Hari ini tanggal 1 April. Sesuatu yang amat merugikan dan mencemar adab masyarakat Islam yang dilakukan oleh segelintir umat Islam pada bulan April ialah sambutan April Fool.
Biasanya apabila tiba 1 April, maka remaja Islam terikut-ikut dengan budaya barat yang menjadikan tarikh ini sebagai hari untuk 'memperbodohkan' atau 'mengenakan' orang lain.
Di manakah jati diri masyarakat Islam apabila apa-apa sahaja yang datang dari barat tanpa melihat sama ada ia bermanfaat atau merugikan terus dirayakan dan disambut tanpa usul periksa!
Malahan, sesuatu yang lebih teruk lagi apabila terdapatnya mereka yang begitu berbangga dengan apa sahaja yang datang dari barat seolah-olah ianya melambangkan simbol ketamadunan yang tinggi.
Apabila segelintir masyarakat Islam merayakan April Fool tanpa mengambil tahu asal-usul perayaan tersebut, ia bermakna umat Islam terus diperbodohkan dengan amalan-amalan yang tidak membawa faedah.
Maka, sewajarnyalah umat Islam tidak lagi terpedaya dan tertipu, sebaliknya berusaha untuk menghindarkan diri daripada terjebak dalam hal-hal seumpama ini.
1 April, Sambutan Kejayaan Membunuh Umat Islam Sepanyol
Ketika kerajaan Islam runtuh diserang tentera Kristian, penduduk Islam di Moors, Sepanyol terpaksa berlindung di dalam rumah untuk menyelamatkan diri.
Tentera Kristian bagaimanapun tidak berpuas hati dan berusaha untuk menghapuskan penganut Islam dari bumi Sepanyol. Justeru, mereka membuat helah. Mereka memaklumkan penduduk Muslim boleh berlayar keluar dari bumi Sepanyol dengan selamat bersama-sama barangan mereka dengan menggunakan kapal di pelabuhan.
Orang Islam yang risau sekiranya tawaran itu suatu penipuan pergi ke pelabuhan untuk melihat kapal yang dimaksudkan. Setelah berpuas hati, mereka membuat persiapan untuk bertolak.
Keesokannya (1 April), mereka mengambil semua barangan yang telah dikemaskan lalu menuju ke pelabuhan.
Pada masa itulah pihak Kristian mengambil kesempatan menggeledah dan membakar rumah penduduk Islam. Penganut Islam juga tidak sempat menaiki kapal kerana semuanya musnah dibakar.
Pihak Kristian kemudian menyerang kaum Muslimin dan membunuh kesemuanya, tidak kira lelaki, perempuan, serta anak kecil.
Peristiwa berdarah yang menyedihkan itu kemudiannya diraikan tentera Kristian. Keraian ini akhirnya dirayakan setiap tahun bukan saja di Sepanyol tetapi juga di seluruh dunia sebagai April Fool's Day.
Bukan ajaran Islam
Walaupun cerita atau kisah ini tidak dapat dipastikan kesahihannya, namun budaya menyambut April Fool ini seolah-olah telah dapat diterima di seluruh dunia termasuk dalam kalangan umat Islam sendiri.
Sebagai Muslim, kita hendaklah menjadikan ajaran Islam sebagai panduan supaya tidak terikut-ikut dengan sesuatu yang bukan daripada ajaran Islam, apatah lagi sesuatu yang boleh membawa kepada implikasi yang negatif.
Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad bermaksud, "Sesiapa yang meniru sesuatu kaum (golongan), dia termasuk dalam kalangan mereka".
Mereka yang menyambut April Fool ini sanggup berbuat apa sahaja termasuk menipu dan sebagainya semata-mata untuk menghidupkan budaya ini.
Hal ini merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima kerana menipu, mengaibkan orang dan sebagainya merupakan perkara dosa yang hanya boleh merenggang dan memutuskan hubungan sesama manusia.
Walaupun ia hanyalah sekadar gurauan, namun gurauan itu pun ada had dan batasnya. Gurauan memang merupakan suatu perkara lumrah dalam kehidupan manusia.
Hidup dirasakan bertambah ceria dan bererti apabila terdapatnya gurauan yang menyenangkan hati dan perasaan. Akan tetapi sekiranya gurauan dilakukan secara melampau dan berlebihan, maka bukan keceriaan yang diperoleh, sebaliknya kekusutan, dendam dan pelbagai perkara negatif lain yang akan hadir dalam kehidupan.
Justeru, seseorang yang hendak bergurau, hendaklah memelihara adab-adab gurauan agar gurauan tersebut berlaku dalam suasana kasih sayang dan keceriaan dan tidak menyebabkan berlakunya permusuhan dan dendam.
Itulah indahnya Islam!
Sedar atau pun tidak, sambutan April Fool hanya akan memperbodohkan masyarakat kita sahaja bahkan sambutan itu adalah satu bentuk penghinaan terhadap umat Islam!
Jadi, buat anda yang menyambut April Fool's Day, selamat mengapril foolkan diri anda..
BACA INI JUGA: Mengapa Umat Islam Tidak Digalakkan Menyebut 'Rest In Peace'?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan