SPECIAL ADS

8 April 2015

Najib tetap enggan jawab Mahathir


Seminggu sudah berlalu namun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terus mengunci mulut atas serangan yang dilancarkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Wartawan Malaysiakini cuba meminta Najib menjawab perkara yang dibangkitkan itu dalam satu majlis dihadiri perdana menteri hari ini.

Wartawan mendekati Najib ketika beliau sedang meninggalkan majlis berkenaan.

Bagaimanapun, sebaik mendengar pemberita menyebut nama “Mahathir”, Najib mengangkat tangan sebagai isyarat bahawa beliau tidak akan melayan soalan tersebut.

Polis yang mengawalnya juga bertindak mengheret pemberita agar menjauhi Najib.

Seorang lagi anggota keselamatan Najib turut menuding jari ke arah pemberita sebagai isyarat agar tidak mengajukan soalan lanjut.

Gesaan agar Najib menjawab pertanyaan Mahathir antara lainnya disuarakan oleh anggota jemaah menterinya sendiri, Khairy Jamaluddin yang berkata perdana menteri bertanggungjawab untuk menjelaskan perkara itu.

Mahathir dalam tulisan di blognya Khamis lalu meramalkan bahawa BN dan Umno akan tewas dalam pilihan raya umum akan datang sekiranya Najib terus mengetuai pentadbiran negara.
 
Katanya, Najib masih gagal menjawab persoalan yang dibangkitkannya, termasuk mengenai 1Malaysia Development Bhd (1MDB), pembelian jet kerajaan dan juga kes Altantuya Shaariibuu.

Dua orang komando polis yang pernah berkhidmat untuk Najib disabit kesalahan dan dijatuhkan hukuman mati atas pembunuhan tersebut. MK

Tiada ulasan: