SPECIAL ADS

20 April 2015

Tun M : Najib malukan negara, Malaysia kehilangan banyak duit

Datuk Seri Najib Razak bersama Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong ketika pertemuan mereka tahun lepas. Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menganggap Najib 'memalukan negara' kerana penolakan Singapura terhadap jambatan bengkok. – Gambar fail AFP, 20 April, 2015.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memalukan negara apabila cadangan membina jambatan bengkok menghubungkan Johor Baru ke Singapura ditolak negara jiran itu, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Pada masa sama, Dr Mahathir berkata Najib merugikan banyak wang negara apabila gagal menilai keutamaan projek-projek mega dengan memberikan tumpuan pada projek yang salah.
"Najib gagal dalam banyak perkara selepas menjadi perdana menteri.
"Kita kehilangan banyak duit," tulis Dr Mahathir dalam blognya www.chedet.cc hari ini.
Menurut bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu, beliau kesal apabila Najib menggugurkan projek landasan berkembar elektrik Johor Baru ke Padang Besar yang sepatutnya memakan belanja RM14 bilion dan menggantikannya dengan projek laluan keretapi dari Ipoh ke Padang Besar yang memakan belanja RM12 bilion.
"Saya ini tidaklah semberono sahaja. Ya, saya kecewa terutamanya apabila Najib merayu kepada perdana menteri Singapura untuk membina jambatan namun ia ditolak.
"Memalukan yang kita ini tidak berani membina jambatan di tanah sendiri tanpa kelulusan Singapura," katanya.
Namun, kejadian itu kata Dr Mahathir pada masa tersebut belum menguatkan iltizamnya untuk berkempen menyingkirkan Najib.
Ini kerana Najib mempamerkan prestasi memberangsangkan sewaktu beliau sendiri menjadi perdana menteri ke-4 di samping rasa terhutang budinya kepada ayah Najib, Tun Abdul Razak Hussein yang mengangkat beliau dalam perjalanan politiknya.
Kenyataan hari ini adalah serangan terbuka yang kedua Dr Mahathir terhadap Najib selepas beliau secara berterus terang menganggap ahli Parlimen Pekan itu gagal menjadi perdana menteri, pada 18 April lalu.
Beliau menggesa Umno menyingkirkan Najib untuk memastikan kelangsungan parti itu dalam pilihan raya akan datang.
Serangan Dr Mahathir ini menimbulkan pelbagai reaksi daripada kepimpinan Umno.
Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Dr Mahathir tidak keseorangan dalam menyatakan kebenaran.
Sementara, Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal menggesa kerajaan memberi jawapan terperinci kepada semua soalan Dr Mahathir.
Seorang lagi Naib Presiden Datuk Seri Hishammuddin Hussein merangkap sepupu Najib pula merasakan pendapat dan persoalan Dr Mahathir tidak perlu dilayan kerana ia akan menjejaskan perjalanan parti dan negara. TMI

Tiada ulasan: