan jawatan.

“Sesetengah pihak percaya saya sangat marah kerana pembinaan jambatan bengkok gagal sehingga mahukan Najib letak jawatan. Ya, saya kecewa terutama apabila Najib merayu kepada Singapura untuk membina jambatan dan ia ditolak. Ia memalukan kerana kita tidak berani bina jambatan di negara sendiri tanpa kebenaran Singapura.

“Episod memalukan ini tidak cukup untuk saya menggesa Najib letak jawatan. Najib anak kepada (Allahyarham) Tun Abdul Razak, orang yang bertanggungjawab dalam kenaikan saya sebagai Perdana Menteri.

“Itu sebahagian alasan dan alasan lain sebab Najib menunjukkan prestasi yang baik ketika saya menjadi Perdana Menteri, saya mahu Najib menjadi Perdana Menteri dan orang tahu saya bekerja keras menekan Abdullah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) untuk mengangkat Najib sebagai Timbalan Perdana Menteri supaya Najib boleh menjadi Perdana Menteri selepas Abdullah,” katanya.

Menurut beliau lagi, sejak menjadi Perdana Menteri, Najib gagal dalam projek pembinaan landasan kereta api berkembar elektrik dari Johor ke Padang Besar, Perlis yang telah dipersetujui sebelum ini.


Tapi Najib gagal dalam banyak perkara selepas menjadi Perdana Menteri. Selain jambatan, dia juga tidak meneruskan landasan kereta api berkembar yang telah dipersetujui namun dibatalkan Abdullah.

“Dengan RM 14 bilion, kita sepatutnya telah siapkan projek ini pada 2010. Sebaliknya atas desakan permintaan, dia benar penyambungan trek kereta api itu untuk RM12 bilion. Kita habis banyak duit.

“Kemudian, dia mula merekrut empat tingkat pegawai ditambah dengan pegawai British untuk menasihatkannya bagaimana untuk mentadbir negara. Mereka juga menggunakan konsultan asing yang menelan kos lebih RM7 bilion. Kita capai kemerdekaan pada 1957 dan hapuskan penasihat British. Kita lakukan lebih baik tanpa mereka. Najib nampaknya tak percaya kebolehan rakyat Malaysia untuk membangunkan negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh soal pengabaian Najib terhadap khidmat kakitangan awam yang sentiasa setia kepada kerajaan BN namun kini, ramai yang tidak lagi menyokong kerajaan.

“Mengabaikan Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan jabatan kerajaan yang lain, dia mewujudkan agensi baru untuk merancang pembangunan negara ini. Agensi itu diketuai oleh bukan kakitangan awam dan gajinya jauh lebih tinggi daripada kakitangan awam.


“Kakitangan awam sangat tidak gembira. Sebelum ini mereka ubah negara ini daripada negara membangun kepada negara berpendapatan pertengahan. Sekarang, khidmat, kepakaran dan pengalaman mereka tidak lagi diperlukan. Dulu mereka setia dengan kerajaan, sekarang ramai yang tidak lagi menyokong kerajaan. Malah ada sebahagian yang menyertai pembangkang selepas bersara dan menjadi calon dalam pilihan raya,” katanya.

Malah dalam catatan sama, Dr Mahathir turut menyentuh soal slogan 1Malaysia yang dilaungkan Najib yang didakwanya diambil daripada pembangkang dan keputusan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atas desakan pembangkang serta membebaskan tahanan menyebabkan jenayah semakin meningkat.

“Kemudian, dia mula beri duit kepada rakyat bukan setakat kepada individu berpendapatan kurang RM3,000 sebulan tetapi juga kepada pertubuhan dan sektor korporat. Berbilion ringgit dihabiskan di sini. Kemudian himpunan dianjurkan dalam setiap majlis.

“Penganjur diarahkan untuk mengumpul 10,000 orang. Mereka diberi makan dan elaun serta pengangkutan. Mereka diberikan plakad untuk dipegang dengan tulis ‘I Love PM’ malah lagu 1M4U turut dihasilkan dan dinyanyikan di perarakan hari kebangsaan,” tulisnya.

Penolakan sokongan kaum Cina terhadap Najib jelas dizahirkan dalam PRU13 yang menyebabkan keputusan itu lebih buruk daripada zaman Abdullah.

Dr Mahathir turut mendakwa, orang Melayu pun tidak sokong Najib, malahan selepas Najib mengambil alih Umno, keputusan di Selangor lebih buruk daripada 2008.

“Orang Melayu undi BN sebab mereka takut Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) akan mengangkat Lim Kit Siang sebagai Timbalan Perdana Menteri. Selepas semua ini, saya teruskan sokong Najib. Dalam beberapa majlis saya berjumpa beliau dan memberitahu bahawa strateginya silap tapi pandangan saya diabaikan.

“Saya katakan sebelum PRU13 bahawa jika prestasinya lebih buruk daripada Abdullah, dia patut letak jawatan. Saya menaruh harapan tinggi untuk dia buat lebih baik daripada Abdullah. Apabila dia gagal, saya beritahu rakyat bahawa mereka patut terus sokong dia.

“Tapi sekarang, dengan kontroversi yang mengekorinya, saya pasti BN akan kalah jika dia terus memimpin dalam pilihan raya akan datang. Banyak tingkah lakunya yang saya fikir tidak betul tapi saya sudah bersedia untuk mengabaikannya termasuk gaya hidup dia dan isterinya yang mewah.

“Tapi apabila dia gagal menjelaskan ke mana hilangnya berbilion ringgit dan penglibatannya dalam orang-orang yang dipersoalkan dalam pengurusan 1MDB, saya merasakan bahawa dia tidak layak untuk menjadi Perdana Menteri negara ini. Saya akan jelaskan soal kehilangan berbilion ringgit ini dalam catatan akan datang,” katanya.

Muhyiddin perlu singkir Najib



PETALING JAYA: Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin diminta mengambil tindakan lebih berani selepas secara terbuka menyatakan sokongan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, bahawa beliau tidak sendirian dalam menyuarakan kebenaran.


Kenyataan yang dibuat pada Ahad dianggap sebagai isyarat bahawa beliau sudah hilang kepercayaan kepada Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Muhyiddin bukan lagi setakat menghormati hak Tun Mahathir dalam mengkritik dan menanyakan soalan sebagaimana yang pernah disebutnya sebelum ini, tetapi sudah meletakkan dirinya bersama-sama dengan apa yang diperjuangkan oleh bekas Perdana Menteri itu,” komen Shahbudin Husin dalam blognya.

Selari dengan kenyataan yang dibuatnya, Muhyiddin dikatakan perlu mengulangi peranan sebagaimana yang pernah dimainkannya dalam mempercepatkan pengunduran jawatan Tun Abdullah Badawi pada 2008 dahulu.

Shahbudin yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa berpandangan, Muhyiddin perlu mengatur langkah seterusnya, sama ada secara terbuka menuntut Najib berundur seperti yang dimahukan oleh Dr Mahathir atau mula mengumpul kekuatan di kalangan pemimpin UMNO seluruh negara untuk bersama-sama dengannya.

Bagi memberi lebih tekanan kepada Najib dan menyokong tuntutan yang dibuat Dr Mahathir, beliau perlu menghadirkan diri dalam setiap program jelajah bersama bekas Perdana Menteri itu.

“Untuk lebih drastik, sebagai tanda hilang kepercayaan itu, Muhyiddin boleh juga meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri tetapi masih kekal sebagai Timbalan Presiden UMNO.

“Jika tidak, perjuangan kebenaran ini mungkin akan memakan masa yang lebih lama dan belum tentu dapat dipastikan akan berjaya atau sebaliknya kerana Perdana Menteri tidak semudah itu mahu mengalah atau berundur,”katanya.


Tegasnya, Muhyiddin tidak perlu risau dengan sokongan rakyat kerana mereka tidak sabar untuk melihat Najib disingkir kerana terlalu banyak onar yang ditimbulkannya dalam mentadbir negara.

Tranungkite

Majalah Indonesia dedah ‘gaya hidup mewah’ Najib, Rosmah

Kehidupan mewah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor disiarkan di beberapa media tempatan dan antarabangsa kebelakangan ini. – Gambar fail The Malaysian Insider, 21 April, 2015.
Sebuah majalah Indonesia menyiarkan artikel mendedahkan "gaya hidup mewah" Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, dua hari selepas melakukan lawatan kerja ke republik itu.
Laporan Tempo bertajuk "Hidup Mewah Sang Perdana Menteri" melaporkan tentang barangan yang dibelanjakan Rosmah termasuk beg tangan jenama Birkin dan barang kemas.
Tempo juga memaparkan gambar jam tangan mewah yang dikeluarkan Badan Bertindak Pemerhati Jenayah Malaysia (MyWatch) baru-baru ini yang didakwanya milik pasangan tersebut.
Mywatch mendakwa, setiap satu jam tangan milik Rosmah berharga antara RM79,200 untuk Hublot BlackBerry Black Magic 114 dan RM486,000 untuk Richard Mille Lady RM 007.
Tempo juga membuat perbandingan antara jam tangan dengan pendapatan Najib iaitu kira-kira RM350,000 setahun.
"Kehidupan Najib dan keluarganya menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia," katanya dalam artikel itu.
Penggayaan rambut Rosmah bernilai RM1,200 juga turut ditimbulkan, yang mengundang kritikan hebat ketika rakyat bergelut dengan tekanan hidup.
Tempo juga menyentuh isu anak tiri Najib, Riza Aziz yang membeli kondominium mewah di New York bernilai RM110 juta pada 2012 dan rumah di Beverly Hills, California bernilai AS$17.5 juta secara tunai, seperti yang dilaporkan New York Times.
Kehidupan mewah Rosmah dan Najib disiarkan di beberapa media tempatan dan antarabangsa kebelakangan ini, dan turut disiarkan dalam satu artikel New York Times edisi Februari berkaitan kekayaan ahli perniagaan Low Taek Jho.
Memaparkan invois dan dokumen lain sebagai bukti pembelian barang kemas yang dibeli Rosmah, laporan itu menuntut respons daripada Pejabat Perdana Menteri dan menerima jawapan berbunyi: "Tiada sebarang duit yang dihabiskan untuk berjalan atau membeli barang kemas, atau simpanan dalam peti besi yang didakwa, yang di luar kebiasaan bagi seorang yang berada pada posisi perdana menteri, dengan tanggungjawab dan harta legasi keluarganya."
Semalam, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut membidas kehidupan mewah Najib dan Rosmah dalam blognya.
"Ada banyak perkara tentang kelakuan peribadinya (Najib) yang saya rasakan tidak betul.
"Namun, saya bersedia untuk melupakannya, termasuklah gaya hidup mewah beliau dan isterinya," kata Dr Mahathir dalam tulisan terbaru di blognya semalam. TMI