SPECIAL ADS

8 April 2015

Fomca: Harga barang naik hingga 30%


Pemantauan oleh Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) mendapati harga bagi kebanyakan barangan dinaikkan antara 20 hingga 30 peratus selepas pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Menurut Fomca, pemantauan di sebuah pusat membeli-belah di Kelana Jaya itu dibuat ke atas pematuhan peraturan tanda harga, kedudukan harga dan resit pembayaran.

Harga barangan tersebut seterusnya dibandingkan dengan senarai dalam Buku Panduan Harga Pengguna yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).
 
“Kita mendapati kebanyakan harga barang telah naik antara 20 peratus hingga 30 peratus berbanding harga baru dalam buku panduan,” kata Mohd Yusof Abdul Rahman, Timbalan Presiden FOMCA.

Jelasnya, pemantauan di pusat membeli-belah Paradigm itu melibatkan barangan di kedai video Speedy, kedai peralatan kesihatan Guardian, kedai runcit My News.com dan pasaraya besar Tesco.

Yusof menunjukkan satu contoh satu pewangi ketiak yang dinaikkan harga sehingga RM5.35, berbanding harga RM4.44 mengikut buku panduan.

Dalam tinjauan berkenaan, Fomca turut menemui beberapa ketidakwajaran berikut:
   
  • Kedai keluarkan resit pembelian dengan harga yang berbeza berbanding harga barangan di rak.
     
  • Peniaga tidak pamerkan harga asal barangan sebelum ditambah GST dalam resit.
     
  • Pengusaha letakkan dua harga berbeza untuk barangan tertentu.
     
  • Tanda harga di rak berbeza dengan harga yang dinyatakan dalam resit.
     
  • Tanda harga barang tidak menunjukkan jenis GST yang dikenakan ke atas harga barang itu.
 
Seterusnya, Yusof menyeru peniaga agar menyatakan jenis GST di tanda harga untuk memudahkan pengguna yang cenderung membeli barang berkadar sifar.
 
Beliau juga menyarankan agar KPDNKK memperbaharui buku panduan pengguna
 
Yusof berkata,pengguna boleh membuat aduan kepada KPDNKK jika mendapati harga di pasaran tidak berpatutan.
 
“Peniaga yang tidak mengikuti buku panduan bukan satu kesalahan, cuma pengguna boleh mengadu kepada KPDNKK,” katanya.

Menurut Fomca, pihaknya sedang mengemaskini senarai barangan yang dikesan dinaikkan harga.

Buku panduan yang dikeluarkan oleh KPDNKK pada Februari tahun ini menyenaraikan harga barangan tertentu sebelum GST, impak GST (enam peratus) dan harga baru selepas dikenakan GST. MK

Tiada ulasan: