SPECIAL ADS

13 April 2015

Tun Dr. M : Tak tuduh Najib, ini soal nak gantung anak orang

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kebiasaannya seseorang anggota polis atau tentera tidak akan menembak mati melainkan mengikut arahan, merujuk kepada bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Koperal Sirul Azhar Umar dan Cif Inspektor Azilah Hadri yang dihukum gantung kerana bersalah membunuh warga Mongolia itu. – Gambar fail The Malaysian Insider, 13 April, 2015.
Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan beliau tidak menuduh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membunuh Altantuya Shaariibuu, tetapi cuma mahu tahu siapa dalang yang bertanggungjawab mengarahkannya.
Katanya, kebiasaannya seseorang anggota polis atau tentera tidak akan menembak mati melainkan mengikut arahan, merujuk kepada bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Koperal Sirul Azhar Umar dan Cif Inspektor Azilah Hadri yang dihukum gantung kerana bersalah membunuh warga Mongolia itu.
"Berkenaan Altantuya, saya hanya bertanya siapa yang memberi arahan kepada Sirul yang dikena hukum bunuh.
"Saya tidak tuduh Najib. Biasanya anggota polis atau tentera tidak tembak mati sesiapa melainkan diserang atau di arah.
"Ini soal nyawa manusia. Kalau salah, bunuhlah Sirul. Tetapi kalau menjalankan tugas, menurut perintah tidak adillah jika Sirul dibunuh," katanya dalam blog popularnya www.chedet.cc hari ini.
Katanya, ramai yang berjumpa dengannya mempersoalkan keadilan yang diterima Sirul dan keluarga yang berjumpa dengannya.
"Ramai orang datang jumpa saya. Jika keluarga Sirul nak jumpa, saya jumpa.
"Ini bukan soal lapan tahun dahulu. Ini soal nak gantung anak orang ini hari ini," katanya.
Sirul kini di pusat tahanan imegresen Villawood di Sydney selepas ditangkap di Queensland pada 20 Januari lalu, ekoran amaran merah yang dikeluarkan polis antarabangsa (Interpol).
Ibunya, Piah Samat, dengan bantuan Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar bertemu Sirul. Beliau juga bertemu Dr Mahathir pada minggu lalu.
Mahfuz berkata, pihaknya akan membantu Piah mendapatkan pengampunan daripada Sultan Selangor untuk anaknya.
Dr Mahathir sebelum ini dilaporkan berkata, beliau hanya ingin membantu mendapatkan keadilan untuk bekas pengawal peribadinya dan bukan mahu mempoltikkan kes pembunuhan melibatkan Sirul.
"Saya (langsung) tidak bercakap mengenainya perkara ini sejak sekian lama, tetapi dua orang ini dihukum bunuh, kamu kena tolong mereka (kerana) Sirul pernah menjadi pengawal keselamatan saya.
“Tak bolehkah saya tolong dia (kerana) dia nak kena gantung?” soalnya.
Dr Mahathir berkata, beliau tidak boleh berdiam diri kerana melibatkan nyawa individu.
"Bila saya membangkitkan mengenai perkara ini, orang berkata saya bersama pembangkang tapi isu ini melibatkan nyawa orang.
“Cuba andaikan kamu akan dihukum gantung untuk perkara yang kamu tidak lakukan dan tidak ada siapa pun yang tolong.
“Lantak pi la, mampus pi la sama dia… adakah kamu nak saya lakukan seperti itu?” soalnya lagi.
Sirul dan Azilah didakwa membunuh Altantuya pada tahun 2006 dan dijatuhi hukuman pada tahun 2009.
Mereka dibebaskan oleh mahkamah rayuan pada tahun 2013, tetapi Mahkamah Persekutuan menolak keputusan itu, sekaligus hukuman gantung dikekalkan.
Sirul didakwa melarikan diri ke Australia ketika hukuman itu diputuskan. TMI

Tiada ulasan: