SPECIAL ADS

29 April 2015

Harga kad prabayar telefon pada kadar sebelum GST mulai 1 Mei 2015

Mulai Jumaat ini (1 Mei) harga kad prabayar telefon kembali kepada harga asal iaitu seperti sebelum pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada 1 April, kata Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Khazali Ahmad.
Ini bermakna, jika kad prabayar itu bernilai RM10 maka pengguna akan membayar RM10 mulai 1 Mei.
Khazali berkata beliau sendiri sudah mengarahkan semua 4 syarikat telekomunikasi untuk mengekalkan harga asal berdasarkan kepada konsep 'tax inclusive' berkuatkuasa 1 Mei dalam satu surat semalam.
"Apabila arahan diberikan, syarikat telekomunikasi perlu akur kepada arahan ketua pengarah kastam. Tidak ada alasan sama ada kad prabayar itu stok baharu atau stok lama," katanya pada sidang media di ibu pejabat Kastam Diraja Malaysia di Putrajaya, hari ini.
Arahan itu dikeluarkan demi golongan muda terutamanya para pelajar yang banyak bergantung kepada kemudahan dan perkhidmatan telekomunikasi, katanya. 
Khazali berkata GST bagi kad prabayar telefon perlu dibuat secara 'tax inclusive' atau termasuk cukai seperti cukai perkhidmatan di bawah Akta Cukai Perkhidmatan sebelum ini.
Sementara itu, beliau berkata dua syarikat makanan bakal didakwa di Shah Alam mengikut Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 esok - pendakwaan pertama di bawah akta itu.
GST dilaksanakan pada kadar 6% bermula 1 April menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang berkadar keseluruhan 16%.
Khazali berkata bagi meningkatkan pematuhan GST dalam kalangan peniaga, pegawai kastam akan menjadi 'pembeli misteri' di premis yang berdaftar dengan GST bermula 1 Mei ini. – Bernama

Tiada ulasan: