SPECIAL ADS

10 April 2015

1MDB: Tragedi atau sandiwara?

1Malaysia Development Bhd terus menjadi tajuk utama akhbar tempatan dan antarabangsa dengan pelbagai dakwaan seperti rasuah, salah urus dana awam yang meluas, salah laku politik yang serius dan urusan korporat tidak telus. – Gambar fail The Malaysian Insider, 10 April, 2015.
Eksperimen pelaburan kerajaan Malaysia, melalui 1Malaysia Development Bhd (1MDB), kini bertukar menjadi ranjau politik dan kewangan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan menteri kabinetnya.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, dana yang sarat hutang itu menjadi tajuk utama akhbar tempatan dan antarabangsa dengan pelbagai dakwaan seperti rasuah, salah urus dana awam yang meluas, salah laku politik yang serius dan urusan korporat tidak telus.
Serangan bertali arus terhadap 1MDB – termasuk pendedahan awam mengenai e-mel sulit yang menonjolkan transaksi tidak telus dalam pelaburan yang amat meragukan – bukan sahaja datang daripada pembangkang di negara ini, tetapi juga bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang baru-baru secara terbuka menggesa peletakan jawatan Najib.
"Najib sedang menghadapi terlalu banyak skandal, dan tidak ada jawapan," kata Dr Mahathir kepada pemberita minggu lepas, sambil menambah jika parti dominan itu, Umno – sebagai rakan sekutu utama dalam Barisan Nasional (BN) – yang memegang tampuk kepimpinan Malaysia sejak kemerdekaan pada 1957, mahu kekal berkuasa, maka "saya fikir mereka mesti menukar perdana menteri".
Menulis obituari untuk politik Najib, bagaimanapun, mungkin sedikit pra-matang, kata beberapa pegawai kanan Umno yang menyebelahi presiden Umno dan perdana menteri itu.
Mereka mendakwa 1MDB merupakan kekuatan tersembunyi yang selama ini membantu menaikkan sistem politik negara dengan secara tidak langsung menyediakan bantuan kewangan kepada beberapa yayasan yang kurang dikenali yang kemudiannya membantu Najib membiayai kempen pilihan raya dan menyalurkan wang kepada pemimpin atasan Umno bagi memastikan mereka terus setia.
Namun kedudukan dana ini yang semakin teruk terus menghantar gelombang kejutan kepada sistem perbankan Malaysia dan menjadi cabaran dasar ekonomi paling serius kepada pentadbiran Najib.
Episod terkini berlaku lewat bulan lepas.
Tidak sampai seminggu selepas melantik kumpulan perbankan kewangan serantau, CIMB Holdings, untuk meneruskan penjualan aset penjanaan kuasa yang dimiliki 1MDB, kerajaan dipaksa membatalkan rancangan itu. TMI

Tiada ulasan: