PETALING JAYA: Majalah Indonesia, Tempo menyiarkan artikel berkaitan gaya hidup mewah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah dalam edisi khas sempena Ulangtahun ke-60 Persidangan Asia-Afrika yang akan diadakan di Bandung minggu ini.
Rencana bertajuk “Hidup Mewah Sang Perdana Menteri’ turut mendakwa gaya hidup yang dipaparkan tidak setanding dengan gaji yang diterima Najib sejak menjadi Perdana Menteri pada 2009.
Penulisnya yang dikenali sebagai Rosalina telah memetik laporan akhbar antarabangsa dan media tempatan untuk mengaitkan kehidupan mewah Perdana Menteri dan isteri yang didakwa telah membangkitkan kemarahan rakyat Malaysia.
Dia turut memetik laporan The NewYork Times yang mendakwa Rosmah memiliki barang kemas bernilai jutaan ringgit dan beberapa beg tangan berjenama mewah, Birkin.
Begitu juga dengan kenyataan MyWatch yang mendakwa Rosmah memiliki empat jam tangan mewah jenama Richard Miller Lady RM007 yang dikatakan mencecah harga hampir setengah juta ringgit.
Artikel itu menyebut, gaya hidup mewah Rosmah itu tidak sepadan dengan pendapatan Najib sebanyak RM350,000 setahun.
Penulis turut mengaitkan laporan kekayaan anak Rosmah dari perkahwinannya sebelum Najib, Riza Aziz, yang dilaporkan memiliki kekayaan luar biasa.
Dia dikatakan membeli dua unit kondominum di tengah-tengah kota New York berharga ratusan juta ringgit dan kekayaaan yang dimiliki itu dikaitkan dengan bapa tirinya, Najib.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan