SPECIAL ADS

10 April 2015

Daim : Presiden ada kuasa, di hadapan mereka sokong. Di belakang kita tidak tahu.

Veteran Umno Tun Daim Zainuddin meragui sokongan Umno terhadap pemimpinnya, Datuk Seri Najib Razak yang sering dikritik oleh Tun Dr Mahathir Mohamad. – The Malaysian Insider filepic, 10 April, 2015.
Pemimpin veteran Umno, Tun Daim Zainuddin, meragui sokongan parti itu terhadap presidennya Datuk Seri Najib Razak, ketika perdana menteri itu akhir-akhir ini berdepan tekanan hebat daripada pemimpin terdahulunya untuk meletakkan jawatan.
Bekas menteri kewangan itu berkata, kelakuan orang Umno yang tipikal ialah menampakkan dari luar, sokongan dan kesetiaan kepada pemimpin mereka, seperti dalam kes Najib sekarang.
Tetapi, sukar untuk ditelah sama ada sokongan yang ditunjukkan itu betul dan ia cerminan sebenar perasaan pemimpin Umno di peringkat akar umbi terhadap Najib, kata Daim dalam satu wawancara dengan portal Malaysia Gazette.
Pemerhatian dibuat Daim itu ketika Najib kini menghadapi pusingan terbaru kritikan daripada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang sebelum ini menyokong beliau menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi, tetapi kini mengatakan, beliau lebih teruk daripada Abdullah.
Pemimpin Umno dan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) tampil mengisytiharkan sokongan mereka kepada Najib ketika dia berdepan panggilan baru daripada Dr Mahathir supaya meletak jawatan sebagai perdana menteri dan presiden Umno.
Ditanya bagaimana beliau melihat sokongan BN dan Umno kepada Najib, Daim menjawab: "Kalau menjadi presiden, ada kuasa, di hadapan memang mereka sokong. Di belakang kita tidak tahu.
"Umno ini caranya memang begitulah. Kalau depan, dia (ahli Umno) taat setia kepada pemimpin tetapi sampai satu ketika apabila panik, mereka mendesak. Itu cara Umno.
"Macam Tunku Abdul Rahman, Tun Abdullah Ahmad Badawi, apabila sampai masanya baru mereka ambil tindakan. Mungkin Umno masih 'confident' tetapi tidak senang hati sebab-sebab keadaan sekarang."
Daim, yang sering mengkritik dasar fiskal pentadbiran Najib berkata kepada portal itu, ada yang berpendapat, sokongan yang ditunjukkan Umno kepada Najib sebenarnya mencerminkan betapa lemahnya beliau.
“Itu satu tafsiran - kalau kita kuat, tidak perlu sokongan,” kata Daim, merujuk kepada perhimpunan kira-kira 160 ketua bahagian Umno pada 8 Mac yang melafazkan ikrar sokongan mereka kepada Najib.
“Tetapi, daripada maklum balas, ketua-ketua bahagian ini datang dan diberi taklimat, tidak ada sesi soal jawab.
“Kita pun tidak tahu apa ada dalam hati mereka,” kata Daim, sambil menambah yang beliau tidak yakin jumlah yang hadir itu sebenarnya 160 orang.
Dalam wawancara itu, Daim juga menyentuh mengenai kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang menurutnya, kini merupakan satu isu yang menjadi bualan ramai, termasuk di kalangan orang kampung.
“Dulu orang tidak faham 1MDB, hanya orang di pekan (bandar) yang bercakap tentangnya, sekarang orang kampung pun mula bercakap pasal 1MDB. Ia membabitkan satu jumlah wang yang besar, RM42 bilion.”
Portal itu menyatakan, rakyat mempertikaikan sejauh mana ketelusan Jabatan Audit Negara dalam siasatan itu, sedangkan jabatan itu juga melaporkan kepada Kementerian Kewangan dan perdana menteri juga menteri kewangan. 
Adakah wujud konflik kepercayaan terhadap keputusan siasatan itu, soal Malaysia Gazette.
Kepada soalan itu, Daim menjawab: "Sebab itu dari dulu saya kata, saya pernah menulis surat mencadangkan perdana menteri jangan jadi menteri kewangan.
"Kalau ada masalah macam ini bukan salah perdana menteri jika beliau bukan menteri kewangan. Saya tidak tahu mengapa perdana menteri mahu juga menjadi menteri kewangan, Pak Lah pun macam itu juga. Ia akan wujudkan konflik. 
"Kalau Menteri Kewangan buat kesilapan, dia juga Perdana Menteri, hendak marah tidak boleh, hendak buang tidak boleh. Kalau Menteri Kewangan orang lain, kita boleh ambil tindakan." TMI

Tiada ulasan: